Faridah
Hampir sepuluh hari aku dalam kapal dengan Mamat, sikit pun dia tak ada nak ambil kesempatan atas aku. Dia betul-betul hormat aku sebagai wanita. Ruang aku dia betul-betul hormat. Umur remaja macam ni mana reti hormat. Tengok Mat Nor sudah. Asal jumpa je nak meraba.
Dia langsung tak buat macam tu walaupun ada banyak je peluang atas kapal ni.
Rupanya anak-anak kapal ni adalah dari pemberontak FLN di Algeria, yang berjaya mendapatkan kemerdekaan dari Perancis. Tapi mereka masih lagi dalam peperangan.
Kapal tiba di Wahran, atau nama Perancisnya, Oran.
"Idah, ambik duit ni dulu. Pergilah makan sarapan atau minum kopi dulu. Saya nak tolong pekerja saya."
"Tapi kau kan bos. Patutnya kau rilek la. Biar je la anak buah kau buat kerja untuk kau. Kau temankan la aku breakfast."
"Bukan macam tu nak jadi ketua, Idah. Nak jadi ketua ni mesti sama-sama susah dengan pengikut. Baru orang nak ikut. Awak makan dulu ya. Lagi satu, kalau awak tak pandai berbahasa Perancis, saya minta kawan saya Bargouzi tolong temankan."Mamat berikan aku dalam 500 franc, dia kata ni lebih kurang dalam $5 macam tu.
Kejap lagi kawan Mamat yang bernama Bargouzi tu temankan aku dan dia tolong pesankan aku makanan untuk sarapan. Bargouzi ni kerjanya penterjemah bahasa. Jadi dia boleh bantu aku dalam berkomunikasi lah.
Pekerja restoran tu bagi aku batbout, iaitu sejenis roti Arab, rupa dia macam roti pita yang baru keluar dari ketuhar. Panas lagi. Kemudian ada roti yang diberi nama khubz al-tajin, roti ni lebih kurang macam pizza kalau di Itali. Alah, Itali dengan Algeria seberang laut ni je.
Kemudian dia hidangkan aku tchaktchouka, telur yang dimasak dengan tomato, paprika, bawang putih, jintan manis dan lada benggala.
Bargouzi ni boleh cakap English sikit-sikit. Dia cakap makanan ni makanan kegemaran Mamat. Eh, bila masa Mamat pernah pergi ke sini?
Aku koyak roti, dan cicah pada telur tu, alamaaakkk...syahdunya! Dihidang pula dengan kopi yang pekat. My God, mana Mamat boleh jumpa dengan orang-orang macam ni?
Kemudiannya ada orang yang bermain oud (gitar Arab) sambil menyanyi. Feel dia lain macam. Kemudian di tepi pelabuhan tu ada pula pasar yang aku nampak orang angkut ikan dari kapal.
"Mamat came here before?"
"Yes, yes. He helped us for revolution. Last year he came here, bring gun, fight the French. Pom pom pom!" kata Bargouzi sambil tunjuk gaya macam menembak.Mamat ni macam Che Guevara ke? Revolusioner pergi merata satu dunia? Eh, lain macamlah dia ni. Tapi, macam manalah jiwa dia masa dia duduk kat rumah Pakcik Yahya tu. Mesti dia rasa terseksa. Patutlah dia tak nak sambung belajar.
Sedap tchaktchouka ni. Kalau aku reti buat ni, hari-hari aku akan buat ni untuk breakfast aku.
Aku nak bayar, tapi owner restoran tu tolak tangan aku. Dia cakap bahasa Arab dengan aku, aku tak faham, aku pandang Bargouzi, dia kata tak payah bayar sebab menurut dia, aku ni girlfriend Mamat.
Alamak, blushing aku bila dengar macam tu.
Lepas tu, Bargouzi bawa aku ke pasar, untuk beli sabun, pencuci muka, kemudian wangi-wangian. Ye lah kalau dah duduk dalam kapal sepuluh hari tu memang bau ba'eng la jawabnya.
Bau ba'eng tu kalau kat Wijayapura maksudnya macam bau peluh pada kasut kau. Macam tu la bau badan aku pada ketika ni.
Selepas beli barang di pasar, Bargouzi bawa aku kembali kepada Mamat, yang baru selesai angkat barang dan pindahkan ke kapal yang lain.
"Dah makan?" tanya Mamat.
"Dah. Sedap gilaaaa apa nama yang telur dengan tomato tu, tchaktchouka?"
"Oh yang tu. Senang je lah nak buat. Tumis bawang, bawang putih, serbuk jintan manis, serbuk paprika, lada benggala sampai terbit bau. Lepas tu letak tomato hancur, kacau-kacau sampai mendidih. Dah mendidih, pecahkan telur."
"Kau pernah datang sini ke dulu?"
"Pernah. Masa tu saya berjumpa dengan saudara Samia dan Umar. Masa tu perang revolusi Algeria lawan penjajah Perancis belum selesai. Perang di Wahran ni antara yang paling sengit."
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historical FictionMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.