"... Mari pergi anakanda Stiria. Banyak tempat yang ayahanda ingin lawati," kata Nekruis sebelum dia memandang ke arah Riseptos.
"Sila beritahu Sektar, anakanda Stiria akan beta jaga. Dia tidak perlu risau dengan keselamatan anakandanya selagi beta berada di sisinya," tujunya kepada Riseptos pula.
Pada masa yang sama, bagasi hijau Stiria dimasukkannya ke dalam dimensi barangnya.
"Huh? Eh?"
Riseptos merasakan Stiria berada dengan Nekruis lebih berbahaya daripada mereka. Baginya, Nekruis bagaikan bom yang boleh meletup bila-bila masa. Akan tetapi, dia tidak nafikan juga bahawa keselamatan Stiria terjamin dari segala bahaya jika Nekruis melindunginya.
"Tuanku tidak boleh buat begini... Tanpa kebenaran Raja Sektar atau Puteri Stiria, situasi ini sama dengan penculikan." Riseptos tidak tahu ingin menerangkan keadaan yang tiba-tiba beralih ke situ.
"Anakanda mahu pergi dengan beta atau tidak?" Tanya Nekruis kepada Stiria.
Stiria terkebil-kebil. Dia memandang Riseptos dan kemudian memandang Nekruis. Belakangnya sedikit berpeluh. Walaupun dia rasa Nekruis tidak akan membunuhnya pada waktu ini, itu tidak bermakna ia tidak akan berlaku jika dia tersalah pilih?
Apatah lagi, Nekruis telah bersetuju untuk membawanya melihat Zeliker. Jika dia memilih untuk tidak pergi, dia pasti Nekruis masih akan memaksanya ikut. Itupun selepas... Riseptos dan lain-lain mendapat bahana daripada Nekruis kot... Ayahnya juga mungkin tidak terlepas.
Untuk keselamatan mereka, Stiria membuat keputusan.
"Riseptos, beritahu ayahanda, beta keluar istana seketika kerana ada hal mustahak yang beta ingin selidik. Dan beritahu, beta ada pengawal yang hebat untuk menemani beta. Malah, suruh ayahanda rahsiakan ketiadaan beta di sini. Kita tidak mahu askar-askar yang bersedia dan juga Zeliker dan lain-lain resah hati mengenai beta, apatah lagi waktu peperangan yang telah dekat ini. Maafkan beta kerana tidak dapat tinggal di sini," ucap Stiria kepada Riseptos.
Nekruis yang mendengar alasan ketiadaannya tersenyum. Stiria bukan setakat menghalang kerisauan pihak keluarganya tetapi juga menjaga maruahnya di hadapan umum.
Memang bijak anakanda Stiria!
Riseptos berasa gelisah dengan keputusan itu. Malangnya, dia terpaksa bersetuju.
"Baiklah, patik faham. Tuanku, sila jaga diri. Tuanku Nekruis, keselamatan tuan puteri saya serahkan kepada tuanku. Sila jaga tuan puteri dengan baik..."
"Hmph! Itu sudah tentu!" Nekruis menyentuh sebelah bahu Stiria sebelum kedua-duanya hilang dari pandangan.
Riseptos yang tinggal bersama Kiara yang tidak sedar akhirnya jatuh terduduk di lantai. Dia mengenggam tangannya sebelum mengetuk lantai di bawahnya. Cis, dia masih lemah!
Dia hanya dapat berdoa untuk Stiria supaya tidak dibunuh Nekruis.
Gizelis yang berada di luar berasa hairan kerana Riseptos dan Stiria masih tidak keluar bilik. Dia menyuruh seorang pembantu istana untuk masuk ke dalam.
Sebaik sahaja pembantu itu ingin masuk, Riseptos telah membuka pintu dari dalam. Dalam dakapannya ialah Kiara. Situasi tersebut mengejutkan Gizelis dan lain-lain.
"Riseptos... Mana tuan puteri...?"
Gizelis berasa keadaan itu tidak kena. Malah, dia dapat lihat kekusutan pakaian Riseptos bagaikan telah melakukan suatu perlawanan.
Riseptos membuka mulutnya sebelum ditutupnya semula. Riaknya pasrah. Mata Gizelis terbeliak.
"Kamu semua di sini! Jika kamu menuturkan apa-apa yang berlaku dalam bilik ini, kamu akan dihukum seribu libas!" Arahnya segera kepada dua pengawal dan dua pembantu istana yang bersama mereka dalam bilik itu.
YOU ARE READING
GUIDE TO NEW ERA (BAHASA MELAYU) #Wattys2016 [COMPLETE]
FantasySemenjak dahulu, hidup satu kaum manusia dengan kebolehan yg hebat. Mereka boleh menggunakan kuasa tetapi boleh hidup di planet yang sama dengan manusia biasa kecuali mereka tidak mempunyai persamaan dari segi organ-organ dalaman mereka walaupun ru...