BAB 64: KEMUNCULAN NEKRUIS DI ESKIMOS

47 7 1
                                    

Nekruis mengelap mulutnya yang telah berhenti mengalirkan darah. Tubuhnya semulajadi memperbaiki keadaan kecederaan dalamannya tetapi semasa berada di dalam ruang dimensi kristal sebelum ini, kuasanya langsung tidak dapat digunakan. Ada sekatan kuasa di dalam tempat itu. Disebabkan itu, dia hanya menggunakan daya keinginan dan kekuatan tubuhnya untuk menahan tekanan daripada kristal tersebut.

Setelah merasakan tubuhnya pulih sepenuhnya, dia keluar dari tempat itu dan kembali ke kamarnya. Pintu biliknya diketuk oleh seseorang tidak lama kemudian.

"Masuk," katanya lalu duduk di ruang santai bilik itu. 

Pintu dibuka dari luar lalu ditutup semula setelah Amidis masuk. Dia tunduk hormat ke arah Nekruis.

"Tuanku, patik ada maklumat baru mengenai keadaan Putera Zeliker," beritahunya. Matanya hanya memandang ke kaki Nekruis kerana tidak berani untuk bertentang mata dengan Nekruis.

"Sebut."

"Putera Zeliker telah menyertai peperangan yang akan datang sebagai bantuan."

Nekruis tersenyum. "Sememangnya anakanda beta," pujinya. Pada masa ini, anak matanya yang tajam menjadi sedikit lembut. 

"Lelaki yang mempunyai kristal di kepalanya ada bersama?" Tanyanya.

"Ada, tuanku. Namanya Vilemia Xium. Dia sentiasa berada di sisi Putera Zeliker. Tapi, ampunkan patik. Patik tidak dapat mencari maklumat lelaki itu. Dia tiba-tiba telah berada di sisi Putera Zeliker selepas tuanku Zeliker kembali Eskimos." 

Amidis maksudkan waktu Stiria diculik dan kembali ke Eskimos bersama Zeliker, Xium dan Elgarb serta kumpulan yang pergi ke Miko untuk bertemu Stiria dan lain-lain.

"Xium, dia telah muncul semula akhirnya. Betapa lama 'Kami' menunggunya. Lama benar dia tidur..." Fikir Nekruis dalam diam. 'Kami' yang dimaksudkan adalah dia dan Alinda. Tanpa pengetahuan sesiapa, Nekruis dan Alinda telah mengetahui kewujudan Xium semenjak dahulu kala. Cuma kehadiran Xium dirahsiakan.

"Tuanku, patik mendapat tahu puteri manusia telah mengikat perkahwinan dengan putera Zeliker pada tahun baru. Akan tetapi, disebabkan peperangan perkahwinan mereka dilanjutkan selepas peperangan. Apa arahan tuanku?"

"....." Mata Nekruis sedikit kelam mendengarnya. Walaupun maklumat tersebut pernah didengarnya tetapi belum mendapat kepastian.

Anaknya mahu berkahwin dengan manusia? 

"Berani benar dia. Dia tidak minta kebenaran daripada aku tapi... Alinda pastinya telah menghalang mereka selama ini jika dia tidak bersetuju. Jika tiada apa-apa selama ini, adakah ini bermakna isteriku setuju dengan perkahwinan mereka?" Nekruis menyoal sendiri dalam diam.

Amidis mendiamkan diri dan menunggu arahan daripada Nekruis.

"Semasa peperangan jika kamu menemui anakanda beta, bawa dia balik. Jika tidak dapat, hantar orang untuk mengintip dia. Tidak perlu buat apa-apa. Kamu boleh pergi." Nekruis berkata sambil memikirkan sesuatu.

"Y-Ya, tuanku! Patik menerima arahan!" Amidis terkesima kerana dia membayangkan Nekruis akan menghantar orang untuk memusnahkan ikatan perkahwinan antara Zeliker dan Stiria atau membunuh kaum diraja yang berani mengahwinkan putera mereka tetapi ia tidak berlaku.

Apa agaknya yang Nekruis rancang untuk mereka? Dia tidak tahu dan tidak mahu menanya, takut Nekruis menjadi marah. Dia segera beredar setelah mendapat arahannya.

Nekruis bangun dari sofa yang didudukinya lalu berjalan ke pintu bercermin yang menghala ke beranda luar bilik itu. Dari biliknya dia dapat melihat kesibukan bandar istananya. Di sebalik bandar, selepas itu pula adalah hutan berdaun merah yang kehidupan di dalamnya membahayakan kaum manusia yang menjelajah masuk. Untuk kaum syaitan, mereka telah biasa berada dalam bahaya dan tidak merisaukan serangan dari kehidupan hutan tersebut. 

GUIDE TO NEW ERA (BAHASA MELAYU) #Wattys2016 [COMPLETE]Where stories live. Discover now