BAB 130: KEMATIAN

45 4 0
                                    

Setelah mencabut semua besi di belakang Hetero, Kaizelan memunculkan kain balut. Dia tidak menyentuhnya kerana ia boleh terbakar disebabkan haba tubuhnya yang tinggi. Dia menggunakan kuasanya untuk mengangkat tubuh Hetero ke udara dan balutan kain itu digerakkannya untuk melilit kecederaan Hetero.

"... Gegaran daripada kebangkitan kuasa aku pastinya telah menghuru-harakan semua penghuni istana. Mereka tentunya akan muncul di sini untuk memeriksa keadaan kami." 

Kaizelan merenung Hetero. "Tiada pilihan lain. Keadaan dia tidak boleh dilengahkan," fikirnya sebelum dia memunculkan seketul batu Mana tanpa menyentuhnya.

Batu Mana tersebut membuka terowong dimensi ke Istana Neza. Kaizelan menggunakan kuasanya sekali lagi untuk mengangkat tubuh Hetero dan dibawanya ke Neza. Dia meletakkan tubuh Hetero di bawah sebatang pokok berdekatan sebuah bangunan istana. Kemudian, dia kembali ke Entenoa.

Sebelum terowong tersebut hilang dari pandangan, dia melihat Xium dan Zeliker muncul berdekatan Hetero dan memandangnya di sebalik terowong. Riak mereka menunjukkan mereka terpana. Sayangnya, Kaizelan tidak tahu perkara yang berlaku seterusnya kepada mereka.

Dia menghilangkan diri dari ruang penjara tersebut dan muncul di dalam bangunan makam raja dan permaisuri. Dia berada di tengah-tengah bulatan semua keranda. Sekelilingnya tiba-tiba muncul gas merah yang sama yang menyelinap masuk ke dalam tubuhnya pada masa dahulu. Kini, sekali lagi, dia menyerap gas tersebut.

Bunyi banyak tapak kaki yang bergegas ke arah bangunan itu didengarinya. Tidak lama kemudian, pintu bangunan itu ditolak dengan ganas. Kaizelan tidak terkejut dengan kehadiran Eshren, Samian, Markle dan ramai pengawal istana yang bersenjata. Sebelum ini, dia telahpun mengenalpasti kedudukan semua syaitan di dalam istana tersebut.

Eshren yang segera melihat Kaizelan, terkejut besar dengan perubahan yang berlaku. Kuasa Kaizelan yang dirasanya amat kuat membuatkannya sangat keliru. Dia tidak tahu Kaizelan menyorokkan kuasa sebegini. Dari mana Kaizelan memiliki kuasa ini?

"Kanda...?" Sebutnya.

"Oi, apa tempat ini sebenarnya? Aku rasa tak selesa," kata Samian yang berasa terancam.

Markle memandang ke sekelilingnya. "Ini macam makam diraja..."

Samian melihat semua keranda tersebut sebelum matanya ditumpukan kepada Kaizelan. Anak matanya dapat melihat gas merah yang mengelilingi Kaizelan sebelum diserap tubuh Kaizelan. Dia berasa sesuatu dalam tubuh Kaizelan sedang bangkit dan ia menakutkannya. Tanpa berkata apa-apa dia menyerang Kaizelan dahulu. Senjatanya yang berbentuk pistol bermuncung panjang menembak dua peluru ke arah Kaizelan.

"Hei!" Eshren tersentak apabila Samian bertindak sendiri tanpa arahannya.

Kedua-dua peluru tersebut mengena belakang Kaizelan yang sedang dihala ke arah mereka. Walaupun begitu, sebelum ia sempat menyentuh kulit belakang Kaizelan, kedua-dua peluru tersebut lebur dahulu. Kejadian itu mengejutkan semua orang. 

Setelah itu, angin yang kuat berhaba panas menolak mereka keluar dari bangunan tersebut. Beberapa orang yang tidak sempat mengeluarkan pelindung diri, kulit tubuh mereka melecur sedikit manakala ada seberapa terbakar baju mereka. Hampir semua orang menjadi cemas dan yang sedang cedera mengerang sakit. 

Hanya Eshren yang tidak terkena angin haba tersebut ataupun ditolak keluar. Dia melihat pintu masuk bangunan itu tertutup dengan sendiri dan diselubungi gas merah tebal yang panas, menandakan sesiapa yang cuba masuk akan diserang gas tersebut. Dia pasti Kaizelan yang melakukannya dan mahu mereka berdua sahaja berada di situ. Perbuatan Kaizelan yang tidak mencederakannya membuatkannya runsing dan panas hati. 

GUIDE TO NEW ERA (BAHASA MELAYU) #Wattys2016 [COMPLETE]Where stories live. Discover now