Episod 24 - 11 Oktober 1942

72 9 1
                                    

Hari raya zaman perang ini cukup menggetirkan, dan sejak awal Ramadan tahun ini, isteri Kassim, Fatimah mulai sakit tenat. Anak perempuannya, Melur yang terpaksa menjaga ibunya, ditembak oleh tentera Ryukyu selepas tentera cuba menculiknya, dan dia melawan untuk mempertahankan maruahnya.

Lagi pulak, pada malam Nuzul Quran tempoh hari, anak keduanya, Zainuddin juga mati akibat kemnya dibom oleh tentera Ryukyu.

Dan disebabkan kematian tiga orang anaknya dalam masa yang dekat, Fatimah mula tertekan dan mula jatuh sakit.

Pada malam raya, ketika seluruh penduduk kampung Teluk Tenang sedang bertakbir hari raya, giliran Fatimah pula menghadap Ilahi, membuatkan Kassim merasa sedih.

Dalam masa kurang dari enam bulan, seluruh keluarganya meninggal dunia akibat perang ini. Bermula dengan Ahmad, kemudian Melur, lepas tu Zainuddin sebelum isterinya, Fatimah meninggalkannya.

--

Walaupun dalam suasana hiba, tetapi selaku pemimpin masyarakat Melaut, Kassim tetap memimpin pengikutnya dan mengimamkan solat sunat Aidilfitri. Selepas solat Aidilfitri yang berlangsung di padang, selepas masjid kampung telah dibom oleh tentera Ryukyu, Kassim memimpin solat jenazah untuk pengebumian mangsa-mangsa yang syahid dalam peperangan ini, termasuklah isterinya.

Selepas selesai, majlis jamuan diadakan di dalam kubu bawah tanah. Makanan yang disediakan ialah ubi rebus, keledek rebus, ubi bakar dan pucuk ubi celur yang dimakan bersama cili api.

Kulit ubi yang digoreng garing dijadikan snek serta dijadikan sambal, dan tidak dibuang kerana ia boleh dimakan.

Sejak tentera Ryukyu menawan Melaut, makanan semakin sukar untuk didapati kerana tentera Ryukyu akan merampas makanan dari penduduk kampung.

"Jemput makan, Pak Kassim..." kata Samsiah, sambil menghulurkan ubi rebus dan cili kering di atas daun pisang.

"Awak semua makanlah. Saya masih belum ada selera."
"Hari ini hari raya, Pak Kassim. Takkanlah Pak Kassim berpuasa pulak? Haram tau puasa pada hari ni," kata Samsiah.
"Bukan begitu. Tapi, biasanya hari raya ni meriah. Ada Ahmad, ada Udin, ada Melur, ada Timah. Tapi sekarang, semuanya dah tak ada. Tak biasa rasa macam ni."
"Takdir Allah, Pak Kassim. Saya ni pun, arwah suami saya jatuh kapal masa ribut. Dah tiga kali raya saya dan Jamal ni sambut berdua je. Yang pertama tu mungkin rasa pedih, tapi dah kedua dan ketiga tu, dah boleh teruskan kehidupan. Marilah, penduduk kampung dah tunggu Pak Kassim."

--

Laila makan ubi kayu seorang diri, teringat dari Yahya yang jauh dari mata.

"Assalamualaikum Laila, selamat hari raya, maaf zahir batin!" tegur Aki duduk di sebelahnya.
"Waalaikumsalam...awak ni asyik kacau saya je. Kacaulah orang lain."
"Mana ada saya kacau awak. Saya nak ajak berbual je."
"Bual la dengan orang lain. Kenapa asyik saya je yang awak tegur?"
"Tak boleh ke saya nak berbual dengan awak?"
"Bukan, tak manis kan macam tu. Lagipun, saya kan dah dengan Yahya, kenapa awak tak faham-faham lagi?"

Aki tersipu malu, tunduk, tetapi hatinya tetap rasa berbunga apabila bersama dengan Laila.

"Susah nak halang perasaan ni..."
"Ramai lagi perempuan yang baik, yang lebih sopan santun, lebih cantik daripada saya."
"Itu bukan soalnya."
"Soalnya apa?"
"Kalau hati dah berkenan dengan seseorang, bidadari turun dari syurga pun takkan mampu menakluki hati ni."
"Aki ni, pandai bermain kata. Tapi minta maaflah sangat-sangat. Lagipun Aki muda dua tahun daripada Laila. Susah Laila nak terima dengan seseorang yang Laila anggap macam adik."
"Kenapa Laila rasa soal umur itu soal yang penting?"
"Ya, sangat penting. Takkan bila dah kahwin nak panggil 'abang' pada orang yang lebih muda? Kan kedengaran janggal?"

Bahtera Merdeka Where stories live. Discover now