BAB 122: BENUA?!

46 7 0
                                    

"Adakah ini semua orang yang anakanda percayakan?" Tanya Nekruis kepada Zeliker.

"Ya, ayahanda," balas Zeliker.

Selain mereka berdua, terdapat ramai orang berada di sekeliling mereka. Mereka kini berada di dalam dewan mesyuarat yang luas dan besar. Susunan meja dan kerusi mengikut aturan bertangga membentuk petak empat segi manakala sisi bucu semuanya adalah jalan masuk dan keluar dewan tersebut. 

Untuk memudahkan pandangan orang yang berada di bahagian belakang, aturan dalam bilik itu menjadi bertangga. Dengan ini, walaupun orang tersebut duduk di bahagian belakang, dia boleh melihat ke bawah dari atas. Hanya dataran di bawah yang serata dalam 50m×50m dan terdapat meja bulat besar yang memuatkan 15 orang mengelilinginya.

Zeliker mewakili Miko. Nekruis dan Alinda mewakili Flink. Sektar dan Mellinda mewakili Eskimos dan Lokoston. Mikasa dan Ferrick mewakili Shildia. Elamos mewakili Drick. 

Elgarb mewakili Jelion walaupun belum diketahui umum bahawa dia adalah pewaris takhta Jelion. Jantungnya sangat laju dengan riak yang pucat, memandang semua orang berpangkat besar di sekelilingnya. Dia lega Zeliker bertindak untuk membenarkan dia duduk di sebelah kanan Zeliker manakala Nekruis di sebelah kiri Zeliker. Jacques duduk di sebelah kanan Elgarb.

Kaizelan pula mewakili Entenoa walaupun belum diketahui umum akan kehadirannya. Wajahnya tidak menunjukkan apa-apa perasaan. Kolar kawalan pada lehernya telah dibukanya memandangkan dia tidak mahu dimalukan memakainya di hadapan semua orang. Sayangnya, berada di kawasan manusia yang bekerjasama dengan syaitan tetap membawa sedikit kemaluan kepadanya. Hatinya masih bencikan manusia walaupun telah jatuh hati kepada anak Nekruis yang merupakan manusia. 

Jadi, kenapa dia dipaksa hadir ke mesyuarat itu? Dia mendapat firasat tidak baik, bagaikan identitinya akan dibocorkan di situ memandangkan semua orang di meja tersebut sedang mewakili negara atau organisasi masing-masing. Heh, adakah mesyuarat ini diadakan untuk menyalahkannya akan peperangan besar sebelum ini? Jika begitu, dia telah lama bersedia. Otaknya juga ligat berfikir untuk menjawab semua soalan yang akan dituju kepadanya kemudian.

Sementara itu, wakil lain ialah Jacques yang mewakili Organisasi Eidolon. Arcles mewakili Griko walaupun telah dibuang negaranya. Aster mewakili Ballista dan terdapat dua orang lagi yang juga adalah ahli Ballista duduk bersama semua orang di meja bulat itu, Ken dan Maryn. Identiti mereka yang duduk bersama menjadi kekeliruan rakan-rakan Ballista mereka kecuali Aster yang mengetahuinya.

Zeliker dan semua wakil itu dikelilingi oleh rakan-rakan mereka, komander dan jeneral tentera, pengawal mahupun ahli-ahli organisasi Eidolon dan Ballista. Mesyuarat ini telah diarahkan untuk diadakan oleh Nekruis dan Sektar yang memaklumkannya kepada Zeliker dan Xium. Mereka mengadakannya di Istana Neza seminggu selepas pertabalan Zeliker.

Selain itu, mereka menjemput wakil-wakil ketua yang penting dan juga adalah saksi kepada serangan raksasa sebelum ini untuk menghadiri mesyuarat itu. Ramai yang keliru tetapi ada sebahagian yang meneka mengenai isi mesyuarat tersebut berkaitan dengan serangan dan peperangan. Minda mereka terdapat banyak soalan yang ingin ditanya. Apatah lagi terhadap Elgarb dan Kaizelan yang tidak dilihat berbuat apa-apa ketika peperangan mahupun semasa kejadian serangan raksasa sebelum ini.

"Memandangkan semua orang dah tiba, nampaknya kita boleh mula," kata Sektar sambil memandang Nekruis.

Nekruis menganguk kepalanya.

"Baiklah. Beta memanggil kamu semua menghadiri mesyuarat ini sebenarnya untuk berbincang mengenai pelbagai perkara yang berlaku sebelum ini dan juga perkara yang akan datang. Beta cuma hendak lanjutkan objektif untuk perkara masa akan datang dahulu. Pada tarikh 1 June tahun ini, lebih kurang dua bulan lagi, beta ingin adakan satu persidangan semua raja Blodez dan Besyria," umum Sektar dengan jelas kepada semua orang.

GUIDE TO NEW ERA (BAHASA MELAYU) #Wattys2016 [COMPLETE]Where stories live. Discover now