Azlan
25,671 orang pelajar layak mengundi dalam pemilihan Penghulu Pelajar kali ini. Tempoh kempen telah berakhir, dengan semua orang dalam Team Hackers kini menanti keputusan apabila pusat pengundian ditutup hari ini.
Ini adalah kali pertama aku mengundi, dan aku diberi kertas undi selepas menunjukkan kad pengenalan kepada pegawai pilihanraya.
Prosedur pilihanraya kampus ini sebenarnya lebih kurang sahaja seperti pilihanraya umum atau pilihanraya biasa yang kita selalu tengok tu, cuma pilihanraya kampus ini, disebabkan ada 60 orang calon, maka kena tulis nombor dan bukan huruf X.
Nombor aku ialah nombor 58, bagaimanapun aku tak suka undi diri sendiri. Entah, aku rasa amat poyo untuk undi diri sendiri.
Sebaliknya aku undi calon nombor 41, iaitu Amira dari Kolej 9 yang satu kelas dengan Hafiz tu. Kalau dia terpilih jadi exco, aku nak lantik dia mungkin sebagai exco hal ehwal wanita.
Selepas mengundi, aku beritahu kepada semua orang pengundi bahawa sesiapa yang mahu makan Ayam Goreng Harun dan Burger Ramli, ada disediakan di Kolej 18.
Aku pasang dua khemah, dengan budak-budak Azham datang pasang khemah di hadapan kolej kediaman aku. Penuh orang datang ke khemah untuk dapat ayam goreng dan burger percuma di khemah Kolej 18 ni.
Aku dengar ada calon yang komplen bahawa mereka tak boleh compete dengan perbelanjaan aku dalam pilihanraya kampus ini. Aku sedar yang aku ada kelebihan dari segi kewangan berbanding calon lain, tapi nak jadi pemimpin ni kena ada banyak duit.
Ini realiti dan aku percaya, kalau mereka ada duit banyak macam aku, mereka pun akan buat macam aku. Mereka tak ada risalah yang cantik macam aku. Mereka semua cetak manifesto pakai kertas fotostat, aku pakai kertas glossy dan berwarna, muka aku dan muka kumpulan Scorpions berwarna.
Mereka edarkan manifesto seorang diri, aku ada team yang edarkan risalah, dan ada kedai cetak sendiri. Dari sudut pandangan aku, semua ni aku belanjakan dalam lebih kurang 20,000 ringgit, atau 82 sen untuk setiap pengundi.
Pada aku belanja ni semua murah. Setakat 20,000 ringgit tu, duit mingguan aku beri kepada orang-orang Ali.
Ada juga yang berkata kenapa aku belanja begitu besar sampai semua orang tak mampu untuk bersaing dengan aku. Jawapan aku adalah mudah, sebab aku nak menang. Mungkin ada yang kata, alah, Penghulu Pelajar Universiti je pun, takkan la sampai beriya belanja besar (yang aku rasa biasa je).
Sama ada kau suka atau tak, orang ramai akan undi orang yang lebih kaya, sebab senang masa susah nanti senang minta bantuan. Tapi aku nak sangat menang ni, kerana aku nak jadikan jawatan Penghulu Pelajar ini sebagai satu cara aku membina kumpulan aku sendiri dalam universiti. Esok apabila mereka ini dah graduate, aku dah ada data dan senarai nama mereka yang aku boleh bantu untuk mereka mendapatkan pekerjaan dan perniagaan.
In return, mereka akan beri undi kepada aku, menyertai parti yang aku sertai dan menyokong aku sampai aku ke puncak kuasa.
Aku tak nak lepas aku graduate ni, aku terus jadi orang biasa je. Lepas tamat tempoh aku menjadi Penghulu Pelajar nanti, aku akan pilih orang aku agar dia meneruskan agenda aku di universiti.
Sementara itu, team aku yang ada sekarang ni, aku akan kekalkan dan aku akan terus bayarkan gaji mereka untuk mereka bekerja di dalam syarikat radio aku nanti.
Adakah aku ni jahat sebab main duit kuat sangat? Eh, salah ke? Aku tak melanggar peraturan pilihanraya kampus. Tak salah kan? Janganlah tak dapat anggur, masam katanya.
--
Berita tentang kedatangan kumpulan dari Jerman Barat, Scorpions diletakkan di muka surat depan Warta Wijaya hari ini, mengejutkan semua pelajar-pelajar Universiti Wijayapura.
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historical FictionMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.