BAB 132: MOYANG

35 5 0
                                    

Eshren merenung Xium, Hetero, Elgarb dan Jacques. Manakala empat orang di hadapannya juga memandang ke arahnya. Masing-masing mendiamkan diri dengan lama sehingga Hetero mendengus. 

Dia kembali duduk di sisi Kaizelan. Jari kanannya diletakkan di tepi leher Kaizelan. Ketika ini, jarinya sedikit menggeletar sebelum dia menggunakan kuasanya untuk mencairkan objek yang menusuk leher Kaizelan. Darah yang belum beku mengalir keluar daripada tempat tusukan tersebut. 

Xium membantu dengan menyembuhkannya. Melihat tindakan Xium, Hetero mengucapkan terima kasih kepadanya dengan suara yang perlahan. Kemudian, dia mengangkat tubuh Kaizelan. Melihat Kaizelan seperti ingin dibawa pergi, Eshren meradang.

"Kamu hendak bawa abang beta ke mana?! Lepaskan dia! Sudah cukup kamu menghasutnya menyebelahi kaum manusia! Jangan tambah keseksaannya!" Katanya.

Hetero, Elgarb dan Jacques terkelu mendengarnya. Tuduhan itu tidak salah ataupun betul. Tapi hati mereka masih diumbang rasa bersalah. Sememangnya mereka tahu ramai kaum syaitan yang tidak mahu berdamai dengan manusia.

Entenoa adalah salah satu negara yang kuat kepercayaan mereka bahawa kaum manusia ialah musuh seumur hidup mereka. Tidak dinafikan Kaizelan kemungkinan dibunuh disebabkan menyalahi kepercayaan kaum syaitan. Tapi, angkara siapa pembunuhnya mereka tidak tahu. 

Mereka tidak menuduh Eshren sekali lagi. Hal ini disebabkan Ehsren tidak menunjukkan riaksi palsu dan perasaannya terserlah di hadapan mereka semua. Mustahil Eshren berbohong kepada mereka jikalau Xium tidak mengatakan apa-apa. Hetero dan lain-lain percayakan Xium kerana Xium adalah orang yang terkuat antara mereka. Jika Eshren membuat helah, pasti Xium telah lama mengetahuinya.

"Habis tu? Kamu ingin mengebumikan dia di sini, di mana semua orang tidak lagi menganggapnya sebagai raja mereka? Keadaan ini lebih mendukacitakan dan menghampakan Kaizelan. Jika kamu menyayanginya, relakan dia dikebumikan di tempat yang selesa untuknya supaya rohnya berasa tenang. Lihat, tempat ini merupakan tempat pembunuhannya! Amat tidak sesuai, bukan?" Balas Hetero. Matanya rasa panas bagaikan ingin mengalirkan air mata sekali lagi.

Eshren terkelu seketika sebelum dia menjawab, "Oh, bukankah penyebab abang beta dibunuh disebabkan penculikan dan hasutan daripada kamu semua?! Pembunuh sebenar adalah kamu semua!"

"Cis, dia ni tidak senang berbicara dengan kita. Baik kita balik ke Neza," kata Elgarb yang mula panas hati.

Dia sebegitu kerana dia faham perasaan Hetero yang melihat keadaan Kaizelan. Sememangnya agak tidak selesa untuk jasad si mati dikebumikan di tempat dia dibunuh. Malah, Kaizelan ialah rakan Hetero, bermakna dia adalah rakan mereka juga. Disebabkan ini, dia setuju Kaizelan dikebumikan di tempat rakan-rakan mereka berada.

Eshren menggerit giginya. Dia tidak mahu berpisah dengan Kaizelan sekali lagi. Jika abangnya dikebumikan di tanah kaum manusia bagaimana di hendak pergi melawat? Mustahil dia ingin ke tempat ramai kaum manusia tinggal!

Dia menyalurkan kuasanya ke pedangnya dan ia mula mengeluarkan api. Xium bergerak untuk berhadapan dengannya. Kelihatan dia perlu menyambung perlawanan dengan Eshren.

Semasa kedua-duanya ingin menyerang satu sama lain, satu keranda di bahagian jauh daripada ruang itu terbuka sedikit demi sedikit. Keranda itu diperbuat daripada emas berkilat dan pelbagai corak dihiasi pada sekeliling penutup keranda itu. Badan keranda pula terdapat corak-corak bergambar peperangan. 

Pendengaran Xium, Hetero, Elgarb, Jacques dan Eshren yang luar biasa mengesan pergerakan tersebut dan segera memandang ke arah keranda itu. Mereka terbeliak melihat satu tangan berangka menolak penutup keranda itu. Malah, dalam beberapa saat tulang tangan tersebut terbina kulit baharu yang pucat warnanya, bagaikan orang itu tidak pernah mati.

GUIDE TO NEW ERA (BAHASA MELAYU) #Wattys2016 [COMPLETE]Where stories live. Discover now