ACHTUNG
"Andai terdapat babak, dialog, ayat atau perkataan kurang sopan, lucah, kesat atau terlampau di bawah ini, harap pembaca berfikiran terbuka. Itu semua perlu untuk menghidupkan karya aku. Namun semuanya aku persembahkan secara terkawal & tak keterlaluan. Harap maaf andai ia mengganggu minda sesetengah pembaca yang berbudi pekerti tinggi lagi mulia akhlaknya serta yang mementingkan adab sopan dalam berkarya"
•••♦◄♥►♦•••
Sepanjang perjalanan menyusuri kebun-kebun serta hutan dan semak, perasaan Ehsan jadi tenang. Nampak olehnya kedamaian kawasan tersebut.
Dan tatkala mereka melewati* pagar banglo Tuan Alfred, dia terpegun bila memandang akan betapa gah dan cantiknya rumah agam itu. Catnya masih baru dan terang, hitam dan putih, jelas kelihatan.
Banyak kedapatan pepohon di kawasan banglo tersebut. Namun, kolam renang yang sering menjadi tumpuan mereka bersantai belum lagi dibina. Ianya dipenuhi oleh taman bunga beraneka jenis serta warna.
Sungguh cantik pada penglihatan matanya akan halaman serta persekitaran bangunan kolonial itu. Mahu saja dia masuk dan melihat secara lebih dekat lagi.
"Aku andaikan yang engkau pernah berkunjung ke banglo ini, bukan? Tentu banyak perubahannya jika dibandingkan dengan banglo di zaman engkau itu," Senayan bersuara sambil mengayuh penuh payah.
"Ya, memang ade gak perubahan. Banglo ini nampak terang dan cantik sesangat. Di zaman kami, dah agak berlumut dan usang," jawab Ehsan.
"Wahai, Ehsan. Adakah kau berasal dari daerah ini? Siapa nenek moyang engkau? Apa, tidak menjadi keberatan jika kau jelaskan padaku?"
"Eh, no problem. Saya boleh bagitau pasal tu. Saya memang lahir kat sini. Nun, kat hujung jalan banglo ni. Ade anak sungai dan hutan di belakang rumah saya tu. Bapak saya asal dari Teluk Anson, mak saya plak anak jati kampung ni."
"Siapa nama emak engkau itu dan siapa bapanya?"
"Nama mak saya, Nur Manis binti Hisan."
"Hisan itu pula anak siapa?"
"Kalau tak silap saya, Hisan bin Ideris."
"Ideris? Hmm, mungkin juga itu anak kepada pasangan Abang Maseri dan Kak Seri Santun yang tinggalnya di hujung jalan ini, seperti yang kau cakapkan tadi. Apa, tak inginkah kau berjumpa dengan kedua moyang kau itu?"
"Eh, memang saya teringin sesangat, tapi kita tak ade banyak masa. Mungkin di lain kali je kot?"
"Ya, benar katamu itu. Sekarang, kita ke rumahku saja. Berkenalan dengan keluargaku serta isteriku. Nanti kau dapat berehat, makan dan tidur dengan tenang. Bukankah ketenangan itu penting untuk kau kembali semula ke zaman masa depan?"
"Hmm, betul tu. Saya pun rasa tak sabar nak jumpak ngan keluarga awak dan makan masakan Melayu lama."
"Tapi, kau kena ubah cara percakapan kau itu. Sekarang ini bunyinya terlalu asing. Pelik dan ganjil pada pendengaran orang lain. Nanti keluargaku pasti syak akan dikau."
"Okey, no problem. Di sekolah pun saya ade gak belajar bahasa Melayu klasik ni. Boleh arr saya try cakap cam tu kat rumah awak nanti. Lagipun, saya ade gak layan filem Melayu lama kat TV."
"Bagus. Senang sekali aku mendengar akan kata-kata kau. Tapi, apa itu TV?"
"Nanti arr saya bagitau awak, time kita berehat dan bersantai kat rumah awak, okey?"
YOU ARE READING
• bu𝓭ak bukit •
Paranormal• 𝓬𝓸𝓶𝓹𝓵𝓮𝓽𝓮𝓭 • Kedatangan budak baru, anak pengurus ladang tinggalan kolonial, telah membangkitkan 'sesuatu' yang lama terpendam di daerah sepi itu. Rentetan kejadian pelik, aneh lagi sadis mula mengekori dia serta kekawannya. Dapatkah dia m...