"Mamat, apa kau ni tak pakai baju, tak pakai seluar, menari depan radio ni?" Jamal sebagai abang tiri, mencekak pinggang, melihat adiknya baru lepas mandi, tapi lupa bawa tuala.
"Abang Jamal boleh tak tolong ambikkan Mamat kain pelekat? Mamat lupa laaa..." kata Mamat, tersengih tunjuk gigi.
Jamal geleng kepala, kemudian dia terus mencapai kain pelekat adiknya.
"Hish, Mamat! Jamal! Lekas pakai baju kemas-kemas, ada tetamu dari Majapahit nak datang!" kata Samsiah.
Jamal dan Mamat terkial-kial memakai baju Melayu berwarna putih dengan sampin serta tengkolok. Adiknya, Osman masih belum putus susu.
Mamat nampak di depan rumah, ada ramai orang berpakaian baju Melayu warna hitam, dengan keris di dalam sampin, dan bertanjak, memegang tombak beramai-ramai.
Biasanya kalau macam ni, ada orang besar nak datang rumah.
Tak lama lepas tu, ada kereta Standard Vanguard masuk ke perkarangan rumah, dia nampak ayahnya, Kassim turun dengan berpakaian baju Melayu teluk belanga berwarna putih, sampin hitam bersalaman dengan lelaki memakai cermin mata hitam dan bush jacket.
"Presiden Soekarjo..."
"Kassim Dahalan...kita bicara dahulu..."--
Presiden Soekarjo mahu Kassim mengundurkan tenteranya di Sumatera dan menghormati Perjanjian Linggajati.
Kassim dan Soekarjo adalah mereka yang seperjuangan di dalam menentang imperialis dahulu, maka Kassim sudah mengenali Soekarjo.
"Apa jaminan Melaut tidak diapa-apakan oleh Majapahit kalau kami undurkan tentera dari Sumatera?" tanya Kassim.
"Kami bisa bantu Melaut jika Gelanggayu menyerang."
"Tapi pengkalan British sudah dibina di sini. Macam mana kalian mahu bantu kami? Lagipun sekarang ni, sudah Gelanggayu Union. Dan kami rasa sukar nak percaya kepada kalian, selepas apa yang berlaku kepada keluarga-keluarga diraja Sumatera. Mereka itu antaranya adalah saudara mara kami. Tergamak tuan Presiden bunuh saudara kami!"
"Beginilah, saudaraku Kassim. Kami di Republik Majapahit mahu aman aman sahaja. Yang melakukan semua itu adalah komunis."
"Maka kerana itu soalan saya jelas, Tuan Presiden...apakah jaminan yang Majapahit tidak menyerang kami kalau kami undurkan tentera kami dari Sumatera?"
"Kassim, bukan kita bersama-sama berjuang menentang imperialis? Takkan anda tidak yakin dengan saya?"
"Yang saya bimbangkan, Tuan Presiden...ialah bila Tuan Presiden sendiri yang jadi imperialis. Jika Tuan Presiden mahu kami undurkan tentera kami, tuan kena pastikan Sumatera tidak ada tentera tuan."
"Tapi anda perlu hormati Perjanjian Linggajati, Kassim."
"Itu tandatangan pemerintahan Tuan dengan Belanda, bukan dengan kami. Semua penduduk-penduduk Kesultanan Melayu di Sumatera mahu bersama kami. Jika anda benar-benar mahukan Sumatera, Tuan Presiden harus hapuskan kami semua, orang-orang Melayu yang tinggal di situ sejak ribuan tahun lamanya."
"Adakah anda tidak takut dengan kekuatan 45 juta orang Jawa yang bakal melawan kurang lebih 6 juta jiwa sahaja orang Melayu? Dari segi ilmu hisabnya sahaja ngga bisa terlawan, Kassim."
"Tuan Presiden ada bertanya kepada semua para jeneral Ryukyu apa yang berlaku pada mereka apabila mereka cuba takluk negeri kami?" tanya Kassim kembali.Soekarjo terdiam. Dia tahu reputasi Melaut sebagai sebuah wilayah yang sukar ditakluki memang terkenal sejak dulu lagi. Semua orang tahu yang Melaut ini adalah Sparta di Pentas Sunda.
Bahkan sejak dahulu lagi Melaut dikenali sebagai 'Sparta Pentas Sunda' dan mempunyai ramai panglima perang.
"Baiklah, kami tidak meletakkan tentera kami di atas garisan Khatulistiwa. Ternyata garisan tersebut bisa membahagikan antara penduduk Melayu dengan kami."
"Kamu undur tentera kamu, baru kami undurkan tentera kami."
"Sepakat."
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historische RomaneMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.