Dashtigaz, Soviet Uzbekistan
Mamat, Faridah, Vyacheslav dan Agnieszka duduk di unggun api untuk hangatkan badan ketika mereka berada di sebuah perkampungan di pinggir pergunungan Tengri Tagh.
"Sepanjang umur aku yang dah sampai 41 tahun ni, Mamat, aku rasa aku kepercayaan aku, salah."
Faridah dan Mamat pandang kepada Vyacheslav.
"Apa maksud kau?" tanya Mamat.
"Masa aku kecik, ketika di Betawi, di Kampung Melayu itulah, aku selalu berfikir kenapa orang kampung selalu pulau orang komunis macam aku. Ayah tiri aku, Wan Hashim, merupakan seorang komunis tegar."
"Ayah tiri kau, Wan Hashim? Dia keturunan Wan Demang ke?" tanya Faridah.
"Ya, tapi dia menolak untuk sertai Sayap Kuning sebab dia percaya kepada perjuangan komunis. Dia ada tiga beradik, Wan Zahir, dia dan Wan Yunus. Pakcik dia, Wan Majid, he was a legendary. Dia yang gerakkan gerakan nasionalis Serbia untuk bunuh Archeduke Franz Ferdinand, dan seterusnya mencetuskan Perang Dunia yang pertama. Wan Zahir, dia join Nazi. Dia yang naikkan Adolf daripada seorang pengemis lepas perang, kepada seorang pemimpin Jerman. Yang anehnya, kali terakhir aku dengar tentang dia, dia berkhidmat dengan Mossad di Israel."
Faridah dan Mamat rasa pelik dan berpandangan sesama sendiri.
"Warna-warni jugak rekod keluarga Wan Demang ni ya?" kata Faridah.
"Apa jadi kepada Wan Yunus?" tanya Mamat.
"Dia tak minat dengan semua ini. Dia kerja dengan Tengku Pancalela, kerja di kedai roti, sebelum mati kerana kena bom semasa Nazi mengebom London," kata Vyacheslav.
"Aku ingat semua keluarga Wan Demang ni jahat-jahat belaka," kata Faridah.
"Sebab awak dalam keluarga Yom Puteh, mereka memang anti Wan Demang," kata Mamat.Faridah menyandar di bahu Mamat.
"Apa yang kau rasa, selama 41 tahun kau hidup ni, kepercayaan kau salah, Vya?" tanya Mamat.
"Ayah tiri aku, Wan Hashim selalu mengajar aku bahawa dengan komunisme, kita boleh mencapai keadilan. Dan sebagai membuktikan komitmennya terhadap idea Marx, dia sanggup keluarkan dirinya dari keluarga aristokrat Wan Demang."
"Masalahnya Marx kau tu pun keluarga aristokrat juga," kata Mamat.
"Sejak dari zaman Stalin lagi sebenarnya aku rasa macam ada tak kena dengan ajaran ni. Kata agama itu candu, tapi semua orang menyembah Stalin macam Tuhan. Parti Komunis dah macam agama, macam kultus. Kata keadilan boleh dicapai dengan menghapuskan kelas masyarakat, tapi pada akhirnya wujud nomenklatura dan kelas atasan dalam Parti Komunis. Kasta tetap ada juga dalam Parti Komunis. Tapi aku paling rasa diri aku ini seorang hipokrit, apabila rusuhan di Poland dan Hungary, dan aku nampak dengan mata aku sendiri...kata komunis ni perjuangkan kaum pekerja, tapi tentera diarahkan bunuh pekerja yang mogok sebab cuma mintak kilangnya ada tingkap supaya mereka boleh bernafas. Ini semua hipokrit. Yang kelas atasan Parti, semuanya hidup mewah, ada dasha (rumah seperti istana) besar, ada kapal layar!" Vyacheslav mengelap air matanya.Faridah dan Mamat perhatikan seperti ada satu penyesalan dari Vyacheslav.
"Dan sekarang, Czechoslovakia. Dubcek tu kawan aku, sama dengan aku masa kami berperang menentang Nazi dulu.
Tapi kenapa Brezhnev nak jatuhkan dia? Sebab Dubcek nak buat perubahan. Dia cuma nak baiki kelemahan yang ada. Kelemahan mereka ni, ialah mereka tak boleh terima yang fahaman komunis ni ada kelemahan!"
"Jadi, kau nak buat apa sekarang, Vya?"
"A...aku tak tahu. Aku tak tahu nak buat apa sekarang."Mamat seluk di poketnya, dan ada segumpal ganja dalam poketnya.
"Kau boleh bawak seludup ganja dalam Soviet Union ni, Mat?" tanya Faridah.
"Taklah, ni saya petik tepi jalan Vyacheslav isi minyak di Samarkand. Kan saya pernah cakap, tumbuhan ni berasal dari rantau ni. Kat sini tumbuh liar. Orang jual ganja ni ke Bharat sebab ada ramai hippie dari Amerika dan Eropah datang ke sana. Kat situ mereka boleh dapat matawang US dollar."
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historical FictionMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.