Che Husin dan Mawar bawa Ali ke sekolah untuk mendaftar namanya untuk ke sekolah. Malangnya, disebabkan Ali tidak mempunyai surat beranak, serta bukti bahawa ini adalah anak warganegara Gelanggayu, maka Ali tidak didaftarkan terlebih dahulu.
"Kenapa tak boleh daftar, cik?" tanya Che Husin.
"Dia tak ada surat beranak, encik. Encik kena buktikan yang dia lahir di negara ini. Sebab ini adalah sekolah yang dibiayai oleh kerajaan," kata pendaftar sekolah itu.Che Husin bawa Mawar dan Ali untuk ke pejabat pendaftaran negara untuk mendaftar dan mendapatkan sijil kelahiran Ali.
Semasa nak mendaftar nama Ali, tiba-tiba pegawai pendaftar bertanya tentang kad pengenalan Mawar, dan Mawar sendiri tidak ada kad pengenalan.
"Maaf, puan. Kami tak boleh nak daftar anak puan sebab puan sendiri pun tidak ada kad pengenalan."
Peraturan di zaman Iskandar tentang isu imigran ini memang ketat. Selalunya kalau pekerja yang bukan warganegara, kalau ada pemeriksaan dari pegawai imigresen, memang orang seperti Mawar kena menyorok atau tak datang kerja.
Disebabkan itu, Ali dihantar ke sekolah swasta yang tidak ada banyak karenah birokrasi. Tapi yurannya agak mahal berbanding sekolah kerajaan.
Di sekolah swasta itu, ada ramai anak-anak dari luar seperti dari Dai Viet, Khmer, dan dari Pattani sepertinya. Sedih, tetapi apakan daya, undang-undang negara ini terhadap imigran sangat ketat terutamanya selepas kebanjiran pendatang tanpa izin selepas berlakunya Perang Dai Viet dan Khmer serta konflik di selatan Suvarnabhumi, memaksa polisi imigresen Gelanggayu jadi ketat sebegitu.
--
"Alaaaa, kenapa Aziz nak kena pergi sekolaaaahhhh!"
"Ishhh, takkan tak nak pergi sekolah pulak?"
"Aziz tak kenal sorang pun kat sekolah tu!"
"Sebab tak kenal la kena berkenalan kat sekolah tu!"Bertekaklah Aziz dengan Mamat pagi-pagi sebab nak suruh pergi sekolah. Faridah dan Azlan yang sedang bersarapan nasi lemak hanya jadi penonton kepada drama pagi ni.
"Lekas siap! Ayah bagi masa kat kau lima minit, siap! Kalau tak, ayah mandikan kau nanti."
Menangislah Aziz sambil capai tuala.
"Ha, Alan. Besok kalau kau kena pergi sekolah, kau jangan jadi macam abang kau pulak," kata Faridah.
"Ibu, kenapa kita kena pergi sekolah?"
"Mestilah. Kat sekolah kita belajar ilmu, cikgu ajar."
"Tapi kat rumah ni pun ibu dan ayah ajar Alan juga kan?"
"Sekolah ni penting sebab inilah masa kau membentuk diri kau. Kalau kau tak pergi sekolah, besok bila kau nak kerja, kau tak tahu macam mana nak bergaul dengan orang."
"Ooo, macam kita buat kawan lah?"
"Ya. Kalau tak, macam mana kau nak bekerja nanti."
"Faham, ibu."--
Azlan ikut ayahnya menghantar abangnya ke sekolah di Sekolah Kebangsaan Seksyen 14, Puncak Jaya. Masa menghantar tu, Azlan pandang sahaja keadaan di sekolah itu.
Azlan perhatikan sahaja semua pelajar memakai uniform putih dan seluar biru tua. Yang perempuan sama ada pakai baju kurung putih dan kain biru tua, atau pinafore biru tua.
"Ayah, kenapa semua orang pakai baju yang sama?"
"Sebab senang nak beza antara budak sekolah dengan budak yang ponteng sekolah. Macam ayah dulu, pernah sekolah kat Amerika, mereka bebas sahaja pakai baju apa-apa di sekolah. Akibatnya senang la orang nak ponteng sekolah."
"Kalau macam tu, kalau Alan nak ponteng sekolah, Alan siapkan baju kat dalam beg awal-awal, lepas tu salin kat tandas, lepas tu keluar dari sekolah, ponteng."
"Amboi, belum pergi sekolah lagi dah ada niat nak ponteng sekolah?"Mamat kemudiannya picit pipi anaknya itu.
"Kau jangan beritahu pulak taktik macam tu kat abang kau."
"Tapi kalau Alan buat, ayah marah tak?"
"Ayah akan marah kalau ayah dapat tahu. Tapi kalau ayah tak tahu, macam mana ayah nak marah, kan?"
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historical FictionMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.