Bombay, Bharat
Ismail mendukung anak perempuan yang baru dilahirkan oleh isterinya, Dahlia pagi tadi. Dia diajar oleh ayahnya, Datuk Ali.
"Ayah, perempuan kena azan ke qamat?" tanya Ismail, yang baru berusia 15 tahun umurnya.
"Anak lelaki, azan. Anak perempuan, qamat, ingat tu," kata Datuk Ali.
Ismail bisikkan pada telinga anak perempuannya itu qamat, sebelum menyerahkan anak perempuan itu kepada Datuk Ali.
"Kau dah ada cadangan untuk nama anak kau ni, Mail?" tanya Datuk Ali.
Ismail geleng kepala, tak terfikir tentang hal nama anak sepanjang masa isterinya mengandung, sebab perang dunia ini menuntut seorang suami muda sepertinya memikirkan hal-hal yang lebih penting seperti survival hidup dan pelajaran.
Ismail dan Iskandar kini belajar di Scottish School, sekolah aliran Inggeris untuk golongan elit di Mahim, iaitu pusat pemerintahan bandaraya Bombay yang didiami oleh golongan elit dalam kolonial British Bharat dan orang-orang kenamaan di sini.
"Faridah, makna dalam Arab maksudnya permata yang bernilai. Aku percaya dengan nama ni, anak kau akan jadi seorang yang berpengaruh dan bijaksana, seperti sebutir permata yang menyinar. Lagipun, Faridah ni nama ibu kepada Yom Puteh, Tun Faridah, yang berkahwin dengan Tengku Muzaffar, adinda kepada Sultan Mansur," kata Datuk Ali.
"Kalau itu kata ayah, Mail terima je."
Ismail kemudiannya menyerahkan kembali anak perempuannya kepada isterinya, Dahlia.
Sejak tinggal di Bombay akibat perang saudara, Ismail dan Iskandar banyak terpengaruh dengan golongan nasionalisme Bharat seperti Gandhi, Nehru dan Bose. Sementara Ismail lebih cenderung ke arah ekonomi, adiknya Iskandar pula lebih cenderung ke arah politik.
Walaupun secara keseluruhannya di Bharat tidak ada ancaman perang seperti di Gelanggayu, rakyat Bharat turut menderita dalam suasana perang ini.
Lebih 3 juta orang di Bengal mati kebuluran akibat polisi Perdana Menteri Britain, Winston Churchill yang tidak mahu membantu petani yang menanggung hutang yang tinggi akibat musim taufan yang melanda wilayah itu.
3 juta rakyat Bharat menyertai tentera British, dan berperang sama ada di Eropah atau di Asia Pasifik, sementara berpuluh juta rakyat Bharat berdepan dengan krisis ekonomi akibat perang, berdepan dengan kenaikan harga barang serta tumpuan kerajaan British terhadap perang menyebabkan ekonomi menjadi semakin parah.
Gerakan untuk menuntut kemerdekaan di Bharat ada pelbagai. Yang paling popular ialah Mahatma Gandhi, yang memperjuangkan kemerdekaan Bharat sejak British mengenakan cukai garam untuk menambah pendapatan empayar semasa Kemelesetan Besar.
Ada juga golongan pro-Axis seperti Subhas Chandra Bose, yang menggerakkan gerakan Azad Hind dan membantu tentera Ryukyu di Bagan dan wilayah timur laut Bharat yang sedang berlaku pertempuran antara tentera British dan Ryukyu.
Golongan Muslim pula kebanyakannya menyokong gerakan Liga Muslim yang dipimpin oleh Muhammad Ali Jinnah, yang mahu menubuhkan sebuah negara Islam, kerana merasakan jika merdeka di dalam Bharat yang majoritinya Hindu, maka Muslim akan ditindas.
Bagi Datuk Ali, dia ada hubungan dengan ketiga-tiga golongan ini, cuma sebagai seorang Muslim, dia lebih cenderung dengan Liga Muslim.
Dalam masa sama idea penubuhan Kongmegayu juga berasal dari Kongres Bharat yang ditubuhkan pada tahun 1885, di mana Datuk Ali sebagai saudagar emas dan intan permata memang banyak memberi sumbangan.
--
Datin Salwa, isteri Datuk Ali mendukung Faridah yang baru lahir itu.
"Ayah kau Melayu, mak kau orang Kwantong, lahir kat Bharat. Memang anak muhibbah betul kau ni, Faridah! Sayang sayang sayang cucu sulung aku ni..."
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historical FictionMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.