Episod 35 - 16 Jun, 1948

48 8 0
                                    

Sungai Kepah, Geri

Alexander Walker, pengurus ladang getah Elphil Estate, telah ditemui mati di pejabat estet pada jam 8:00 pagi. Dan di ladang getah Phin Soon, pengurus ladang John Allison dan pembantunya Ian Christian ditemui dalam muka ditutup dengan kain hitam dan tangan diikat serta ditembak.

Peristiwa ini menyebabkan British mengisytiharkan darurat di seluruh Gelanggayu.

Sebelum ni ada je orang Melayu, atau orang Tamil Bharat, atau orang Kwantong yang diserang komunis, tapi bila ada orang puteh kena tembak, barulah mereka ini menggelupur nak isytihar darurat.

Perdana Menteri Britain, Clement Attlee meminta negara-negara Komanwel untuk menghantar seramai 40,000 orang ke Gelanggayu untuk memerangi Komunis.

British menggunakan pengkalan tentera udara di Wijayapura dan Kuala Melaut untuk menghantar tentera memerangi komunis di dalam hutan.

--

Di dalam perkampungan orang asli di Geri, semua orang jadi risau. Ramli, anak kepada Kumang, sebagai anak yang sulung, dipertanggungjawabkan untuk menjaga ibu, dan adik-adik sejak kematian Kumang.

Dia dengar di hujung kampung, ada orang asli yang ditembak oleh komunis. Kadang-kadang dia dengar ada bunyi tembakan di dalam hutan, kadang-kadang ada bunyi bom dari kapal terbang tentera British.

Tiba-tiba ada bunyi ketukan pintu di rumahnya. Ramli menyuruh semua orang dalam rumah supaya diam. Ramli capai lampu pelita, kemudian berjalan menuju ke rumah.

Dia buka pintu, dan dia nampak Askar Melayu dengan nama Sarjan Aziz.

"Sarjan Abdul Aziz, dari Askar Melayu."
"Err...Ramli bin Kumang..."
"Ada nampak sesiapa yang mencurigakan?" tanya Sarjan Aziz.

Ramli mengangguk.

"Ada orang kena tembak komunis kat hujung kampung ni," kata Ramli.
"Haaa, maknanya dah dekatlah kita dengan kawasan mereka ni. Ramli jangan risau, kami Askar Melayu akan jaga awak sekeluarga. Kat rumah ada beras?"
"Ada, tapi dah nak habis."
"Prebet Rahim!"
"Ya tuan!"
"Bagi keluarga Ramli ni dua kati beras."
"Baik, tuan!"
"Ramli kalau ada apa-apa maklumat, beritahu kami. Kami pergi dulu, assalamualaikum."
"Waalaikumsalam."

--

Pengaruh komunis di seluruh dunia semakin luas sejak tamat perang dunia kedua. Di Dai Viet, tentera Perancis dalam keadaan yang sukar untuk bertempur dengan Viet Minh yang menggunakan taktik gerila ini.

Di Majapahit, pertempuran antara golongan Darul Islam menentang kumpulan paramiliter Partai Komunis Majapahit juga berlangsung.

Di Arroyo, Parti Komunis dan sayap militernya, Hukbalahap yang memberontak sejak pendudukan Ryukyu, kini bertempur menentang kerajaan Arroyo.

Di mana-mana sahaja, akan ada pemberontakan senjata komunis. Ini kerana kecekapan Jeneral Litmanov dan orang bawahnya, terutamanya Vyacheslav yang banyak membuat kerja-kerja perisikan dan menyebarkan komunisme.

Seperti sekarang, Vyacheslav ditempatkan di Berlin, dan membantu Parti Perpaduan Sosialis Jerman (SED) untuk menyebarkan pengaruh komunis di kawasan sekitar Berlin. Program denazifikasi di sebelah kawasan pendudukan Soviet ditambah dengan elemen komunis.

Di samping itu, Vyacheslav juga ditugaskan untuk menyelinap ke peringkat cawangan dan bahagian Parti Buruh di United Kingdom untuk mengedarkan risalah pro-komunis yang disadur dalam kempen Parti Buruh.

Ketika di London, dia sempat menyiasat tentang Yahya, dan dia telah mendapat maklumat tentangnya.

--

Bahtera Merdeka Where stories live. Discover now