Yahya dan Vyacheslav berdepan dengan dua krisis yang berbeza. Di Suez, tentera Britain, Perancis dan Israel mahu menyerang Mesir untuk menakluki semula Terusan Suez.
Di Budapest, rusuhan pelajar-pelajar universiti di Hungary kerana krisis politik perebutan kuasa antara Imre Nagy dan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Hungary yang memimpin Hungary sejak tamat Perang Dunia Kedua yang bernama Matyas Rakosi.
Matyas Rakosi merupakan seorang pemimpin pro-Stalin, seperti Enver Hoxha di Albania dan Mao Zedong di Kwantong. Tetapi akibat kritikan keras Rakosi ke atas Khrushchev, maka Khrushchev mengarahkan Rakosi letak jawatan. Rakosi kemudian memilih penggantinya, Erno Gero.
Bagaimanapun, Gero dipaksa letak jawatan secara keras oleh Soviet, dan menggantikan dengan Janos Kadar.
Tetapi dari kalangan rakyat Hungary, mereka lebih sukakan Imre Nagy yang lebih berkarisma dan memahami rakyat.
Tugas Vyacheslav ialah untuk memadamkan gerakan sokongan Imre Nagy yang dicintai oleh rakyat. Ini menyebabkan Vyacheslav merasakan percanggahan moral dan politik, kerana orang-orang yang dia bunuh ini adalah pelajar, ahli akademik, pekerja dan rakyat biasa yang tidak mahu campurtangan dari Soviet.
Revolusi Hungary berlaku pada hari yang sama ketika Yahya yang berada di Tel Aviv dan duduk bersama-sama Wan Zahir dan para jeneral Israel untuk menyerang Khan Yunis di Gaza.
Di London, Perdana Menteri Britain, Anthony Eden memberi ucapan di televisyen tentang betapa pentingnya Terusan Suez kepada Empayar Britain, memandangkan ia adalah pintu masuk ke Timur yang masih ada banyak aset Britain yang belum dilepaskan meskipun banyak negara telah merdeka.
Presiden Perancis, Rene Coty juga berucap kepada rakyatnya untuk menyokong perang di Suez.
--
Vyacheslav
26 Oktober, 1956
Budapest, HungarySebanyak 31,000 tentera Soviet dan 1,130 kereta kebal masuk ke ibu negara Hungary, Budapest. Seperti di Poznan, di mana Soviet menghantar tentera, keadaan yang sama juga berlaku.
Sebagai seorang Kolonel, aku kena pastikan tentera di bawah aku melaksanakan tugas yang diarahkan oleh Jeneral Litmanov, walaupun aku rasa perkara ini adalah bercanggah dengan moral yang papa ajar kepada aku.
Secara peribadinya aku tak bersetuju, baik di Poznan atau di Budapest, tetapi seorang tentera tidak boleh membantah siapa di atas yang memberi arahan.
Lima Divisyen Selatan Soviet yang diketuai Jeneral Georgy Zhukov dah masuk Hungary melalui Ukraine.
Maka berlakulah pertempuran antara tentera Hungary yang menyokong Imre, menentang tentera Hungary yang menyokong Gero.
Atas arahan aku, tentera Soviet membunuh mereka yang berdemonstrasi menuntut keadilan untuk tanah air mereka.
Disebabkan itu, aku jadi tak boleh tidur. Aku dibaluti rasa bersalah. Aku tak pasti apa yang aku buat ni moralnya betul. Antara kestabilan politik dengan kebebasan bersuara, aku jadi keliru.
Kalau betul wujudnya Tuhan, Kau bantulah aku untuk nampak jalan yang benar.
--
Yahya
Tentera Israel menggempur Gaza, terutamanya di Khan Yunis kerana disyaki Fedayeen yang menyokong Gamal Nasser berada di Gaza untuk mengganas di Israel.
Dalam pertemuan aku dengan Wan Zahir di Tel Aviv, aku mendesak agar dibunuhnya semua orang di kem Khan Yunis, sebab semuanya boleh dianggap sebagai simpatisan Gamal Nasser.
Aku tak peduli berapa ramai yang mati, asalkan British dapat mengawal semula Terusan Suez, di mana syarikat Sir Douglas yang aku kawal sekarang mendapat konsesinya.
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historical FictionMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.