Azlan
Charité – Universitätsmedizin Berlin, Berlin Barat, Jerman Barat
Melalui deal aku dengan Major Vladimir Putin, aku dan Agnieszka akan dilepaskan ke Berlin Barat tanpa dikenakan apa-apa tindakan sebab aku dah selamatkan dia dari terduduk dalam perigi hari tu.
Kalau tak, memang aku dan Agnieszka akan senasib dengan Vyacheslav kat ibu pejabat Stasi tu.
Alhamdulillah, aku semakin pulih dari pneumonia. Aku cuma rasa terharu, sebab kali terakhir aku nampak Vyacheslav, dia minta aku ajar dua kalimah syahadah dan minta aku lafazkan azan.
Aku berharap walau di mana jua Vyacheslav berada, Allah akan limpahkan rahmat untuk dia. Alhamdulillah, menurut cerita dari Agnieszka, Vyacheslav ni dari kecik lagi memang berminat nak masuk Islam, sebab dia dibesarkan di Betawi dan berada di perkampungan orang Melayu di Majapahit sana.
Dia ada berbual dengan arwah ayah, dengan ibu tentang Islam. Tetapi pada akhirnya, kerana aku sakit, ia menggerakkan hati Vyacheslav untuk memeluk Islam. Semoga Allah berkati dia, dunia dan akhirat.
Pengetua datang melawat aku di wad.
"Ibu kau marah pada aku bila dia dapat tahu yang kau masuk hospital sebab pneumonia. Dia tak kasi kau pergi operasi lagi," kata Pengetua.
"Pengetua, Vyacheslav kena tangkap dengan Stasi di Dresden," kata aku.
"Dah mati la tu, kalau dah kena tangkap macam tu. Kecuali kalau dia berjaya lepaskan diri. Agnieszka mana?"
"Ada kat wad lagi satu," kata aku.
"Macam mana kau lepaskan diri?" tanya Pengetua lagi.
"Saya buat deal dengan seorang agen KGB ketika dia terperangkap dalam perigi."
"Jadi dia lepaskan kau? Macam mana?"
"Dia seorang major dan dia boleh buat security clearance. Sebab tu saya dan Agnieszka ada kat sini," kata aku.
"Hmm, baguslah kau selamat. Kalau tak tu, dah boleh dianggap gagal misi kau tu. Memang masuk dalam pejabat Stasi tu, habislah kau," kata Pengetua.Tak gagal sangatlah sebenarnya, sebab di Rosenthal tu, sebenarnya Stasi dan KGB dah mula hilang kawalan. Pagar sempadan tu pun dah ramai yang rosakkan, dan dah semakin ramai yang dah menuju ke Czechoslovakia dan menuju ke Hungary.
Dari tingkap hospital, aku nampak Tembok Berlin yang berlingkar di tengah bandar ini. Aku nampak Brandenburg Gate.
Sebelum aku balik ke Gelanggayu, aku mesti mengambil gambar di tembok ni. Mana tahu, mungkin ini kali terakhir tembok ni wujud.
Masa Presiden Reagan membuat ucapan 'tear down this wall' dua tahun yang lalu, aku dah dapat rasakan yang blok komunis sedang menghitung hari menuju ke hari akhirnya.
Maka perang ideologi antara tiga fahaman iaitu fasisme, imperialisme, komunisme dan liberalisme, nampaknya bakal berakhir. Pemenang pada abad ke-21 ialah liberalisme dan Amerika Syarikat. Cuma selepas ini, jadi apa?
--
Aku keluar hospital keesokannya, dan aku sempat mengucapkan terima kasih kepada Agnieszka kerana selamatkan aku dari sakit masa di Rosenthal tempoh hari.
Dia senyum, tapi senyumannya sayu sekali pada aku. Sudah tentulah dia bimbang dengan Vyacheslav. Pada aku, tak usah diharap lagi, mungkin dia tak akan kembali lagi.
Di dalam kereta, Pengetua hantar pemandunya untuk membawa aku dari hospital ke lapangan terbang, dan aku meminta pemandu itu berhenti di tepi jalan di Tembok Berlin. Aku nak ambil gambar di sini untuk kenangan.
Sebab aku dapat rasakan dalam masa setahun dua dari sekarang, negara Jerman Timur atau Republik Demokratik Jerman (GDR) ini akan terpadam dari peta dunia.
Dalam kereta aku mendengar lagu popular dari Crowded House, Don't Dream It's Over. Salah satu lagu yang akan mengingatkan zaman persekolahan aku, masa ambil peperiksaan SPG.
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historische RomaneMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.