Episod 41 - 2 Januari, 1951

37 6 2
                                    

"Handsomenya Mamat ni! Tengok kat cermin, Aunty dah tolong sikatkan rambut Mamat!" kata Laila kepada Mamat yang hari pertama memakai baju sekolah.

"Handsome tu apa, Aunty Laila?"
"Kacak, tampan, lawa lah kalau orang Melaut cakap."
"Ye ke? Alhamdulillah kalau macam tu. Cuma orang lawa ni dugaannya besar, macam Aunty."
"Aunty tak lawalah, biasa je. Muka perempuan kampung."
"Perempuan kampung la cantik bagi Mamat. Kecantikan asli terpelihara."
"Eh, mulut manis ek Mamat ni! Jangan dah besar jadi buaya darat pulak!"
"Eh, dah elok-elok jadi manusia, kenapa nak jadi buaya pulak?" tanya Mamat.
"Buaya ni jenis tak cukup satu. Asyik nak 'ngap' je!" kata Laila sambil ikat tali leher Mamat.

Yahya yang sedang minum kopi, tersedak.

"Mamat pergi sekolah dulu ya, Aunty!" kata Mamat sambil capai roti marjerin lipat letak gula untuk mengalas perut. Laila pun sedang bersiap-siap nak hantar Aminah, yang kini berusia dua tahun ke rumah Dahlia untuk dijaga.

Laila kini menjadi jururawat di Hospital King George di Wijayapura, yang bakal ditukar namanya ke Hospital Sultan Amiruddin Wijayapura tidak berapa lama lagi.

"Dah siap?" tanya Yahya.

Mamat mengangguk.

Yahya tengok jam, kemudiannya meneguk kopinya sebelum bergerak ke arah keretanya. Mamat mengikut sahaja dari belakang.

"Mamat, gerak sekarang!"
"Mamat pergi dulu, Aunty Laila. Terima kasih! Assalamualaikum!"
"Waalaikumsalam..."

Laila memandang sahaja anak kecil itu dengan perasaan yang sayu.

"Dia lahir masa perang dulu, tak sangka dah besar dah dia."

--

Semasa turun dari kereta, Yahya memberitahu kepada Mamat.

"Aku nak kau tulis laporan, apa yang kau belajar hari ini, apa yang cikgu kau ajar, dan siapa nama kawan-kawan kau, faham?"
"Faham, Uncle Yahya."
"Aku bukan pakcik kau lah. Aku sepupu kau. Aku pergi dulu," kata Yahya, yang membiarkan Mamat terkial-kial di sekolah seorang diri, tak tahu nak daftar sekolah.

Dia terkebil-kebil memandang lambang sekolah di bangunan itu.

"S...T...M...I...C...H...A..E..L... Macam mana nak sebut nama sekolah ni?"

"Eh, kau dah kenapa berdiri tengah jalan ni?" tanya Faridah yang membawa beg sekolah.

"Tak tahu nak daftar sekolah kat mana?" tanya Mamat.
"Eiii kau ni, marilah ikut aku!" kata Faridah.

Faridah membawa Mamat ke bilik guru besar, iaitu Encik Abu.

"Cikgu besar, ni ada budak darjah satu, nak daftar sekolah," kata Faridah.
"Lah, mak ayahnya mana?"
"Woi budak, mak ayah kau kat mana?" tanya Faridah.
"Kat Melaut."
"Apa jauh sangat mak ayah kau? Habis tu, kau duduk berjiran dengan aku, Uncle Yahya dengan Aunty Laila, mana?"
"Aunty Laila kat rumah, Uncle Yahya dah pergi kerja."
"Laaaa, patutnya kau kena bawak mak bapak kau untuk daftar sekolah. Kalau tak ada, penjaga yang kena daftarkan. Apasal la Uncle Yahya kau tu badigol sangat, main tinggal je kau ni?" Faridah cekak pinggang.

Encik Abu minta Faridah tolong isikan borang pendaftaran sekolah untuk Mamat.

"Eiiii, aku dah lambat la, gila! Aku dah macam mak kau pulak!" kata Faridah, membebel sambil letak beg di kerusi.
"Tak apalah, awak masuk je lah bilik darjah dulu. Biar saya daftar sendiri," kata Mamat.
"Kau reti menulis tak? Kau tu darjah satu, kalau tulis pun, tulisan kau mesti buruk. Meh la aku tuliskan untuk kau," kata Faridah.
"Tapi kan awak cakap awak dah lambat..."
"Dah Uncle Yahya main tinggal je kau, macam kau ni anak pungut je. Eiii, pakkal aku ni baru darjah dua. Kalau aku dah besar, aku ketuk jugak kepala Uncle Yahya ni!" kata Faridah.

Bahtera Merdeka Where stories live. Discover now