ACHTUNG
"Andai terdapat babak, dialog, ayat atau perkataan kurang sopan, lucah, kesat atau terlampau di bawah ini, harap pembaca berfikiran terbuka. Itu semua perlu untuk menghidupkan karya aku. Namun semuanya aku persembahkan secara terkawal & tak keterlaluan. Harap maaf andai ia mengganggu minda sesetengah pembaca yang berbudi pekerti tinggi lagi mulia akhlaknya serta yang mementingkan adab sopan dalam berkarya"
•••♦◄♥►♦•••
"Apa kau ini sudah gilakah, Badar? Waraskah fikiran kau saat ini? Atau Mak Bidan itu sudah kenakan guna-guna pada kau?"
Lantang Che Embun bersuara tatkala anak jantan perkasanya itu menyuarakan kecintaannya pada si bidan tua.
Malahan, anaknya juga berhasrat untuk mengambil orang tua itu sebagai isterinya. Itu yang mendatangkan kemarahan pada si emak.
"Apa salahnya, mak? Saya ini sudah cukup usia untuk berbini. Kerja saya juga sudah molek sekarang ini. Gajinya saja lebih lumayan dari orang-orang lain yang berkeluarga itu."
"Iya, memang engkau itu sudah dewasa. Kerja engkau pun kian mantap duduknya. Tapi, pilihan kau itu tidak sesuai. Mak Bidan sudah lanjut usianya. Dia itu boleh saja kau panggil nenek. Tak betah aku punya menantu yang tua melebihi aku."
"Itu saya sedia maklum, mak. Usia kami mungkin bezanya enam puluh tujuh tahun. Namun, cinta dan kasih sayang itu tidak sesekali mengenal umur. Ikhlas dan suci itu yang diambil kira dan paling utama."
Mengeluh Che Embun mendengar akan jawapan Badar. Senyonyong atau guna-guna apa yang bidan itu sudah tanamkan dalam fikiran anaknya?
Namun, dia tidak berani untuk menuduh yang Mak Bidan melakukan kerja syirik ke atas anaknya itu tanpa bukti atau sebarang saksi mata.
Juga, tak sanggup pula dia hendak menyanggah atau melarang Badar meneruskan hasrat cintanya itu. Tempoh hari, dia sudah kehilangan suami. Tak sanggup dia kehilangan anak jantan kesayangan andai dibantah keinginannya.
Punahlah harapannya untuk melihat Badar beristerikan si Zaiton, anaknya Joyah Cekeding, jiran sekampung mereka.
Cantik manis serta sopan akhlaknya gadis sunti itu. Paling penting, Zaiton itu masih muda benar. Segar, harum dan cekang* segenap anggota tubuh. Baru menginjak lima belas tahun usianya.
Teramat padan mereka disatukan. Bak pinang dibelah dua andai Badar berbinikan anak si Joyah Cekeding itu. Namun, semuanya kini tinggal anganan yang tak kesampaian.
"Aku tahu, engkau itu cemburu akan si Senayan kerna walau masih muda, dia sudah pun berbini, bukan? Walau Salmeah itu lebih tua dari Senayan. Tapi ianya tidaklah setua pilihan engkau itu. Ramai lagi anak dara yang secocok buat kau."
Che Embun menyuarakan sisa-sisa harapan yang mungkin masih ada demi untuk menyedarkan Badar.
"Tiadalah saya menyimpan rasa cemburu walau sebesar hama pun akan si Senayan itu. Jika saya cemburu, kenapa saya memilih Mak Bidan yang jauh berusia itu? Lebih molek kalau saya cari anak dara di tetangga kita saja."
Emaknya terdiam termangu. Ada yang mahu diperkatakannya, namun mulutnya tak daya bersuara.
"Saya tahu, mak sudah berkenan pada si Zaiton, bukan? Mulanya, saya juga berahi akan dia. Tapi, tatkala terlihat betapa Mak Bidan itu bersungguh dalam menolong dan membantu kita, terdetik satu perasaan kasih saya padanya."
"Badar, andai itu alasan kau, kita boleh saja membayar pada Mak Bidan segala jasa baktinya itu. Tapi, janganlah engkau pula yang harus berkorban diri. Itu namanya pengorbanan yang sia-sia. Natijahnya, kau akan merana kelak."
YOU ARE READING
• bu𝓭ak bukit •
Paranormal• 𝓬𝓸𝓶𝓹𝓵𝓮𝓽𝓮𝓭 • Kedatangan budak baru, anak pengurus ladang tinggalan kolonial, telah membangkitkan 'sesuatu' yang lama terpendam di daerah sepi itu. Rentetan kejadian pelik, aneh lagi sadis mula mengekori dia serta kekawannya. Dapatkah dia m...