BAB 85: PERTALIAN KELUARGA

42 6 1
                                    

"Tidak dinafikan Nekruis ada musuh di mana-mana..." Kata Reuris.

"Benar." Elgarb bersetuju.

Stiria tersenyum kecil dan riaknya sedih dan bersimpati. Zeliker yang melihat perasaan simpati itu ditujukan kepadanya berasa hairan.

"Musuh Nekruis sememangnya tidak akan menentang Nekruis secara berdepan. Disebabkan itu, mereka menyerang kelemahannya..." Ujar Stiria.

"Nekruis ada kelemahan?!" Semua orang tersentak. Nekruis yang sehebat seorang dewa mempunyai kelemahan?!

"Kelemahannya... Tak lain tak bukan ialah keluarganya. Nekruis juga ialah makhluk seperti kita. Dia bukannya tidak berperasaan. Cuma, dia tidak kisah dengan orang lain tetapi sesiapa yang cuba menyentuh keluarganya akan dihapuskan. Zeliker, kamu rasa kenapa Nekruis tidak menyelamatkan kamu ketika Gizelis menculik kamu? Ataupun mencari kamu setelah kamu dibawa ke Eskimos? Sedangkan dia boleh sahaja bunuh Gizelis sebelum kamu diculik." Stiria menanya Zeliker.

Gizelis yang mendengar tertelan air liur. Benar juga, penculikannya ke atas Zeliker sangat mudah dan lancar bagaikan ada orang lain yang membantunya. Mustahil orang itu ialah... Nekruis?! Dia tersentak dalam diam.

Zeliker diam sejenak. Semenjak dia bertemu dengan Amidis, dia mula memikirkan banyak perkara mengenai tindakan Nekruis terhadapnya. Malah, ketika dia diculik Gizelis, mustahil Nekruis tidak sedar. Kini, ditambah pula dengan kata-kata Stiria mengenai musuh Nekruis...

"Untuk melindungi aku daripada musuhnya..." Jawab Zeliker yang yakin dengan jawapannya.

Stiria mengangguk. "Bukan itu sahaja, dia mahu menyorokkan kamu di Eskimos di mana ramai kaum syaitan tinggal dengan manusia. Di Eskimos, kamu juga boleh mempelajari banyak perkara yang Nekruis tidak dapat ajar. Nekruis, dia telah lama merancang untuk membawa kamu keluar dari Flink kerana musuhnya. Dia fikir Eskimos ialah salah satu tempat yang selamat untuk kamu. Abang-abang kamu telah dikeluarkan dari istana atas sebab ini juga. Kematian mereka satu perlindungan yang Nekruis cipta. 

"Malah, jika bukan sebab Nekruis, mustahil kamu boleh diculik Gizelis. Nekruis tahu askar-askar yang ditangkap pada waktu itu adalah askar Eskimos. Pada mulanya, dia merancang untuk mengawal salah seorang askar untuk menculik kamu, lantas membebaskan kesemua askar dengan sengaja melemahkan besi penjara. Selepas semuanya bebas, dia ingin memilih salah seorang untuk dikawal. Tetapi, apabila dia melihat tindakan Gizelis yang segera menuju ke istana tanpa takut, Gizelis diperhatikannya. 

"Saya pasti kamu, Gizelis tidak sedar bahawa Nekruis sebenarnya telah mengosongkan jalan untuk memudahkan kamu. Dia tidak pasti ke mana kamu ingin pergi sehingga dia melihat kamu tiba di bilik Zeliker dari luar. Sememangnya di luar jangkaannya apabila Gizelis menculik Zeliker dan membawanya ke Eskimos tanpa memerlukan dia berbuat apa-apa. Setelah itu, Nekruis dapat fokus kepada musuh yang berada dalam istana dan menghapuskan mereka..." Stiria menceritakan kisah sebenar di sebalik penculikan Zeliker dengan panjang lebar.

Zeliker dan Gizelis terbeliak mendengarnya. Rupa-rupanya mereka telah termasuk dalam rancangan Nekruis tanpa mengetahuinya.

"Takdir memang sukar hendak dijangka," kata Riseptos kepada Gizelis yang sedikit ternganga.

"Huh? Ehh?! Stiria, Nekruis beritahu kamu mengenai rancangannya terhadap Zeliker?!" Xcerox berasa pelik. Mustahil Nekruis memberitahu hal rancangan itu kepada Stiria.

Stiria terdiam sejenak. Wajahnya sedikit pucat. Tidak lama kemudian, dia menggeleng kepalanya. "Nekruis tidak beritahu..." Stiria tersedar dia memberitahu mereka tentang rancangan dan perasaan Nekruis tetapi bukti dia mengatakannya pula tiada.

GUIDE TO NEW ERA (BAHASA MELAYU) #Wattys2016 [COMPLETE]Where stories live. Discover now