Episod 122 - 15 Mei, 1975

33 8 0
                                    

Hari ini merupakan hari pertabalan Mamat sebagai pemimpin Melaut yang baru. Turut dilantik sama, Azlan sebagai Tengku Mahkota Melaut. Mereka berdua memakai baju teluk belanga berwarna putih serta sampin dengan ikatan Melaut.

Upacara ini bagaimanapun tidak mempunyai kumpulan nobat, kerana kumpulan tersebut kini berada di Bukit Istana, Wijayapura. Maka kerana itu keturunan Tengku Ishak tidak menggelarkan diri mereka sebagai raja atau Sultan.

Laungan Allahuakbar diketuai oleh Aki serta kumpulan Gerakan Melaut Merdeka, yang melafazkan sumpah setia kepada Mamat dan Azlan.

--

"Alan, tahun depan masa Alan nak sekolah nanti, Alan nak sekolah kat mana?" tanya Mamat.
"Kalau Alan cakap, ayah jangan kecik hati ya?"
"Beritahu lah."
"Alan nak sekolah kat Wijayapura."
"Kenapa? Kat sini tak best ke?"
"Bukan tak best..." suara Azlan tenggelam, kerana takut ayahnya marah.
"Habis tu?"
"Alan rindu la dengan ibu, dengan Abang Aziz. Alan rindu dengan Nek Khalidah, sebab dia ajar Alan main piano. Alan rindu dengan muzik rock. Kat sini memanglah best. Udara segar, ada perpustakaan besar, ada tempat untuk memancing, tapi Alan membesar kat Wijayapura."
"Tapi Alan dah jadi Tengku Mahkota..."
"Tengku Norman tu, bakal Tengku Mahkota Gelanggayu, tapi tak duduk pun kat Gelanggayu..."

Mamat sedar yang keinginan Azlan untuk kembali ke Wijayapura. Lagipun ibunya tinggal di sana. Mamat pun rindu kepada isterinya dan juga Aziz.

"Siapa nak jaga Melaut kalau macam ni?"
"Tak boleh ke minta Pakcik Osman tolong jagakan? Sekali sekala ayah baliklah ke sini. Ayah tak rindu ibu ke?"
"Ya, ayah rindu ibu."
"Boleh kan kalau macam tu?"
"Nanti ayah tanya Pakcik Osman kalau macam tu."
"Yaaayyy!" Azlan melompat gembira bila dapat tahu yang ayahnya bersetuju untuk pulang ke Wijayapura.

--

Mamat

Aku sedar, yang nyawa aku mungkin terancam jika aku tinggal di Wijayapura. Perkara ni aku dah pernah bincang dengan Faridah. Faridah tinggal di Wijayapura, sementara aku ada di sini sampai Abang Aki selesaikan semua masalah tentang Wan Rohana ni.

Tapi aku tak boleh berpisah dengan Azlan. Kalau apa-apa jadi pada aku, Azlan adalah pewaris kepada takhta di Melaut. Lagipun aku kena didik dia untuk jadi seorang pemimpin yang baik.

Alhamdulillah, Azlan ni dengar kata. Semua yang aku suruh, dia ikut tanpa membantah. Cuma aku tak sampai hati nak pisahkan dia dengan Idah, atau Aziz.

Lagipun jiwa dia memang dari kecik memang jiwa rock and roll. Kat Melaut ni mana boleh nak rock and roll sangat.

Tak apalah, demi Azlan, aku ambil risiko ni. Lagipun aku kena pantau juga Khamis dan Tapa di sana. Orang-orang Melaut di sana sedang menguasai industri di Wijayapura menerusi perdagangan dengan Kwantong.

Cuma aku perlu selesaikan dulu hal Deng Xiaopeng di sini. Kesian dia, dia dan pengikutnya dalam buruan orang-orang Gang of Four yang diketuai isteri Mao, Jiang Qing.

Urusan di Melaut ni, biar Osman dan Abang Aki yang jaga. Sekali sekala aku pulang ke Melaut dan memantau keadaan.

--

Di Kutub Khanah Kuala Melaut, aku berjumpa dengan Deng Xiaopeng dan pengikut-pengikutnya. Deng, bersama dengan sekutunya, Hu Yaobang, Zhao Ziyang, Chen Yun, Peng Zhen dan Wang Zhen.

Deng dan pengikut-pengikutnya sangat mahu mempelajari ilmu-ilmu dalam bidang perindustrian yang aku bawa dari Amerika Syarikat. Antara kata-kata Deng yang boleh buat aku faham falsafahnya ialah, "kalau nak selesaikan masalah, perkara pertama ialah perlu menyedari bahawa ada masalah yang sedang berlaku".

Deng ni usianya agak tua, berusia 70 tahun. Deng ni lebih kurang usia Sultan Jaafar yang kini sedang terlantar sakit, tapi Deng ni gaya hidupnya sederhana, dan sangat jaga makan. Setiap pagi, orang-orang aku beritahu yang Deng bersama-sama pengikutnya akan bersenam tai chi bersama-sama di hadapan perpustakaan ni.

Bahtera Merdeka Where stories live. Discover now