Chapter 21: Nature Gardian Enkidu (Part II)

584 72 0
                                    

(Masih lagi flashback Nash & Seth...)

Beberapa hari selepas 'serangan' dari bunga itu, keadaan wajah Marlin masih lagi tidak pulih-pulih. Sebaliknya, kulit wajahnya menjadi keras kematu berketul-ketul, memberikan rupa yang sangat hodoh.

Hingga akhirnya Marlin terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak, mengupah doktor pakar dari bandar untuk merawat wajahnya.

Meskipun doktor tersebut berjaya menyurutkan bengkak di wajahnya, itupun setelah berapa lama, namun bengkak tersebut meninggalkan parut-parut di segenap wajah Marlin, mencacatkan wajahnya seumur hidup.

Doktor tersebut turut hairan mempersoalkan bagaimana Marlin boleh terkena semburan bunga tersebut kerana menurutnya bunga itu yang dikenali sebagai 'poison allure' sangat jarang untuk ditemui. Dan apabila Marlin memberitahu yang bunga tersebut tumbuh di belakang pokok di rumahnya, doktor tersebut ketawa tidak percaya kerana dia tahu bunga tersebut tumbuh pada atas batu, dan batu-batu tertentu sahaja, bukan pada dahan pokok.

Merasa bengang kerana doktor tersebut tidak mempercayainya, Marlin segera membawa doktor tersebut ke belakang rumahnya.

Namun alangkah terkejutnya dia apabila bunga tersebut sudah tiada. Malah pohon yang sebelum ini ranum berbuah kini tidak ada kesan buahnya langsung, sebaliknya cuma serupa pokok oak biasa. Marlin rasa air mukanya jatuh di hadapan doktor tersebut, meskipun dia beria-ria meyakinkan tentang kewujudan bunga tersebut pada pokok itu sebelum ini namun dia tiada bukti.

Nash, Seth dan Hanom yang senyap-senyap memerhati tersenyum-senyum sesama mereka. Suka melihat keadaan wajah Marlin sekarang dan juga bila wanita itu termalu di hadapan doktor yang datang ke rumah mereka itu.

Kini mereka yakin pokok ajaib itu benar-benar sahabat mereka, membela mereka, dan membalaskan dendam untuk mereka!

Namun kegembiraan mereka lesap begitu sahaja apabila keesokan paginya, mereka mendapati pokok tersebut telah ditebang oleh Marlin sehingga tinggal tunggulnya sahaja.

Marlin ketawa kuat. Baru puas hatinya bila dapat memusnahkan pokok yang telah membawa malang kepadanya itu.

Wajah Seth pucat. Dia diam tidak terkata apa kerana terlalu terkejut. Hanom pula mula berair mata melihat pokok yang menjadi temannya selama ini sudah tiada.

Nash turut terpaku menyaksikan pohon yang tinggal tunggul sahaja itu. Namun kemudian wajahnya terus berubah gelap. Renungan matanya bersinar aura membunuh dengan gigi yang diketap kuat.

"Perempuan tua tak guna!!!!"

Dia menyerbu, melandaskan penumbuknya ke wajah hodoh Marlin yang tidak sempat bersedia sehingga lebam wajah itu dan bucu bibirnya pecah berdarah.

"Ouch!!! Budak sial, berani kau tumbuk aku?!" Tengkingannya menggegak gempita.

Nash mengepal dua penumbuknya, menentang jegilan mata dan wajah bengis Marlin dengan penuh berani. Dadanya turun naik menahan marah.

"Oh, kau ingat kau mampu nak lawan aku ya, mari sini kita tengok siapa lagi hebat." Marlin menarik senyum jahat, mentransformasikan cincin yang sentiasa tersarung di jari telunjuknya menjadi seutas cemeti.

Denga ganas, tangannya dihayun tinggi, melibas tali cemeti di tangannya dengan kuat.

Dan sasarannya adalah tubuh kurus keding Nash.
__________________________________________

Nash perlahan-lahan mengangkat kelopak matanya. Baru sahaja dia cuba menggerakkan tangannya, terasa tubuhnya seperti direnjat elektrik. Rasa sakit menyerang setiap inci tubuh badannya. Pedih, sengal, berdenyut-denyut, segala jenis rasa sakit yang menyeksakan menguasainya sekarang. Matanya menyoroti setiap inci tubuhnya yang penuh dengan garis-garis luka sebatan, merah, basah dengan tompok-tompok darah.

Rise of The EmperorWhere stories live. Discover now