"Anakanda Kaizelan, mari ikut ayahanda selepas ini," kata Raja Entenoa, Perizlo Anoie kepada Kaizelan yang baru berumur 11 tahun.
Ketika ini, Eshren berumur 8 tahun dan Zeriew, 5 tahun. Kaizelan merupakan anak sulung keluarga diraja di Entenoa. Memandangkan dia adalah pewaris takhta yang seterusnya, dia sentiasa bersama Raja Perizlo. Raja Perizlo memastikan Kaizelan dilatih daripada kecil untuk membiasakan diri sebelum mengambil alih takhtanya. Disebabkan ini, Kaizelan sentiasa sibuk. Walaupun begitu, dia masih melayan karenah adik-adiknya yang nakal.
Tanpa banyak tanya ke mana ayahandanya ingin membawanya, Kaizelan seperti biasa menurut sahaja. Selain mereka berdua, terdapat seorang pembantu kanan Perizlo yang menemani mereka. Namanya Volwef.
Perizlo membawa mereka masuk ke dalam sebuah bangunan. Bangunan tersebut adalah makam raja dan permaisuri. Ia adalah tempat perkuburan semua raja dan permaisuri Entenoa dari generasi pertama ke generasi yang terkini. Di dalamnya, terdapat banyak keranda yang disusun secara bulat manakala di tengah bangunan adalah ruang dataran bulatan yang luas. Di hujung kepala keranda pula terdapat patung-patung yang sama iras dengan rupa bentuk semua raja dan permaisuri masa lalu.
Apabila Kaizelan melangkah masuk melepasi pintu bangunan tersebut, tubuhnya tiba-tiba berasa seram sejuk bagaikan sesuatu yang tidak diketahuinya mengelilinginya.
"A-Ayahanda...?" Panggilnya dengan takut.
Perizlo dan Volwef berhenti berjalan dan memandang ke arahnya.
"Nampaknya kamu rasa kehadiran mereka. Haih... Adakah ini takdir semua anak sulung keluarga ni?" Keluh Perizlo dalam suara yang perlahan.
"Tuanku perlu bersedia," kata Volwef.
"Em..." Mata Perizlo sayu sedikit sebelum ia hilang di sebalik keseriusannya.
"Huh?" Kaizelan yang mendengar perbualan mereka berasa runsing. Apa maksud ayahandanya? Dia tidak faham.
"Mari, anakanda. Tiada apa-apa yang boleh menakutkan kamu di sini. Lihat! Semua keranda di sini adalah datuk nenek moyang kamu," kata Perizlo.
Kaizelan memandang semua keranda satu per satu. Ini kali pertama dia memasuki bangunan tersebut kerana dia dan adik-adiknya dilarang masuk oleh Perizlo dan bonda mereka, Yona Anoie. Alasannya kerana tempat itu adalah suci dan tidak boleh diganggu.
Setelah melihat semua keranda di situ, Kaizelan berasa tubuhnya tidak lagi berat dan takut. Dia berjalan mendekati Perizlo dan Volwef yang berada di tengah bulatan semua keranda tersebut.
"Apa yang ayahanda ingin buat di sini?" Tanyanya.
Perizlo memberikan senyuman kecil.
"Anakanda, setiap kali anak pertama semua raja yang mencapai umur 11 tahun, mereka akan dibawa ke sini untuk mendapatkan restu daripada raja-raja masa lepas. Pada masa yang sama, mereka akan diberikan kuasa dewa yang unik supaya mereka dapat melindungi negara ini daripada diserang negara lain," terang Perizlo sambil berjalan ke belakang Kaizelan.
Dia juga menyentuh bahu kanan Kaizelan dengan kanan tangannya.
"Kuasa dewa?" Kaizelan terkelu mendengarnya.
"Anakanda, suatu hari nanti ayahanda akan terangkan lebih lanjut. Buat masa ini, anakanda kemungkinan akan rasa sedikit mengantuk."
Perizlo mengerling ke arah Volwef yang berada di belakangnya. Volwef yang mendapat isyarat perlahan-lahan bergerak ke belakang dan hilang di sebalik kegelapan dalam bangunan itu.
"Mengantuk? Anakanda tak rasa mengantuk pun ayahanda..." Kata Kaizelan sebelum dia menguap dan mengesat matanya yang tiba-tiba berasa letih.
Beberapa saat kemudian, tubuhnya jatuh ke hadapan tetapi dia tidak tersembam ke lantai kerana Perizlo segera menangkap tubuhnya. Perizlo kemudiannya perlahan-lahan membaringkan Kaizelan di tengah-tengah bulatan semua keranda tersebut. Setelah itu, dia meloncat ke atas dan menterbalikkan tubuhnya di atas syiling seperti kelawar.
YOU ARE READING
GUIDE TO NEW ERA (BAHASA MELAYU) #Wattys2016 [COMPLETE]
FantasySemenjak dahulu, hidup satu kaum manusia dengan kebolehan yg hebat. Mereka boleh menggunakan kuasa tetapi boleh hidup di planet yang sama dengan manusia biasa kecuali mereka tidak mempunyai persamaan dari segi organ-organ dalaman mereka walaupun ru...