FILEM MALAYSIA

18 2 0
                                    


Saya dalam banyak waktu sering merasa bersalah kerana menyatakan bahawa saya sudah jelak dan muak dengan filem P.Ramlee yang ditayangkan di tv dari waktu ke waktu. BUKAN saya tidak mengkaguminya, KAGUM sekali sebenarnya. Cuma bosan kerana dihidangkan yang itu itu juga. Mungkin mereka yang taksub sudah menghafal segala scene dan dialog semua filem beliau.

Alasan yang diberi adalah filem filem lain tidak ditukarkan dari analog ke digital jadi sukar untuk diputarkan di telivisyen.

Saya kira adalah lebih baik RTM dan penyiaran lain menayangkan sahaja filem filem tidak kira samada gagal atau berjaya suatu ketika dahulu supaya anak anak generasi baru tahu bentuk minda fikir ketika itu. Banyak... Gelora? Dr Rusdi? Loceng Maut? filem filem nakal Julie Dahlan? filem filem kerjasama dengan indonesia, thailand suatu ketika dahulu termasuk filem filem terbitan filem negara suatu ketika dahulu. Apa salahnya bukan? 

Saya membesar dengan filem filem komersil sewaktu di Bukit Mertajam. Dari filem Taiwan, Hong Kong sampailah ke filem filem hindi gred A dan greb B. Pertunjukan biasa atau cheap matinee. Apalah lagi hiburan yang ada di pekan kecil itu, wayang adalah jalan mudah untuk saya berhibur. tiketnya 40 sen kelas tiga 65 sen kelas 2 dan 1.20 untuk kelas satu... Daripada filem filem hantu cina sehinggalah filem filem Inggeris ulang tayang semua saya tontoni. Filem blockbuster akan datang lewat ke pekan kami...sebulan atau 3 bulan lewat.

Apabila membesar saya sudah tidak terbeli lagi dengan filem filem Hollywood yang mempunyai resepi yang sama. Namun tiada pilihan lantas ditonton juga ketika usia belasan tahun. Filem filem dracula Christopher Lee, filem musikal John Travolta, Star Wars yang hadir lewat dan filem filem seram terpilih yang juga datang lewat. Tonton sahajalah. Ini belum lagi masuk filem aksi aksi wanita dari Hong Kong seperti kisah penjara wanita yang penuh dengan unsur seks dan filem Indonesia yang lebih kurang sahaja. Hindi jangan cakap... Daag? Jugnu? sehingga saya naik bosan dan terus berhenti dari resepi kaya miskin dan menari keliling pokok itu.

Saya rindukan filem Melayu/Malaysia yang baik. Rindu separuh mati sebenarnya.

Jins Shamsuddin dengan edisi Esoknya filem filem yang sumbat apa sahaja yang ada... Julie Dahlan dengan sensasi kosong... Sarimah dengan lakonan over dan uji rashid arahan Jamil Sulong. Ada waktunya saya terpaksa hafal filem filem Malaysia yang baik kalau ditanya orang. Malu kerana jumlahnya hanyalah boleh dibilang dengan jari.

Setelah dewasa dan mula terdedah dengan filem filem hebat dari China, Eropah, Jepun dan Korea CITARASA menjadi lebih rumit dan rigid. Mana dengan harus menahan telinga mendengar pujian untuk Erra Fazira dan lain lain bintang yang kaku dan keras di layar perak. Jarang sekali saya menonton filem Malaysia di layar lebar. Saya serik sebenarnya. Saya takut kerana saya akan mengutuk rapat penghasilan para artisan Malaysia. 

Dengan negara yang penuh dengan birokrasi, penonton yang kurang matang kita tertanya tanya ke mana arah tuju dunia perfileman Malaysia. Ada waktunya kita terkejut kerana filem filem cerekarama TV3 di awal tahun 2000 menjadi sangat baik, bertema dan ada arah sasarannya. Menjelang 2010 prestasi semakin menurun dan temanya adalah itu itu itu dan itu sahaja... ada sahaja alasan yang diberikan oleh mereka dalam dunia perfileman. Ketika ini dunia filem Indonesia sedang mendadak naik. Indonesia sejak tahun 80an sudah membahagikan genre filem mereka. Filem Pawagan dan filem Festival. Kita di tahun 80an masih dinaungi oleh Pengarah dan pembikin filem syok sendiri... Pelik sifatnya. 80an dan 90an menyaksikan para artisan gah di Majalah sahaja. Sayang RTM dan Tv swasta jarang menayangkan semua ini, atas alasan apa tidaklah kita ketahui.

Takkan tidak ada filem malaysia yang bagus? Ada siapa kata tidak ada... barisan filem Rahim Razali yang tidak laku di pawagan kerana harus berfikir, filem filem arahan Jamil Sulong yang hebat, Filem filem Yasmin Ahmad dan dua tiga lagi oleh pengarah baru. Saya masih meminati filem Songlap (puas menonton filem itu sebenarnya). The Journey terpaksa saya tonton di youtube sahaja kerana takut untuk berjudi harap. Ada waktunya saya marah pada diri kerana tidak menyokong, tak sokong tapi nak filem yang baik....macamana mahu saya sokong filem terbitan MIG? nanti saya maki diri sendiri.

Lain orang lain citarasanya... oleh kerana itu saya jarang bersembang filem dengan teman teman. Saya takut tiba tiba mereka memuja muji Shah Rukh Khan dan Mahduri atau Aiswarya Rai. Begitu juga peminat filem musim panas hollywood. Saya tidak berminat. Kalau disanggah nanti marah pula teman teman mengatakan saya bercita rasa tinggi atau pelik. Saya suka filem filem lakonan Isabella Hupert dari prancis...filem filem tentang manusia. Filem filem perlahan arahan Zhang Yi Mao seperti not one less....Selera saya sudah tidak dapat mencerna kisah kisah orang kaya orang miskin dan tarian berkumpulan itu. Saya akan jadi meluat. Begitu juga kisah kisah tiruan ambil sana sikit ambil sini sikit...aiyo saya tidak boleh cerna semua itu.

Box office tidak akan memberi makna buat saya. long shot, close up, dialog, continuity dan macam macam akan diambil kira. Memang itu pun kemahiran mereka membuat filem. Kita mahu tengok bagaimana pengarah menghasilkan arahan supaya filem jadi lebih bulat dan padu. Menonton filem Malaysia kita mahu memaafkan satu dua kekhilafan pembikinan.

Kau cakap filem macam kau ni pandai pandai saja....

Malu juga kalau dikatakan begitu, kerana kita hanya penonton. Bukankah penonton juga ada kuasa membeli tiket? Jadi saya jarang bercerita tentang filem dengan teman teman, mungkin atas dasar citarasa tidak sama...

FILEM MALAYSIA YANG SAYA SUKA SETAKAT INI?

Jasmine 1 arahan Jamil Sulong

Langit Petang - Sharom Mohd Dom

Abang - Arahan Rahim Razali

Puteri - Rahim Razali

XXRay, Puteri Impian 1 -- Aziz M. Osman

Yasmin Ahmad dan siri penceritaannya

Songlap

Pekak

Selubung

dan dua tiga lagi yang mungkin saya sudah lupa... payah menanti filem Malaysia yang hebat. Ada dua tiga dalam senarai di atas yang sudah saya padamkan apabila dilihat semua. Re run yang potng stim tambah tambah di zaman dubbing dialog. Tetapi apa salahnya menonton kembali filem filem bodoh karya dahulu? Seronok bukan melihat bagaimana lontaran bintang bintang bimbo, lakonan yang kesinambungannya lucu atau melihat kembali lokasi lokasi yang sudah tidak ada?

Adiwiraku sudahpun berada di pawagam.... sama seperti the Journey saya akan menantikannya di You Tube sahaja atas dasar kekangan masa. Filem barat juga sudah saya kurangkan menonton inikan pula filem tempatan. Kalau mahu tahu tentang filem tempatan baru saya akan melayari Telygeram, di mana dua anak muda akan bercerita tentang filem filem baru. Mereka sangat positif dan berterus terang, saya suka. Ada dua tiga fikem Melayu yang telah mereka rebiu, rebiu mereka hampir sama seperti kemahuan saya terhadap filem tempatan.

Selamat menonton. Filem kita wajah kita... kata mereka.


CONVERSATIONWhere stories live. Discover now