Meliuk liuk kita penuh emosi berkumat kamit pada lagu Lee Ann Rhime dengan tajuk: HOW DO I LIVE
How do i live without you... how do i breath without you i want to know
if you ever leave...
Bagaikan sedang dilatih untuk meraung raung pada pemergian cinta yang ranap.
Begitulah seadanya kita manusia yang lengai apabila menangani hal kasih sayang sesama manusia. Tanpa ada rasa malu kita mengaku bahawa kita ini adalah ROMANTIK FREAK dan ada ketikanya menangis sendiri di kamar mengenangkan untung nasib ditinggalkan kekasih, suami atau pasangan. Pemergian dalam bentuk apa agaknya? Kematian? atau ditinggal seketul setelah gagal melihat keserasian dalam hubungan? dua dua hal HILANG ini harus ditangani sebaik mungkin agar peluang kita bernafas di masa akan datang jadi lebih bermakna. Berdosa meratap lama lama hingga sakit, berkesumat dan berwajah kering pahit.
Seringnya saya merasa bersalah apabila memberi saranan pada teman teman agar cepat berpindah tapak dari Pilu ke Ceria. Perasaan orang, apalah yang saya tahu? Sesekali saya menilik diri sendiri apakah saya manusia yang penting diri atau berhati kering. "Dunia ini luas" adalah frasa favurit saya apabila ada teman teman berwajah monyok seolah olah mencari rasa nyaman untuk berkisah tentang kisah cinta mereka yang tidak jadi. Tidaklah tahu samada saya ini manusia kejam atau tidak. Maafkan saya ya teman teman tersayang.
KONSEPNYA MUDAH:
Kita diserap masuk dalam dunia yang asyik masyuk bersama manusia yang seolah olah sempurna setelah lama sunyi dan berharap. Nafsu kita sedang bermain teka teki, kita belai dan dikhayalkan untuk seketika, muncullah frasa frasa Kau Milikku, Kesetiaaanku hanya padamu, kaulah sinar hidupku dan apabila segalanya terhenti kita jadi tidak keruan. Ini saat yang sangat mencabar sebenarnya. Ditambah dengan KEBERGANTUNGAN yang sudah kamu dakap sewaktu bersama. Rasa kosong dan hilang itu akan memberi gangguan hidup.
Ketika ini yang dunggu akan menjadi bagaikan manusia mental yang tertanya tanya kenapa mengapa? Secara berulang ulang dirasakan bahawa dunia tidak adil baginya, malah lebih teruk ada yang mengatakan bahawa Tuhan itu kejam (padahal yang hilang hanyalah manusia) Yang bijak bijak pula akan mencari kata kata penyedap, one of these days he will look back and missed my quality, padahal dia sudah melangkah kemana mana dalam hidup, ke ruang yang lebih bersinar, menemukan citarasa baharu atau sudah berbahagia, namun tetap berharap. Berharap agar dia kembali, terintip intip pada hidup baharu dia, berdoa jahat agar dia tidak bahagia, sematan di hati agar yang macam macam. Segala potensi diri jadi tidak bermakna ketika ini, setelah merasakan diri teraniaya dan menjadi mangsa cinta? atau mangsa apa apa sekalipun (untuk kebergantungan dalam bentuk yang lain).
Kamu harus kembali mencari titik kenal pada sifat manusia. Manusia yang merasakan dia berhak untuk terus ke depan dengan meninggalkan kamu, manusia yang bijak menyusun kata kata tetapi tetap kejam, manusia yang suka menggunakan alasan alasan agama dan lain lain. tambah menakutkan sekiranya kamu diberi syarat syarat yang menyesakkan. Kamu juga manusia jadi telaahlah sifat sifat ini dengan bijaksana. Jimat tenaga, emosi dan jiwa. Cuba kamu senaraikan sifat sifat manusia yang baik yang kamu rasa berhak untuk masuk dan berkongsi ruang dengan kamu. (ruang pekerjaan juga kalau dalam kes kerja)
LIHAT HAL HAL DI BAWAH
1. Potensi diri yang sudah kamu abaikan semenjak berhubung
2. Pengorbanan kamu selama ini yang tidak dihargai, patutkah dia didambakan lagi?
3. Kerapkah kamu menyalahkan diri apabila dia buat hal?
4. Apakah sumbangan dia selama ini pada kamu? Dari segi inspirasi, bantuan fizikal atau kewangan dan lain lain.
5. Kamu manusia yang bagaimana? Sanggup memulakan hidup baharu?
6. Kamu tahu untuk menikmati dunia ini secara solo?
7. Usaha yang sudah kamu letakkan dalam perhubungan? Apakah seimbang dengan dia yang kamu ratapi?
8. Selama ini apakah segala hal hal yang diubah (hobi, cara berpakaian, tata cara hidup) adalah untuk dirinya?
9. orang orang baik selama ini yang kamu kurang beri perhatian? Apakah mereka masih ada?
10. Apakah kamu kesal kerana terlupa bahawa dia juga manusia? ada kemahuan peribadi, citarasa dan mungkin tidak pernah seronok bersama kamu...
Manusia hadir sendiri dan dikuburkan sendirian juga. Bunyinya tentulah klise, di sini kita dapat melihat bagaimana kita mereka cipta kebergantungan selesa kita pada manusia yang lain. Ada ketikanya kita terlalu banyak mengalah dan mula bersangka baik yang memudaratkan pada manusia yang lain. Terlupa bahawa dia ada cita cita, citarasa dan mahu bebas atau apa, di sini kita akan melihat pula segmen penting diri kita. Meratap tentang hal hal curang, tidak adil, lupa diri, setia dan keliru seolah olah kita lupa bahawa entiti yang digantung harap itu adalah hanya MANUSIA.
Begitu juga dengan kebergantungan dalam kerjaya dan menjana pendapatan. Kita terlalu selesa dan tidak membayangkan apa akan terjadi sekiranya segalanya harus berhenti? Saat terduduk seolah olah terlupa pada kemampuan diri dan tulang empat kerat. Terlupa juga pada rezeki rezeki baharu yang menantikan usaha kita sebagai manusia. Kita merungut seolah langit sedang mahu runtuh. Kebergantungan pada tempat kerja juga harus berpada pada, agar kita tampil sebagai manusia yang tidak desperado.
Membayangkan diri yang hilang segala galanya setelah dia pergi adalah sesuatu yang agak bodoh. Merugikan masa dan tenaga sedangkan dunia ini ada sahaja potensi baharu dan eksplorasi hidup yang harus kamu nikmati seterusnya meskipun bersendirian. Terlupa pada dunia yang indah, udara yang segar, muzik yang menenangkan, secangkir minuman lazat dan adanya orang orang sekeliling yang peduli pada dirimu. Tidakkah itu merugikan?
Ratapan kamu akhirnya akan berbunyi seperti marah, keliru, cemburu, ugutan, ungkitan dan macam macam hal sesalan. Dibuatnya pula segala terjemahan itu muncul secara fizikal di dirimu. Cengkung, berkerut kening, pahit dan kusam sedangkan dunia yang luas ini ternanti nanti pada dirimu yang sebelum ini ceria dan penuh dengan sifat optimistik.
Mudahnya kamu bercakap! Mungkin itu ungkapan buat artikel ini... namun saya tetap mahu kamu melihat kembali pada hal hal yang kamu terlupa sewaktu beruntung berada di dalam hubungan dan tanpa sedar mereka KEBERGANTUNGAN. Menjadi manusia haruslah berani, sanggup bahagia dan sanggup juga menghadapi dugaan dan rintangan hidup. Keluar dari kebergantungan adalah satu daripadanya.
Tidak dapat lari, kita berhubung dalam menjalani kehidupan harian. Ada hadnya dan ada petanda petanda yang harus kamu lihat dengan penuh hati hati demi kasihan pada diri. Merataplah sehari dua, kemudian bingkas bangun semula (saya ulangi berkali kali).
Setelah membaca artikel ini diharapkan kamu tidak terus mabuk dan sentiasa beringat ingat dalam menjalani kehidupan, sedang bahagia atau sedang galau cubalah terapkan bahawa bergantung harap pada manusia itu ada hadnya dan tidak boleh berlebih lebih.
Salam Bahagia.
YOU ARE READING
CONVERSATION
RandomConversation, what sort? Will you be able to tolerate? 1. Me and me and my story alone? 2. Pop talk about music, movie on people you hardly know? 3. Deep political talk as if the minister is his/her uncle? 4. Opinionated friend who got nothing to pr...