Episod 149 - 10 Mac, 1982

41 6 0
                                    

Ketika Yahya sedang tidur, cincin Raja Gautama menyala terang. Cincin itu kemudiannya memantulkan cahayanya ke arah cermin tingkap, dan terus ke angkasa.

Ketika ini kesemua planet-planet Bima Sakti, iaitu Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptune dan Pluto - dalam keadaan selari.

Kali terakhir keadaan ini berlaku ialah pada 5,000 tahun yang lalu, ketika cincin Raja Gautama ini ditempa.

Ketika keadaan itu berlaku, Azlan sedang makan malam di England. Sedang dia makan itu, tiba-tiba ada cahaya hijau terkena pada dadanya, dan kemudiannya tiba-tiba dia terapung selama 49 saat, sebelum dia tiba-tiba jatuh ke lantai.

"Apa benda tu?" bisik hati Azlan.

Dalam perasaan yang sedikit cuak, dia keluar dan mengesan arah dari cahaya hijau tadi.

Dia mendongak ke langit, dia boleh nampak ada cahaya hijau merentasi beberapa buah planet yang boleh dilihat dengan mata kasar seperti planet Marikh dan Musytari, dan garisan cahaya hijau itu pergi jauh dari Bumi.

"Apa benda tu?"

Dua hari kemudian, ketika Azlan sedang berjamming dengan ahli kumpulan bandnya, dia bertanya kepada adik Colin, iaitu Jonny. Jonny, yang merupakan peminat astronomi, mungkin tahu apa yang berlaku kelmarin.

"It's a syzygy. Last Wednesday was the rarest, because it's only happened every 5,000 years. All nine planets are aligned one line to the sun," kata Jonny.

Azlan rasa pelik kenapa peristiwa itu menyebabkan berlaku peristiwa pelik pada malam Rabu yang lepas.

Selepas sesi jamming bersama ahli kumpulannya itu, Azlan berfikir tentang peristiwa itu. Dia tak faham kenapa pada hari itu, berlaku perkara sebegitu. Dia tidak faham apa signifikannya tarikh itu sebenarnya.

Pada peristiwa itu juga, terdapat keretakan pada tiang utama di empat bangunan: White House di Washington DC, Kremlin di Moscow, Zhongnanhai di Beijing dan Istana al-Daulah di Bukit Istana, Wijayapura.

Ronald Reagan yang perasan tiang seri pada White House retak, menelefon kontraktor untuk membaiki keretakan itu.

Tetapi keretakan pada tiga bangunan di mana kuasa dunia terletak ini serta sebuah bangunan di Wijayapura yang berkuasa di Gelanggayu tidak diketahui apa puncanya. Semua bangunan itu dibaiki semula tanpa ada sebarang hebahan berita tentang perkara itu kepada media.

--

Fenomena syzygy atau planet selari itu turut dibincangkan dalam perjumpaan para ulama dan pengkaji ilmu falak di Kuala Melaut.

"Kalau setakat tiga empat planet, itu biasa. Paling ajaib pun enam. Tapi ini sampai sembilan planet sekali serentak. Apa petanda ni?" tanya Osman selaku Pemangku Pemerintah Melaut.

"Ramalan Sayyid Muluk pun tak sebut tentang ini, Pak Osman," kata ahli pengkaji ilmu falak.

"Mungkin ini satu kebetulan, atau mungkin ada satu petanda," kata Osman.

Osman berfikir panjang. Dia merenung ke arah tingkap, kemudiannya dia mengarahkan agar ahli falak untuk mengkaji fenomena kerana perkara sebegini sangat jarang untuk berlaku.

--

Sejak kemenangan besar Datuk Seri Azmi dalam pilihanraya, Dasar Penswastaan mula dilaksanakan oleh Datuk Seri Azmi dengan melepaskan pegangan kerajaan terhadap syarikat-syarikat yang menguruskan urusan rakyat.

Tidak seperti di Britain di mana polisi penswastaan Margaret Thatcher lebih kepada terpaksa berikutan serangan subuh yang dilancarkan oleh Gelanggayu, dan di Amerika Syarikat di mana penswastaan di negara itu ada berlaku ketidakpuasan hati dari kalangan kesatuan sekerja kerana kegelojohan Ronald Reagan, di Gelanggayu, polisi penswastaan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Bahtera Merdeka Where stories live. Discover now