ACHTUNG!
"Andai terdapat babak, dialog, ayat atau perkataan kurang sopan, lucah, kesat atau terlampau di bawah ini, harap pembaca berfikiran terbuka. Itu semua perlu untuk menghidupkan karya aku. Namun semuanya aku persembahkan secara terkawal & tak keterlaluan. Harap maaf andai ia mengganggu minda sesetengah pembaca yang berbudi pekerti tinggi lagi mulia akhlaknya serta yang mementingkan adab sopan dalam berkarya"
•••♦◄♥►♦•••
Setiba mereka di halaman rumah Che Embun, kedapatan ramai orang yang berlari ke sana sini seolah satu kampung diserang geroda* lakunya.
Suasana hiruk-pikuk dengan jeritan juga teriakan ibu-ibu dan anak-anak mencari perlindungan. Para lelakinya pula semua tertumpu di belakang rumah yang agak merimbun dengan pepohon renek pelbagai jenis.
"Syukurlah, Pak Ujang dan Tuan Alfred dah sampai. Dapatlah kiranya memberi petua atau cadangan untuk kita sama-sama lemahkan kerbau jantan naik minyak itu. Tak tertahan lagi saya tengok orang lelaki kita ditanduk dan dihumban ke samping."
Badar meluru menceritakan perihal apa yang membuatkan keadaan jadi gawat lagi gamat itu. Di sebelahnya, berdiri gagah Senayan, anak remaja Ujang Bohol, abang si Juhar.
Walau baru menginjak enam belas tahun, namun amat sasa dan tegap binaan tubuhnya. Basah lencun baju yang dipakainya dek peluh kerana baru menyudahkan kerja mengapak kayu api untuk dibuat masak kenduri.
"Apa masih belum dapat lagikah kerbau jantan itu dikekang dan dijinakkan?" tanya Usop Mekar.
Dia mencapai sebatang kayu beroti* dari bawah sepohon manggis di halaman.
Badar cuma menggelengkan kepala dengan wajah cemas lagi runsing.
"Siapa-siapa lagi yang cedera dan tak berdaya?" soal Ujang Bohol.
"Selain dari Pak Muradi yang mula-mula kena sondol, Cik Kemal, Jumari dan Usin Paka juga jatuh terlentang dilanyak dan dilibas tanduk sang kerbau gila itu.
"Mujur baik mereka tak parah atau jadi arwah. Kalau difikirkan, memang pelik dan aneh kelaku binatang itu. Kelmarin, ia amat jinak mendengar kata, tapi tiba pagi, semua orang nak dilaga."
Penjelasan Badar membuatkan Ujang Bohol melirik akan wajah Tuan Alfred yang menampakkan riak hairan.
"Usah risau, tuan. Selagi senapang di tangan, nescaya harimau pun tak berani menghampir. Kita tawakal dan berserah saja. Ayuh Badar, tunjukkan di mana kerbau itu," ujarnya.
"Di sana, di belakang rumah yang berparit dengan air setinggi pinggang. Binatang itu mungkin keletihan dan berendam menyejukkan badan," balas Badar seraya mengatur langkah laju bersama Senayan.
Tuan Alfred, Ujang Bohol dan Usop Mekar mengekor tak bertangguh.
"Menjauh semua. Jangan berhimpun di sini, nanti makin naik minyak binatang itu," arah Ujang Bohol.
Sang kerbau kelihatan tenang berendam dalam air yang kini sudah keruh. Kepala dengan tanduk dua hasta timbul di permukaan. Ia mendengus dan mengerak-gerakkan kepala ke kiri ke kanan.
Orang yang tadinya ramai memerhati kian berundur. Mungkin takut akan lelaki Inggeris yang sedang menyandang senapang.
"Hati-hati, tuan. Kalau nak menembak, jangan sampai ia segera mati nanti tak sempat nak disembelih, rugi saja kita," pesan Usop Mekar.
"Saya tau, Usop. Bukankah Usop dah terangkan dulu pasal pantang larang juga halal haram? Saya masih ingat dan masih pegang akan pesan itu," balas Tuan Alfred.
YOU ARE READING
• bu𝓭ak bukit •
Paranormal• 𝓬𝓸𝓶𝓹𝓵𝓮𝓽𝓮𝓭 • Kedatangan budak baru, anak pengurus ladang tinggalan kolonial, telah membangkitkan 'sesuatu' yang lama terpendam di daerah sepi itu. Rentetan kejadian pelik, aneh lagi sadis mula mengekori dia serta kekawannya. Dapatkah dia m...