Memori: Aki & Henhen (Extra)

590 73 8
                                    


Menurut bibik pengasuhnya, dia ada tiga orang abang tiri.

Abang sulungnya, Levi. Berdarah tulen clan phoenix. Seorang yang pendiam dan dingin. Banyak kali dia cuba untuk menegur abang sulungnya, namun selalu tidak dihiraukan.

Abang keduanya pula bernama Guy. Berdarah campuran phoenix dan basilisk. Abang keduanya ini terkenal sebagai pahlawan phoenix paling kuat dan handal bertarung.

Namun Nan Hen tidak tahu mengapa tetapi Guy selalu bersikap kasar dengannya. Abangnya itu selalu menghadiahkan jelingan tajam kepadanya dan akan memandangnya penuh benci setiap kali dia berada berdekatan dengan Hakk, ayah mereka.

Abang ketiganya, lahir pada tahun yang sama dengan Guy, tetapi beberapa bulan lewat, bernama Haraki. Abang ketiganya ini berdarah campuran phoenix dan manusia.

Nan Hen tidak tahu mengapa, tetapi dia tidak pernah melihat Haraki di dalam mahligai kediaman mereka.

Nan Hen pernah mempersoalkan perkara tersebut kepada bibik pengasuhnya.
Kata bibiknya, Haraki membawa malang.
Kata bibiknya, Haraki tak layak menjadi ahli clan phoenix kerana tercemar dengan darah manusia yang hina.
Kata bibiknya, Haraki memalukan keluarga dan seluruh clan Phoenix.

Pesan bibiknya, supaya dia jangan sekali-kali cuba mendekati abang ketiganya itu.

Tapi bibiknya tidak faham yang dia kebosanan duduk di dalam mahligai lord clan Phoenix itu.
Abang sulung dan keduanya tidak mahu bermain dengannya.
Anak-anak phoenix yang lain semua tidak berani untuk dekat dengannya. Takut tercederakannya, takut terguris hatinya, yang akhirnya akan mengundang kemurkaan ayahnya, Lord Hakk.

Akhirnya, kerana kebosanan, suatu hari dia memberanikan diri pergi ke laman belakang mahligainya, tempat pembantu-pembantu dan hamba-hamba ayahnya melakukan kerja.

Dan pada waktu itulah, dia buat pertama kalinya mengenali abang ketiganya, Haraki, beast berdarah separuh manusia yang dilayan jauh lebih teruk dari hamba.

Tubuh budak lelaki itu kurus keding, baju gamis yang dipakainya sangat lusuh dan bertampal di sana sini. Kulitnya yang asalnya putih melepak sudah bertukar kelabu asap dan coklat kerana dicemari dengan kotoran dan debu. Rambut hitam pekat lurus mencecah bahunya kusut masai lama tidak berbasuh.

Pada waktu itu, dahi Nan Hen berkerut tidak puas hati.

Kenapa pembantu-pembantunya melayan Haraki dengan teruk sebegitu sekali sedangkan abangnya itu tidak melakukan apa-apa kesalahan?

Kenapa budak sekecil itu sudah disuruh melakukan kerja-kerja berat tanpa rehat mengalahkan kerja-kerja hamba phoenix dewasa yang lain?

Kenapa dia tidak pernah melihat walau seorang pun pembantu rumahnya memberikan budak lelaki itu makan?

Bagaimana abang ketiganya itu boleh hidup sehingga ke hari ini?

Suatu hari, dia melihat sekumpulan anak-anak phoenix datang mengelilingi Haraki. Waktu itu dahi Nan Hen berkerut. Bibirnya diketap.

Adakah budak-budak nakal itu cuba membuli abangnya?

Dia melihat budak-budak lelaki itu berkata sesuatu kepada Haraki. Sesekali mereka tergelak. Masing-masing tertampal senyuman mengejek pada wajah mereka.

Salah seorang daripada mereka mula melayangkan penumbuk menyerang Haraki.

Nan Hen mula panik. Namun selepas itu dia menyaksikan satu perkara yang menarik.

Abang ketiganya itu dengan bersahaja mengelak serangan demi serangan yang dilancarkan kumpulan itu. Langkahnya begitu santai namun teratur.

Budak-budak nakal itu hanya mampu menumbuk dan menendang angin. Ramai yang jatuh tersungkur sendiri ke tanah kerana hilang pertimbangan.

Rise of The EmperorWhere stories live. Discover now