APA NANTI ORANG KATA?

118 3 1
                                    

SAKIT APA ORANG KATA

Mengawal mengawal dan mengawal dengan tujuan yang sangat jelas takut nanti, apa dikata orang?

Secara asasnya kita dilatih awal dalam hal yang satu ini, kerana ada peraturan yang tidak tertulis dalam pembentukan sosial masing masing.

Secara mudah ramai dari kita mengambil langkah selamat, supaya tidak dipersoalkan segala tindak tanduk kita dalam kehidupan. Selalunya hal hal yang melibatkan maruah manusia dalam masyarakat.

1. Gerak geri yang disahkan secara piawai/standard

2. Berpakaian dalam masyarakat

3. Kata kata yang dipantau apabila berbicara

4. Norma norma hidup yang difikirkan selari

5. Seksualiti pilihan harus tepat dengan kebiasaan.

Bahaya 'sakit' ini semakin menjadi jadi apabila dunia semakin menuju ke era baru. Pertembungan antara generasi lama dan baru membuatkan kita semakin berjaga jaga. Begitu juga dengan pembahagian hidup secara Agama, Politik dan Keterbiasaan Sosial. Kesemua ini akan menghadirkan konflik yang pelbagai.

Sakit Apa Orang Kata menuntut pemahaman dan tindakan yang munasabah bersesuaian zaman. Perbalahan dan alasan alasan mempertahankan diri dan tindakan itulah yang membuahkan proses hidup dalam sesebuah masyarakat.

Kembali pada kemahuan asas masyarakat yang masing masing mahukah hidup yang piawai dan tidak dipersoalkan, menjadikan kita menghidari frasa NANTI APA ORANG KATA sebagai garis pandu. Sakit yang kita bincangkan ini melibatkan pelbagai peringkat dalam masyarakat bermula dari ruang keluarga, tempat kerja, kawasan tempat tinggal dan apa saja ruang yang ada keterlibatan manusia yang lain.

Dalam banyak waktu, demi keselesaan hidup dan pergerakan manusia, kita harus menjadi berani untuk menangani sebarang persoalan yang timbul atas segala tindakan yang kita ambil. Ramai yang bergerak atas dasar rasa takut pada APA ORANG KATA. Ada yang bahagia ada yang merasa tidak gembira apabila dihakimi secara kasual ataupun rasmi.

Bukan semua manusia mempunyai kekuatan yang sama untuk menghadapi konflik ini. Ada yang mampu menghadapinya secara terhormat kerana sudah bersedia dengan alasan alasan mereka. Ada yang tertekan kerana harus mengikut telunjuk demi menghindari penyakit APA ORANG KATA.

Berlandaskan perihal yang satu inilah, manusia dari waktu ke waktu disarankan untuk menilik kembali jati diri supaya mampu melayari gerak langkah kehidupan secara realistik, relavan tanpa dipaksa paksa oleh kuasa lain selayaknya.

Ramai yang berhadapan dengan tekanan hidup hanya kerana mahu memenuhi Piawaian Kehendak orang lain. Contoh contoh terdekat

1. Bentuk majlis kahwin yang perlu walaupun tiada kemampuan

2. Penafian berpanjangan tentang seksualiti diri, ahli keluarga atau pucuk pimpinan

3. Gerak langkah yang melibatkan akidah dan pemahaman agama.

4. Pemilihan busana demi keterampilan diri yang tidak bebas kerana takut untuk dipersoalkan kelak.

5. Sistem politik yang gemar bermain dengan hal hal bangsa, ras dan agama. (semua negara menyintai Pak Turut atau lembu yang dicucuk hidung).

Atas dasar ini juga kita perhatikan ramai dari kita berusaha keras mahu menjadi ketua, pemimpin dan pencorak hidup. Tanpa sedar kita menggunakan kuasa kita untuk menentukan gaya, cara, tata, budaya hidup orang lain samada dalam bentuk kekerasan atau secara tidak langsung yang lembut. Dikukuhkan lagi dengan alasan alasan sedia ada secara tradisi atau ciptaan, dengan alasan utama Demi Keharmonian masyarakat.

Mereka yang berjaya melepasi hadangan APA ORANG KATA selalunya adalah mereka yang bersifat kendiri yang kuat mental dan fizikal, berdikari dan percaya pada inovasi baru dan menghormati ilmu dalam menempuhi kehidupan. Tidak dapat dinafikan ada nilai nilai hidup tradisi yang tidak tertinggal zaman diangkat walau di zaman mana sekalipun. Ada juga nilai nilai hidup baru yang harus melalui tempoh percubaan kesesuaian zaman.

Laras pemikiran sesama manusia itu tidak sama secara semula jadi, mana mungkin kita mengikut kemahuan semua. Mencari jalan tengah adalah proses yagn sering kita lakukan sebenarnya. Dalam menangani hal manusia ada keterlibatan tahap akademik, latar belakang, budaya, kawalan nafsu diri, cita cita dan aspirasi hidup masing masing.

Dalam kita menidakkan frasa APA NANTI ORANG KATA, sebagai manusia yang matang kita dituntut untuk memiliki maruah moral yang tinggi, berbudaya, menghormati, beretika dan kuat semangat.

Untuk hal hal manusiawi yang remeh, apakah kamu masih takut pada APA KATA ORANG?

Satu perkara yang harus kamu sematkan di hati. Manusia akan sentiasa bercakap, pertikai dan berpendapat selagi mereka bernama manusia.

Sebagai tuan punya TUBUH apa keadaan sedia ada kamu?

CONVERSATIONWhere stories live. Discover now