Nekruis melepaskan keluhan berat. Ini kali pertama Zeliker dan abang-abangnya melihat riak tenang Nekruis. Selama ini, mereka hanya melihat Nekruis yang serius, marah dan tidak berperasaan. Minda mereka mula meneka bahawa Nekruis menyorokkan sifat dirinya yang sebenar dan kemungkinan hanya bonda mereka sahaja yang tahu.
"... Anakanda Arnialaz..." Panggil Nekruis.
Arnialaz sedang duduk berlutut di kanannya manakala Zeliker di hujung kaki Nekruis dan Zeptas di sebelah kiri. Manakala Kaizelan, Hetero dan Varna, mereka bertiga telah mendekati kumpulan Bekura. Mereka ingin berikan ruang untuk ahli keluarga Zeliker meluangkan masa bersama.
"Ya, ayahanda," sahut Arnialaz.
Nekruis tidak lagi melihat kebencian dalam mata Arnialaz kepadanya. Bukan dia sahaja, anak-anaknya yang lain juga tiada lagi pandangan sebegitu kepadanya.
"Kejadian yang berlaku kepada kamu ialah kelalaian ayahanda dan bonda. Kami bayangkan kamu akan dilindungi kumpulan tentera yang bersama kamu tapi... Tidak disangka kami ketika itu Velios telah menghasut dan membocorkan rahsia pergerakan kamu kepada beberapa pihak di Shildia termasuklah sepupu Mikasa. Bukan Mikasa yang mengetuai serangan ke atas kamu tapi ayahanda pada waktu itu sangat marah kepada seluruh Shildia kerana menyebabkan kamu cedera teruk. Kami menyerang Shildia tidak lama selepas merasakan kamu selamat dan dihantar ke Lokoston untuk perlindungan..." Terang Nekruis.
Arnialaz meneka perkara itu yang berlaku kepadanya dan mengangguk.
"Ayahanda, ketika anakanda jatuh ke gaung itu, mustahil keadaan anakanda boleh diselamatkan sesiapa. Jadi, sila jujur dengan anakanda. Ayahandakah yang selamatkan anakanda?" Selain Nekruis yang diingatnya semula pada ketika dahulu sentiasa akan melakukan perkara yang mustahil menjadi realiti, dia meneka Nekruis lah yang menyelamatkannya.
Malah, Nekruis diketahuinya tidak akan lupus sifat suka mengorbankan diri jika berlaku sesuatu kepada ahli keluarga mereka. Sekarang pun bukti telah berada di hadapan mata iaitu semasa pancaran cahaya itu dilepaskan ke arah mereka, Nekruis segera menyelamatkan mereka. Matanya sedikit merah dan berair apabila mengingatinya. Perasaannya tiba-tiba sebak tanpa dapat dihalangnya.
Nekruis tidak merahsiakannya lagi. Dia mengangguk sebagai jawapan. Sejurus itu, air mata Arnialaz mengalir ke pipinya.
"Kenapa ayahanda buat begitu?! Ayahanda juga boleh maut sekali! Ayahanda lupa kah ayahanda ialah Raja Flink dan juga Ketua Ballista?! Nyawa ayahanda lebih penting daripada anakanda!" Marah Arnialaz sambil tersedu.
Nekruis memberikan senyuman kecil. "Status ayahanda bukan perkara penting bagi ayahanda..."
Dengan kata lain, ahli keluarganya yang dipentingkan dahulu daripada tugasnya. Arnialaz dan adik-adiknya terpana mendengar dan memahami maksud di sebalik ayat itu. Air mata Larkanos pula mengalir dan jatuh ke dahi Nekruis. Zeptas menelan air liur. Dia menahan perasaan ingin sebak di hadapan keluarganya.
"Ayahanda, kanda Arnialaz beritahu perkara yang berlaku kepada anakanda ketika masih bayi. Anakanda sukar mempercayainya tetapi benarkah... ayahanda...?" Dia maksudkan dua bulan Nekruis menggunakan kuasa penyembuhannya untuk menyelamatkannya tanpa berhenti untuk berehat.
Nekruis memandang Zeptas pula. Riaknya berubah kepada serba salah dan menyentakkan Zeptas.
"Ayahanda tidak mahu laluinya sekali lagi."
Zeptas berasa keliru. Maksud Nekruis yang mana satu? Nekruis tidak mahu situasinya berlaku sekali lagi atau tidak mahu menyelamatkannya untuk kali kedua? Fikirannya baru hendak meneka ia perkara yang kedua sebelum dikejutkan dengan ayat Nekruis yang seterusnya.
YOU ARE READING
GUIDE TO NEW ERA (BAHASA MELAYU) #Wattys2016 [COMPLETE]
FantasySemenjak dahulu, hidup satu kaum manusia dengan kebolehan yg hebat. Mereka boleh menggunakan kuasa tetapi boleh hidup di planet yang sama dengan manusia biasa kecuali mereka tidak mempunyai persamaan dari segi organ-organ dalaman mereka walaupun ru...