Aries langsung tidak menyangka, setelah hampir seminggu Shima melenyapkan diri, lelaki itu akan muncul semula di hadapan laman istananya.
Namun keadaan Shima saat itu jelas sekali tidak normal.
Di tubir matanya ada urat-urat merah salur darah yang timbul dan lelaki itu kelihatan seperti sedang sedaya upaya menahan dirinya.
"Shima?"
"A...ku..." Shima mencengkam wajahnya sambil cuma melafazkan sesuatu dengan susah payah.
Dahi Aries berkerut risau, namun dia masih mengekalkan jaraknya dari Shima kerana berjaga-jaga.
"Tang..kap... Aku..." Shima akhirnya berjaya mengungkapkan perkataan yang ingin dilafazkannya.
Mendengar saja bicara Storm King itu, Aries terus memetik jarinya.
Rantai-rantai besi muncul keluar dari tanah dan membelenggu tangan dan kaki Shima.
"Kau pergi mana?? Macam mana kau boleh kena juga wabak ni?!" Aries menyoal kecewa.
Dalam kesukarannya untuk mengekalkan kewarasan akal, Shima masih mampu tersengih.
"Aku bawakan untuk kau... bahan eksperimen terbaik.. Gunakan aku...Gunakan tubuh aku.. untuk kau buat kajian.."
"Kau hilang akal ke?!!" Aries menengking.
"Aku mungkin.. tak dapat selamatkan diri aku... dan juga.. walau seorang pun kingsmen aku... Tapi kalau aku... dapat selamatkan seorang manusia pun.. itu sudah cukup.." Shima menjawab, masih dengan senyuman.
Aries terkedu.
Akhirnya dia tidak ada pilihan lain melainkan memenjarakan Shima di sebelik jeriji besi di penjara bawah tanah istananya
_________
Aries menyaksikan satu persatu, bagaimana simptom wabak tersebut berkembang di badan Shima.
Menurut Shima, simptom yang pertama sekali termanifestasi padanya adalah sakit kepala dan telinga berdesing.
Manakala tanda-tanda pertama yang boleh dilihat orang luar adalah bahagian hujung mata yang mula memerah.
Kemudian makin lama, merah tersebut akan semakin merebak dan semakin pekat sehingga anak mata tidak lagi kelihatan dan pesakit akan menjadi buta. Dan tingkat terakhir, mata itu akan mula berair darah.
Seluruh kulit pada tubuh mereka yang dijangkiti pula akan semakin pucat dan sejuk. Jari tangan dan kaki mereka akan mula memanjang, belakang badan mereka mula membongkok, dan gigi mereka turut menjadi semakin panjang dan tajam sehingga terkeluar dari mulut, memberikan mereka rupa yang mengerikan.
Dan perlahan-lahan, nafsu makan mereka mula membesar, menjadikan mereka lapar sepanjang masa dan tekak mereka menginginkan rasa darah dan daging mentah.
Sehingga akhirnya, apabila keadaan Shima semakin teruk, Aries terpaksa memberinya makan seekor lembu setiap hari.
Aries menyaksikan bagaimana kewarasan fikiran Shima semakin lama semakin samar. Tempoh waktu Shima sedar dan mampu berfikir semakin lama semakin pendek. Dan di setiap sela masa yang pendek itulah, Shima akan mengambil peluang menceritakan simptom-simptom dan perasaannya.
Sehinggalah suatu hari, Shima menuturkan dalam keadaan kewarasannya yang semakin tipis.
"Aries.. Aku rasa esok, kewarasan akal aku akan hilang selama-lamanya." Ujarnya lemah.
Walaupun Shima makan begitu banyak setiap hari, tubuh badannya tetap menjadi sangat kurus cengkung seperti rangka.
Bagaikan segala zat yang dimakannya hilang lesap entah ke mana.
YOU ARE READING
Rise of The Emperor
FantasyDi sebuah alam yang terdiri daripada pelbagai jenis makhluk, manusia dan beast hidup saling bermusuhan. Haraki, seekor beast yang dipulau dan dilayan teruk oleh clannya sendiri kerana berdarah separuh manusia muncul memusnahkan clannya sendiri denga...