Maharaja Ryukyu, Hirohito mangkat pada hari ini. Maharaja yang telah memerintah Ryukyu dari tahun 1926, selama 62 tahun.
Sepanjang baginda bersemayam di takhta dan menjadi Maharaja Ryukyu, negaranya berdepan dengan militarisme di mana tentera menguasai politik, kemudiannya terlibat dalam Perang Dunia Kedua, dan dua bom atom meletup di negaranya, sebelum tenteranya menyerah kepada tentera Berikat, sebelum pembangunan semula yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi paling rancak era 60an dan 70an dan memuncak pada tahun 80an.
Namun pada pendapat Faridah, pertumbuhan ekonomi pesat Ryukyu ini akan berakhir. Bahkan tahun lepas, dia terkena 'sengat'nya apabila kerugian $2.5 billion akibat kemerosotan beberapa saham-saham dari Indeks Nikkei.
Mujurlah dalam beberapa bulan, saham-saham di Ryukyu kembali pulih apabila Perdana Menteri Ryukyu, Noboru Takeshita dengan pantas melaksanakan pakej rangsangan ekonomi untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas.
Kemangkatan Maharaja Hirohito turut dirasai oleh keluarga al-Daulah. Tengku Mahkota, Tengku Norman dan Adilah selaku pemimpin Sayap Kuning ke Tokyo untuk menyaksikan upacara pengebumiannya.
Selepas menghadiri upacara pengebumian Maharaja Hirohito, Tengku Norman dan Adilah di dalam kapal terbang berbincang tentang seseorang, iaitu Azlan.
Sejak Azlan mengibarkan bendera Melaut ketika memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik di Seoul tahun lalu, Tengku Norman mula merasakan sesuatu yang tidak kena kepada Azlan, ibunya Faridah, datuknya Tun Ismail dan datuk saudaranya, bekas Perdana Menteri, Tun Iskandar.
Tengku Norman mula rasa pelik kerana lebih daripada separuh syarikat-syarikat yang terbesar di Gelanggayu, dikuasai oleh orang Melaut. Dan Melaut kini sudah mula membangun tanpa memerlukan sangat kewangan dari kerajaan pusat.
Tengku Norman mengesyaki Gerakan Melaut Merdeka kini sudah bergerak bukan lagi cara militan seperti era terdahulu, tetapi bergerak secara ekonomi dan politik. Ini yang menyebabkan ia lebih sukar untuk dibanteras kerana kalau bergerak menggunakan cara militan, guna sahaja kekuatan tentera dan bom sahaja kubu kuat mereka.
Tapi kalau melalui ekonomi dan politik ni, ia jauh lebih sulit. Buatnya kalau orang-orang Melaut ni bukan GMM, dan mereka bawa lari segala harta mereka keluar dari negara, ekonomi Gelanggayu akan jadi rapuh dan keyakinan pelabur akan runtuh.
Sejak Mamat berpindah ke Wijayapura pada tahun 1967, serta berkahwin dengan Faridah, Mamat telah membawa ramai orang-orang Melaut ke Wijayapura dan berkumpul di Puncak Jaya, membuat perniagaan dan perkhidmatan.
20 tahun kemudian, kumpulan yang dibawa oleh Mamat dan kemudiannya diteruskan oleh Faridah ini dari menjadi pengusaha perniagaan kecil dan sederhana, mula menguasai ekonomi di Wijayapura dalam industri yang besar-besar.
Mereka ini digelar sebagai 'orang dagang', iaitu mereka yang datang dari Melaut, kemudiannya mahir dalam sesuatu bidang, kemudiannya menggunakan kemahiran itu dan menjadi kaya serta kini mempunyai jaringan politik dalam kesemua parti politik utama negara.
Dalam masa sama, Tengku Norman memang perlukan 'orang dagang' ini kerana mereka banyak mengawal sektor ekonomi, kerana selepas berlakunya rusuhan pada tahun 1969, serta berlakunya kejatuhan Tun Rizal Samad, orang-orang Kwantong yang selama ini menguasai ekonomi Wijayapura, dipindahkan ke Temasik.
Tun Iskandar, atas nasihat Mamat, telah membenarkan sektor ekonomi yang dikosongkan oleh orang-orang Kwantong itu diisi oleh 'orang dagang' Melaut, yang mula dilihat sebagai 'Yahudi Gelanggayu' kerana sejarahnya yang beratus tahun ditindas, perlahan-lahan menguasai ekonomi dan politik Gelanggayu.
"Beta dapat tahu yang kamu ni belajar di Universiti Wijayapura, apakah benar begitu?"
"Ampun tuanku. Patik belajar di Universiti Wijayapura dalam bidang komunikasi massa."
"Ada kenal dengan Azlan Muhammad Niat?"
"Patik kenal, Tengku Mahkota. Tapi patik tak rapat dengan dia."
"Cuba rapat dengan dia, beta ingin mengetahui kenapa dia pergi gatal kibarkan bendera Melaut masa menang pingat gangsa Sukan Olimpik tempoh hari."
"Ampun tuanku. Bukankah adinda Tengku Mahkota, Tengku Ariffin rapat dengan Azlan? Adakah Tengku Mahkota tidak bertanya tentang keraguan Tengku Mahkota tentang itu?"
"Beta bimbang, Tengku Ariffin ni pun ada agendanya. Dia terlalu rapat dengan Toh Puan Faridah. Lagipun, beta masih perlukan mereka berdua dalam usaha beta mengekang Tengku Ahmad dari cuba merampas kuasa. Begitu juga Tengku Hisham, yang sekarang berada di London. Dia tu keturunan Tengku Pancalela, yang dibuang negeri dan dipenjarakan di situ."
"Jadi apa hajat Tengku Mahkota? Patik akan sedia tunaikan."
"Tolong risik sikit siapa Azlan ni. Tapi usik sikit-sikit dah lah. Ibu dia tu banker antarabangsa. Buatnya dia freeze account bank beta di luar negara, hancur juga beta nanti."
"Menjunjung titah, Tengku Mahkota."
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Fiksi SejarahMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.