ACHTUNG!
"Andai terdapat babak, dialog, ayat atau perkataan kurang sopan, lucah, kesat atau terlampau di bawah ini, harap pembaca berfikiran terbuka. Itu semua perlu untuk menghidupkan karya aku. Namun semuanya aku persembahkan secara terkawal & tak keterlaluan. Harap maaf andai ia mengganggu minda sesetengah pembaca yang berbudi pekerti tinggi lagi mulia akhlaknya serta yang mementingkan adab sopan dalam berkarya"
•••♦◄♥►♦•••
Keesokannya, Kampung Bukit Pasak serta daerah berhampirannya gempar dan riuh dek penemuan dua mayat lelaki di pinggir paya.
Mayat Lajim dan Derus ditemukan saling berdekatan, di bawah pohon jejawi merimbun. Keadaan mereka sungguh menyayat hati dengan perut terburai dek radakan senjata tajam seumpama kuku beruang hitam.
Mata keduanya terbeliak seolah sebelum ajal menjemput, mereka melihat sesuatu yang maha menakutkan lagi mengerikan.
Paling menimbulkan tanda tanya, bilamana alat sulit mereka berdua juga hilang seakan dipotong atau dimamah binatang buas.
"Pelik dan ganjil teramat. Kalau mereka berdua diserang atau dikerkah harimau, mengapa hanya perut diradak? Kenapa tidak dimakan daging atau isi tubuh. Juga, apa jenis binatang yang memamah alat kelakian manusia?
"Pada firasat aku, ini bukan kerja haiwan buas di hutan belantara kampung kita ini. Tapi, mungkin angkara makhluk lain yang boleh dikaitkan dengan serangan beruk di majlis kenduri Tuan Alfred dahulu."
Penjelasan Aki Latib membuatkan beberapa orang lelaki serta kanak-kanak yang ada di situ terkedu, menelan air liur.
Ada yang berwajah cemas, memerhati sekeliling dengan tangan menggenggam parang juga golok buat mempertahankan diri.
Ujang Bohol juga tergamam. Tak mampu dia bertanya lebih lanjut. Mula dia terfikir akan keselamatan keluarganya, juga jiran tetangga.
"Benarkah begitu, wahai Aki? Jika benar, alamat geruh lagilah kampung kita ini. Tak habis-habisnya bencana dan musibah melanda.
"Apa harus kita buat? Rondaan setiap malam pun tak berkesan juga. Bila sudah ada yang mati dalam keadaan mengerikan seperti ini, maka yang lain pun makin cuak dan resah.
"Bagaimana dengan orang-orang kampung yang terpaksa keluar ke kebun atau ke dusun di awal pagi gelap? Musibah apakah yang kita hadapi ini, Aki?"
Pertanyaan Daim Keleper itu makin membuatkan semua yang ada kecut perut. Mereka serentak memandang si guru silat, menunggu arahan mahupun jawapan pasti daripada bibir tuanya.
"Huh, aku sendiri pun bingung akan permasalahan terbaru kita ini. Nantilah, biar aku duduk memikirkan jalan penyelesaiannya dulu.
"Sementara itu, engkau semua, tolong uruskan mayat kedua jiran sekampung kita ini. Khabarkan juga pada keluarga mereka akan kejadian malang yang menimpa.
"Mulai malam nanti, kita hentikan dulu segala rondaan dan pengawasan. Jangan dedahkan diri kita pada bahaya yang tak kita ketahui puncanya. Nanti kita adakan perjumpaan di rumah tok ketua.
"Biar dia yang tentukan apa langkah hala tuju kita seterusnya. Sambil itu, arahkan agar orang kampung lebih berhati-hati tatkala keluar di malam hari.
"Sentiasa membawa senjata di pinggang. Jamung serta lampu suluh jangan diabaikan. Satu lagi, bergeraklah secara berkumpulan. Jangan menyendiri buat berani," ujar Aki Latib.
Dia lalu melangkah meninggalkan kawasan tersebut. Kusut fikirannya dek kejadian ini. Tentu penduduk daerah ini akan rasa tak selamat lagi.
Sebagai guru silat merangkap penjaga keamanan kampung, semua beban pasti akan terletak di bahu aku. Makanya, aku harus berbincang dengan Bidan Mak Hindon. Mungkin dia mampu menilik apa yang mata kasar kami tak nampak.. dia bergumam dalam hati.
"Pstt.. aku rasa, dari cara luka dan cedera si Lajim serta si Derus ini, tak lain dari kerja sang pontianak belaan Chu Manis itu. Lihat saja luka di perut mereka.
"Itu semacam diakibatkan oleh kuku tajam pontianak saja. Huh, takutnya aku. Kasihan Lajim, kasihan Derus, matinya penuh seksa dan penuh ketakutan," bisik Dali Siliwanga kepada Cik Kemal.
"Yalah, aku pun sama gemuruh dan cuak. Mengapa alat kejantanan mereka pun dimamah si pontianak? Apakah dia sudah kemaruk nak berasmara?" balas Cik Kemal sambil mencekup alat sulitnya, seriau.
"Tengok saja persekitaran di sini. Bukankah amat menyeramkan? Orang cakap, pokok jejawi merimbun sering menjadi rumah berteduh hantu-hantu, terutama sekali pontianak," tambah Dali Siliwanga.
"Kalau benar ini kerja pontianak, kita harus segera dapatkan paku besi panjang sejengkal. Kalau nasib bertuah, si hantu hodoh dapat kita jadikan isteri. Kononnya, dia amat cantik jelita jika paku dapat ditusuk ke tengkuknya.. ha ha ha," sampuk Maserun, seolahnya satu jenaka pula.
Badar yang mendengar mendengus geram. Tangannya kejap menggenggam golok perak hadiah Tuan Alfred tempoh hari.
•••♦◄♥►♦•••
• TUEasa | 07082018 | 716 words •
YOU ARE READING
• bu𝓭ak bukit •
Paranormal• 𝓬𝓸𝓶𝓹𝓵𝓮𝓽𝓮𝓭 • Kedatangan budak baru, anak pengurus ladang tinggalan kolonial, telah membangkitkan 'sesuatu' yang lama terpendam di daerah sepi itu. Rentetan kejadian pelik, aneh lagi sadis mula mengekori dia serta kekawannya. Dapatkah dia m...