Episod 145 - 12 Jun, 1981

37 8 0
                                    

Cuti musim panas di England membuatkan Azlan ada masa senggang untuk dia pulang ke Gelanggayu. Sejak dah akil baligh ni, suara pun dah makin garau, gaya pemakaian pun dah semakin 'sharp', memang anak emas bukan sahaja Jeneral Yahya, tetapi Tengku Ariffin serta ibunya sendiri, Faridah Ismail seorang billionaire wanita pertama di Gelanggayu.

Tiba sahaja di Wijayapura, budak-budak bawah Ali terus ambil barang-barangnya dari luggage. Azlan dan kawan-kawan punknya datang menyambut Azlan, cium tangan untuk ambik berkat.

Azlan memeluk Ali kemudiannya berbisik kepadanya.

"My brother, my man!" kata Azlan.
"Peh, suara kau pun dah garau sekarang ni, Lan!"
"Panggil budak-budak kau, hari ni kita makan nasi kandar Mustafa Ibrahim!"
"Tu diaaaaaa! Geng! Hari ni Azlan nak belanja kita makan nasi kandar!" jerit Ali kepada semua pengikutnya.

Bersoraklah semua orang yang datang naik bas ke lapangan terbang untuk menyambut kepulangan Azlan.

"Ada berapa orang, Li?"
"Dua puluh," jawab Ali.

Azlan seluk poket, dan kira duit. Ada dua puluh keping lima puluh ringgit.

"Ni seribu ringgit, bagi sama rata," bisik Azlan sambil menyeluk poket Ali. Duit ni sebenarnya duit belanja Azlan kat sekolah yang ada lebih, dia simpan dan tukarkan wang pound sterling kepada ringgit di pusat tukaran matawang asing di lapangan terbang.

"Baik, Alan. Baik. Kawan-kawan, jom kita ikut Tengku Ariffin dan Azlan! Ramai-ramai laung...hidup Azlan. Ramai-ramai sedia...satu...dua..."

"Hidup Azlan! Hidup Azlan! Hidup Azlan!"

Azlan diamkan sahaja. Dia tahu ada ramai yang memerhatikannya.

Pengikut Ali pun letakkan begnya di dalam bonet kereta, sambil Azlan menaiki kereta Tengku Ariffin.

"Ali, masuk," kata Azlan.

Ali terkejut. Dia rasa segan sebab dia yang berpakaian budak punk, diajak pula naik limosin. Apa pula kata kawan-kawan dia nanti.

"Takpe la Lan, aku naik bas dengan kawan-kawan aku," kata Ali.
"Naik teksi, cepat sikit. Ada benda aku nak bincang," kata Azlan sambil hulurkan duit kepada Ali.
"Baik, Lan."

--

Restoran nasi kandar tu ditutup sebab Azlan datang, Azlan tempah kedai tu melalui telefon oleh orang-orang Tengku Ariffin. Hanya jemputan sahaja yang dapat masuk di restoran itu.

Dalam beg, Azlan serahkan kepada Ali jersi JVC Arsenal.

"Ish, kau belikan jersi Arsenal untuk aku ke?" tanya Ali.
"Mestilah, masa aku kat London, sementara nak tunggu flight aku, aku singgah kat Highbury, jadi aku ingat kau fan Arsenal, aku belikanlah."
"Tapi kau kan fan Liverpool?"
"Kalau aku belikan kau jersi Liverpool, mestilah kau tak nak pakai kan? Aku belikan kau jersi Arsenal. Aku niat nak memberi, kalau aku beri benda yang kau tak nak, tak ke sia-sia?"
"Heheh, okay. Ingatkan kau macam Aziz."
"Aziz tu taksub Liverpool. Aku minat Liverpool, minat juga. Tapi takdelah aku nak dakwah kau sokong team bola aku pulak," kata Azlan.

Berderet Vespa dan Lambretta lama yang dipakai oleh golongan skinheads, budak mod dan budak punk. Vespa lama ni pun sekarang ramai yang pakai dari kalangan anak muda.

Selepas makan, Azlan buat pengumuman depan semua budak-budak yang ada di dalam restoran.

"Brothers! And sister, tu ada sorang perempuan tu," kata Azlan menunjukkan seorang gadis yang duduk di tepi, kemudian dia jeling ke arah Ali.

Gadis itu angkat tangan.

"Aku ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang datang menyambut kepulangan aku dari England. Aku minta maaf, tak banyak souvenir aku boleh bawak. Tapi aku ada bawak demo-demo band punk dari England. Korang ambiklah yang mana yang korang nak, lepas tu bertukar-tukar sesama kawan bila dah habis dengar," kata Azlan.

Bahtera Merdeka Where stories live. Discover now