Majlis menjadi tenang semula selepas kemarahan Nekruis diredakan. Maklumat mengenai Flink dan Eskimos tersebar semenjak itu dan mengejutkan seluruh benua. Kemarahan juga timbul pada negara-negara syaitan yang telah ditipu Raja Flink selama ini.
Walaupun begitu, tiada raja syaitan yang berani menentang Flink kerana Flink telah mendapat kerjasama daripada Negara Eskimos. Negara Eskimos merupakan negara terkuat dalam semua negara manusia selama 15 tahun lamanya. Gabungan kedua-dua negara ini telah lama diketahui musuh dan penyebab mereka mahu menghancurkan perkahwinan antara Zeliker dan Stiria.
Setakat ini, perkara musuh tersebut dihiraukan semua orang di majlis pertabalan Zeliker. Hari pertabalan menjelang malam dan ibu bapa Zeliker masih tidak beredar. Mereka mahu melihat Zeliker dan anak-anak mereka serta meluangkan masa bersama Sektar. Mellinda tiada disebabkan urusan di Lokoston.
Zeliker sedikit letih tetapi kehadiran semua ahli keluarganya membuatnya semangat dan ceria sepanjang hari. Dia juga lega bahawa rahsia hubungan ibu bapanya dengan keluarga Sektar dibocorkan akhirnya. Dengan ini, kaum manusia mendapat sokongan kuat dari Flink.
Dia sedar ramai orang masih belum dapat terima hubungan Eskimos dengan Flink tetapi masih ramai yang lega mengetahui Flink bukan lagi musuh manusia. Secara tidak langsung, kehadiran Nekruis dan Alinda menjadi lebih banyak tumpuan daripada pertabalannya. Zeliker hanya tersengih kecil dan dia langsung tidak kisah mengenainya.
Apabila malam menjelang, majlis tari menari pula yang berlangsung. Lokasi majlis tari menari diadakan di dataran istana yang luas dan terbuka. Dataran tersebut dikelilingi bangunan-bangunan istana. Zeliker, Nekruis dan Alinda kini duduk semeja dengan Sektar, Mikasa dan Elamos. Memandangkan Zeliker kini digelar raja, dia layak untuk berada di meja kumpulan raja-raja. Kaizelan tidak ada bersama kerana disorokkan kehadirannya di situ.
Meja yang ditempatkan untuk raja-raja ialah meja panjang yang memuatkan enam orang berhadapan dengan arah majlis tari menari dari atas pentas. Zeliker duduk di antara Nekruis dan Alinda. Manakala sebelah kiri Nekruis ialah Sektar, Mikasa dan Elamos. Abang-abang Zeliker berada di satu meja bulat di bawah pentas. Bersama mereka ialah Iris, Stiria, Xcerox, Elgarb dan Zelfon. Semuanya ialah putera puteri diraja.
Manakala Gizelis dan semua rakan Zeliker termasuk Kaizelan sedang duduk di meja lain yang berdekatan. Gizelis dan Riseptos lebih relaks berbanding pengawal-pengawal diraja yang berada di setiap tepi dinding dataran tersebut. Di belakang raja-raja kecuali Nekruis dan Alinda juga terdapat pengawal peribadi masing-masing. Xium adalah salah seorang yang berada di belakang Zeliker. Jika Zapter tidak menjadi pengganti Nekruis di Flink, sudah tentu dia berada di sisi Nekruis sekarang.
Tarian menari pula diadakan di tengah dataran yang dikelilingi orang ramai sambil menjamu selera di meja-meja yang disediakan. Terdapat pelayan yang menghidangkan minuman kepada semua orang. Zeliker menghirup segelas air biru yang dituangkan seorang pembantu istana kepadanya.
"Anakanda tidak mahu menari?" Tanya Alinda kepada Zeliker.
Zeliker memberikan senyuman sambil memandang ke arah Stiria.
"Anakanda rasa segan..." Jawabnya perlahan.
Sebelum ini, dia tidak ada perasaan segan semasa menari dengan Stiria. Segannya muncul sebab pengetahuannya terhadap Stiria ialah sepupunya yang membuatkan Zeliker berasa tidak senang hati.
Bagaimana kalau semua manusia berasa jijik dengan hubungan mereka? Kaum syaitan tiada masalah berkahwin antara sepupu tetapi kaum manusia... Bagaikan terdapat halangan berkahwin antara sepupu dekat. Hal tersebut merunsingkannya dan juga menggoyang perasaannya terhadap Stiria.
"Ow!" Zeliker terjerit kecil apabila dia dicubik Alinda dari sisi perutnya. Dia memandang Alinda dengan terkelu.
Kemudian, terdengar dengusan Nekruis. Dia segera memandang ke arah Nekruis pula. Anak mata Nekruis mengerling ke arahnya. Pandangan Nekruis itu telah menunjukkan Nekruis menangkap fikirannya terhadap Stiria.
YOU ARE READING
GUIDE TO NEW ERA (BAHASA MELAYU) #Wattys2016 [COMPLETE]
FantasySemenjak dahulu, hidup satu kaum manusia dengan kebolehan yg hebat. Mereka boleh menggunakan kuasa tetapi boleh hidup di planet yang sama dengan manusia biasa kecuali mereka tidak mempunyai persamaan dari segi organ-organ dalaman mereka walaupun ru...