Episod 10 - 27 November, 1935

74 6 0
                                    

Majlis berkhatan beramai-ramai berlangsung di Teluk Tenang. Semua anak-anak yang akan berkhatan seawal subuh lagi, mereka disuruh mandi air sungai yang sejuk.

Ketika semua anak-anak sedang menggigil dalam air sungai, Yahya menahan kesejukan itu dengan sepenuh kekuatan.

Selepas hampir dua jam berendam dalam air sungai, semua pun beratur dengan memakai kain pelekat.

Tok mudim asah parang, menyebabkan Udin dah menangis sekuat hati.

"Okay, siapa nak mula dulu?" kata tok mudim. Semua tolak-menolak takut nak kena khatan, tetapi Yahya berjalan dengan mendabik dada menuju ke arah tok mudim.

Tiba-tiba, dia ditolak oleh Aki, dan Aki yang bersunat dahulu. Selepas mendengar Aki menjerit kesakitan, Yahya tersenyum. Dia mahu buktikan yang dia tahan sakit.

"Nama anak ni, siapa?" tanya tok mudim sambil asah parang.
"Yahya."
"Cucu Dahalan jugak ke macam si Aki tadi?"
"Ya, tok."
"Cucu Dahalan tak boleh nangis, darah pahlawan ni."
"Saya tahu, tok."

Sebaik sahaja tok mudim memotong muncungnya di atas batang pisang, Yahya buat muka setenang mungkin, dan tidak menjerit atau menangis. Tetapi rasa sakitnya tidak pernah dialami selama ini.

Selepas selesai sunat, Yahya dengan muka sombong memandang Aki.

"Huh, lemah!" kata Yahya.

Sampai ke giliran Udin yang menangis teruk sampai pitam depan tok mudim, Yahya dan Aki serentak berkata, "lemah!"

Selepas berkhatan, mereka beramai-ramai berbaring di rumah Pak Kassim. Yahya berkata dengan Aki yang dia mahu berbaring bersebelahan, kerana hanya Yahya dan Aki sahaja berkongsi minat bermain catur.

Sepanjang mereka berbaring bersebelahan sementara menunggu luka khatan sembuh, Yahya dan Aki bertarung permainan catur sebanyak 31 kali. Daripada 31 pertarungan, Yahya menang 14 kali, Aki menang 13 kali, empat kali seri.

"Nampaknya kau dah semakin hebat, Aki."
"Aku dah menang 14 kali lawan kau, Yahya."
"Takde, takde. 13 kali. First match tu aku tak iktiraf kau menang. Kita berdua seri masa tu."
"Aku lagi lima langkah nak menang masa tu, kau yang menyerah."
"Aku nak buat kerja sekolah, Aki. Bukannya aku tak boleh kalahkan kau masa tu."

Aki tergelak sahaja. Tetapi dalam ramai-ramai sepupu, Yahya hanya boleh masuk kepala dengan Aki sahaja, kerana selain permainan catur, Aki juga sejenis terang hati dan ambil tahu tentang hal semasa dari apa yang didengar di radio.

Di rumah Pakcik Kassim dah ada radio. Pakcik Kassim beli radio sebab tidak mahu anak-anak yang berehat di rumah ketika selepas khatan ini bosan.

Radio Gelanggayu menyiarkan lagu keroncong dari Majapahit, lagu-lagu asli, drama bangsawan serta berita yang disediakan oleh pihak British, dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Tetapi semasa warta berita, Yahya dan Aki yang paling fokus mendengar, terutamanya tentang perkembangan perang saudara di Kwantong, perkembangan Mahatma Ghandi yang dilabel sebagai 'pengganas' oleh British, dan perkembangan di Jerman di mana Adolf semakin kuat pengaruhnya.

--

Setiap hari, Katerina dan Vyacheslav menanti kepulangan Wan Hashim untuk pulang dari perang saudara di Kwantong. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, dan sudah hampir setahun tidak mendengar berita daripadanya.

Kampung komunis yang didirikan oleh Wan Hashim itu ternanti-nanti pengasas kampung itu untuk pulang. Lama kelamaan, Katerina dan Vyacheslav berputus harap. Mungkin Wan Hashim terkorban dalam peperangan itu.

Sebagai seorang komunis dan atheist, mereka tidak berharap sebarang keajaiban. Semua perkara perlu ada rasional dari sudut saintifik dan fakta. Berdoa dan berharap dilihat sebagai satu perkara yang sia-sia.

Bahtera Merdeka Where stories live. Discover now