BAB 101: PERTEMUAN SEMULA ADIK-BERADIK (1)

45 4 0
                                    

Larkanos dan Arnialaz berbalas serangan dengan Vermian. Bayang Vermian sekuat dirinya, menyebabkan Larkanos dan Arnialaz sedikit menggerutu dalam hati. Mereka yang selama ini berlatih dengan tekun menggunakan teknik pedang dan senjata lain kelihatan seri atau diperendahkan oleh Vermian.

"Cis, siapakah dia ni yang sebenar?! Pengawal pintu biasa pun sekuat ini? Tapi, dua orang lagi tak kelihatan sekuat dia. Adakah dua orang itu sengaja menyorokkan aura kekuatan mereka yang sebenar?" Fikir Larkanos akan Shen dan Larno.

Dia tersentak apabila merasa serangan libasan dihunus ke lehernya dan segera menjatuhkan tubuhnya ke belakang untuk mengelak serangan itu. Tangannya melonjakkan tubuhnya ke atas sambil kakinya menendang senjata lembing itu tetapi Vermian telah melepaskannya manakala satu lagi lembing dalam genggamannya menyerang Larkanos. Larkanos yang menyedari dia tersilap memberikan ruang untuk diserang segera mengubah taktik. 

Tangannya memusingkan tubuhnya untuk mengelak semua serangan itu sebelum menendang dada Vermian. Dia terkejut apabila Vermian dengan pantas memegang kakinya dengan tangan bebas lalu melemparnya ke atas. Lembing Vermian yang ditendangnya tadi telah diambil Vermian semula sebelum menghunus kedua-duanya ke arahnya yang sedang berada di udara. 

Larkanos memusing tubuhnya untuk berhadapan dengan serangan Vermian. Pedangnya yang masih dipegangnya menangkis dua lembing itu. Tidak lama kemudian, kedua-duanya menolak satu sama lain untuk dijauhkan. Larkanos terkesima apabila topeng matanya ingin jatuh ke bawah. Kelihatan tali topeng tersebut telah diputuskan ketika serangan Vermian sebelum ini. 

Semasa dia menyentuh topengnya untuk menahan ia jatuh, matanya melihat satu kelibat telah dekat di hadapannya. Pedangnya segera melibas ke hadapan tetapi Vermian telah melompat ke belakangnya. Vermian dengan pantas menggunakan sebelah tangan untuk memeluk dada Larkanos sambil tangan Larkanos dikunci pergerakannya dan sebelah tangan lagi melilit leher Larkanos. Larkanos dicekiknya.

Larkanos sedar jika dia tidak melakukan apa-apa dengan segera, dia akan mati sesak nafas. Taringnya dipanjangkan dan dikuatkan menggunakan kuasanya lalu menggigit tangan pada lehernya. Tangan Vermian sasa dan besar. Walaupun berlapiskan lengan baju perisai, ia masih membolehkannya untuk menyerang dengan mulutnya. Lidahnya segera merasa darah Vermian dan dihisapnya. Dia tidak akan menyerah kerana Iris dan anak yang belum dilihatnya sedang menunggunya. Dia akan memastikan Vermian mati kekeringan darah. 

"Cis!" Vermian yang merasa darahnya dihisap mengetatkan cekikannya. Lama-kelamaan, tubuh Larkanos semakin lemah rontaannya. Dia terasa taring pada lengannya dilepaskan.

"Zep... tas..." suara perlahan Larkanos kedengaran jelas pada telinganya. Terbeliak mata Vermian tetapi dia masih tidak melepaskan cekikannya. Dia cemas kerana Larkanos mengetahui nama asalnya dan mengandai bahawa Larkanos ialah musuh yang telah mengetahui namanya. Fikirannya menyuruhnya membunuh Larkanos dengan segera.

"Urgh! Zep... tas! Lepaskan! A-Aku... Lar... kanos!" Jerit Larkanos dengan segala kudratnya walaupun masih perlahan. 

Dia mahu memberitahu adiknya itu bahawa adiknya sedang mencekik abang kandung sendiri. Selepas terdetik hatinya untuk memeriksa darah yang dihisapnya kerana nostalgia terhadap rasa darah itu, dia akhirnya sedar bahawa Vermian ialah Zeptas. Dia tiada masa untuk memikirkan khabar adiknya dikatakan terkorban di medan perang enam tahun lalu.

Setelah memberitahu namanya, dua tangan yang mencekik dan memerangkap tubuhnya hilang serta merta. Larkanos jatuh melutut ke lantai sambil terbatuk-batuk. Nafasnya menghirup oksigen semula dan melepaskannya dengan laju. Tekak dan dadanya berasa sakit.

"Lar...ka...nos...?" Suara Vermian kedengaran terkejut. "Bukan ke kamu sudah mati...?"

Larkanos memusing kepalanya ke arah Vermian di belakangnya. Wajahnya telah didedahkan akibat topengnya jatuh semasa Vermian mencekiknya. Melihat wajah Larkanos, ingatan Vermian kembali kepada waktu di Flink. Rupa tersebut tidak akan dilupakannya seumur hidup.

GUIDE TO NEW ERA (BAHASA MELAYU) #Wattys2016 [COMPLETE]Where stories live. Discover now