Kaizelan menelan air liur sebelum berdiri tanpa bantuan apa-apa. Dia mengagak tubuh baharunya sukar untuk dikawal kekuatannya. Silap hari bulan dia boleh terbunuh sesiapa tanpa sengaja. Dia perlu mengejas kekuatannya kemudian.
Keadaannya ini menyebabkan dia takut Varna meninggalkannya. Eh, tapi rupanya sudah berlainan! Bagaimana kalau Varna tidak menyukai wajah baharunya? Apa yang perlu dia lakukan?! Riaknya menjadi cemas dan resah.
"Err, Kaizelan, kamu perlu berlatih," kata Elgarb yang tidak tahu perkara yang difikirkan Kaizelan. Dia sangka Kaizelan risau dia tidak dapat mengawal kekuatannya sahaja.
Kaizelan memandangnya. Dia tidak kenal Elgarb mahupun rapat dengannya. Elgarb yang menyedarinya memperkenalkan diri.
"Nama aku, Elgarb Destlanz. Ini merupakan kali kedua kita berbual," ucapnya.
"Kedua?" Kaizelan tidak rasa dia pernah berbual dengan Elgarb.
"Destlanz?! Kamu daripada keluarga Destlanz?!" Eshren terkejut mendengarnya.
"Huh?" Kaizelan cuba mengimbas semula nama tersebut. Tidak lama kemudian, baru dia mengingatinya.
"Aku sekarang adalah Raja Jelion dan mengapa aku di sini sebenarnya... Aku ingin meminta maaf secara bersemuka dengan ahli keluarga diraja Entenoa. Kesalahan yang aku lakukan di masa lepas, aku lakukannya bukan dengan sengaja. Terdapat banyak sebab..." Terang Elgarb.
Memandangkan keadaan mereka tiada gangguan, lebih baik dia menerangkan niatnya untuk bertemu mereka dengan segera. Jika dilambatkan dia takut keadaan akan menjadi kekok kepadanya.
Kaizelan dan Eshren memandang satu sama lain. Mereka berdua terpinga-pinga kerana mereka tidak tahu kesalahan yang Elgarb telah lakukan kepada mereka. Jacques di belakang Elgarb sedang bersiap sedia untuk melindungi Elgarb jika mereka berdua menyerang Elgarb selepas mendengar penjelasannya.
"Nama lain aku ialah Rilf Talon, Ketua Qilyah Coffin yang merasuk adik korang, Zeriew Anoie untuk bersubahat dengan kami membunuh kamu berdua," beritahu Elgarb.
Mendengar sahaja penerangan tersebut, Eshren ingin menyerang Elgarb. Sebelum dia sempat untuk bertindak, dia dihalang tangan Kaizelan yang memberi renungan tajam ke arah Elgarb.
"Kanda, jangan halang adinda! Dia dalang adik kita dipergunakan dan terpaksa dibunuh!" Radang Eshren.
Mustahil dia tidak berbuat apa-apa selepas akhirnya mengetahui siapa yang menyebabkan adik mereka maut. Dia telah berjanji untuk menghapuskan dalang yang merosakkan Zeriew. Pandangan tajam Kaizelan kepadanya pula membuatkan dia terpaksa melihat apa yang ingin dilakukan Kaizelan.
"Apa sebab-sebabnya?" Tanya Kaizelan. Suaranya serius dan kedengaran seperti sedang menahan sabar. Akan tetapi, dia berikan peluang kepada Elgarb untuk menerangkan semuanya.
Elgarb memulakan kisahnya selepas diculik Lost Winged seperti yang dia beritahu di dewan perbincangan sebelum ini. Setelah itu, dia memberitahu kejadian yang berlaku kepada Zeriew.
"Semasa aku dikawal Lost Winged, mereka serahkan tugas untuk merosakkan Entenoa kepada kumpulan aku. Kemudiannya, setelah membuat markas di Entenoa, aku menyuruh seseorang menyiasat keadaan keluarga diraja dan mendapati Zeriew yang masih kecil mudah dikawal," terang Elgarb.
"Hm? Macam mana kamu dikawal? Dengan apa?" Tanya Hetero.
Perkara ini belum diketahui dia dan orang lain. Pada masa yang sama, dia menyandarkan tubuh sebenar Kaizelan ke tepi keranda.
Soalannya itu juga ingin ditanya Jacques dan Xium kerana mereka tidak mendengar penjelasan mengenainya sebelum ini.
"Kawalan minda. Mereka membancuh otak kami dengan pelbagai cara. Antaranya ialah mereka mengulang keseksaan dalam dunia ilusi. Aku tidak pasti ilusi orang lain bagaimana. Untuk aku, mereka gunakan ilusi ibu bapa aku diseksa dan dibunuh kaum syaitan dan manusia dengan kejam. Ilusi tersebut diulang dengan pelbagai cara mereka diseksa dan dibunuh. Selama setahun aku berada dalam ilusi tersebut sehingga aku bencikan manusia dan syaitan." Mata Elgarb sedikit kelam apabila dia mengingatinya.
YOU ARE READING
GUIDE TO NEW ERA (BAHASA MELAYU) #Wattys2016 [COMPLETE]
FantasySemenjak dahulu, hidup satu kaum manusia dengan kebolehan yg hebat. Mereka boleh menggunakan kuasa tetapi boleh hidup di planet yang sama dengan manusia biasa kecuali mereka tidak mempunyai persamaan dari segi organ-organ dalaman mereka walaupun ru...