BAB 74: TUKANG STRATEGIS

41 6 0
                                    

Seminggu berlalu dengan pantas tetapi apabila masuk hari yang ke-8 dan kemudian ke-9, Stiria mula hairan. Bukan ke mereka sepatutnya dilepaskan selepas seminggu? Dan mengapa dia merasakan penjaga mereka yang bertukar-tukar semakin hari semakin serius?

"Apa yang berlaku? Nekruis mesti tahu," fikirnya lalu cuba menarik perhatian Nekruis. 

Mereka berdua masih berada di dalam khemah itu. Melainkan waktu mandi, mereka dibenarkan pergi ke anak sungai berdekatan. Walaupun begitu, mereka ditemani oleh penjaga mereka. 

Disebabkan berlainan penjaga, penjaga yang baru akan terkejut apabila Nekruis memunculkan khemah untuk Stiria membersihkan diri. Nekruis juga memberikan renungan tajam kepada mereka, tanda amaran jangan dekati Stiria ketika itu. 

Sememangnya mereka tidak akan melakukan perkara terkutuk itu. Tetapi itu tidak bermakna dalam hati mereka tidak ada rasa cemburu dengan kekayaan Nekruis dan Stiria. Ada satu masa Stiria tertunjuk gayung kepada Nekruis selepas habis mandi dan dilihat oleh penjaga mereka. 

Kedua-duanya kaku sambil ternganga melihat metal obsidian itu dijadikan gayung. Semasa kembali ke kem, penjaga mereka kelihatan lemah semangat dan kelam. Apabila ditanya rakan mereka, mereka tergelak-gelak sambil berkata 'obsidian' dan kemudiannya menangis. Perkara tersebut membuntukan semua rakan mereka. Apa yang berlaku?

Rahsia gayung obsidian yang dimiliki Nekruis dan Stiria disimpan baik oleh kedua-dua penjaga itu. Mereka tidak mahu sesiapa mengetahuinya kerana sebaik sahaja mereka melihat gayung itu, Nekruis telah merenung mereka dengan agak tajam bagaikan ada mesej tersirat berbaur, 'Beritahu orang lain, maut menanti korang'. Mana tidaknya, kedua-dua penjaga itu ialah kaum manusia. Mereka takut kerana telah diugut dalam diam oleh Nekruis, kaum syaitan. 

Nekruis juga memesan kepada Stiria akan hal tersebut. Stiria yang akhirnya sedar tindakannya itu, apabila berjumpa dengan penjaga dua orang itu, segera meminta kemaafan. Stiria tidak menyangka gayung Nekruis itu boleh membawa bencana. Benar, jika sesiapa tahu Nekruis mempunyai obsidian, tidak kira manusia ataupun syaitan pastinya akan cuba merompak Nekruis.

Balik kepada penjaga mereka yang bertukar semakin serius setiap hari membuatkan Stiria tertanya-tanya.

"Jangan risau... Mereka mungkin tertekan dengan peperangan yang berlaku," beritahu Nekruis dalam minda Stiria. Semenjak meŕeka dibawa ke kem itu, Nekruis tidak pernah sekalipun menggunakan suaranya. Dengan ini, semua orang menganggapnya bisu.

"Oh..." Mungkin betul agaknya tetapi Stiria asyik mendengar suara kejayaan dan kekalahan peperangan sahaja. Jadi, perlu serius untuk apa? Ah, ada musuh lagi hebat telah muncul kah?! Stiria mula resah jika itu berlaku. Selamatkah mereka nanti?

Nekruis membiarkan Stiria mengandai sendiri. Perkara sebenar hanya dia yang tahu. Dia mengerling ke arah dua penjaga baru mereka.

Mereka bukanlah calang-calang orang. Stiria tidak mengetahui bahawa penjaga mereka itu kali ini ialah dari askar berpangkat komander besar yang mengawal 2000 unit tentera di bawah mereka. Mereka dalam penyamaran dengan memakai baju tentera biasa. Mengapa mereka menjaga dia dan Stiria yang dianggap biasa-biasa? Jawapannya... Disebabkan permainan catur!

Dalam diam, ketua jeneral komander juga telah tahu kewujudan permainan tersebut yang dianggap strategi sebenar keadaan peperangan. Apatah lagi, situasi peperangan sebelum ia berlaku telah ditunjukkan Nekruis dan Stiria dalam permainan mereka.

Pada mulanya, Ketua Jeneral Komander Sishan merasakan ia hanya nasib baik mereka apabila mereka menang satu kawasan. Dia juga telah mengucapkan tahniah kepada komander besar yang memenangi peperangan itu. 

GUIDE TO NEW ERA (BAHASA MELAYU) #Wattys2016 [COMPLETE]Where stories live. Discover now