Sempena hari lahir Azlan ke-18, yang jatuh pada bulan Ramadan, Azlan menggunakan kesempatan dari wang peninggalan ayahnya yang masih ada untuk membayar zakat.
Wang tersebut digunakan untuk membeli bekalan asas penduduk kampung, serta membaiki surau dan masjid di sekitar kawasan di Kuala Melaut.
Untuk mengagihkan barangan itu, Azlan telah meminta Pusat Serenti Tun Muhammad Niat untuk menghantar sukarelawan untuk membantunya menghantar barangan ini.
Azlan tahu, inilah masanya untuk naikkan kredibiliti Ali sebagai pemimpin di sini.
Sampai sahaja di pusat serenti, semua sukarelawan yang dipilih beratur untuk menanti kehadiran Azlan.
Sebaik sahaja Azlan turun, Ali nampak Azlan, dengan baju bush jacket warna kelabu, gaya seperti seorang YB, datang dan memeriksa sukarelawan yang sedang berbaris di tapak perhimpunan.
Azlan berbisik kepada pegawai pusat serenti itu.
"Panggil Ali," kata Azlan.
"Baik, Tuan Azlan."Pegawai itu berjalan menuju ke arah Ali.
"Tengku Mahkota Azlan panggil," kata pegawai itu kepada Ali.
Ali terpinga-pinga, rasa terkejut pun ada walaupun dia dah agak Azlan adalah orang penting di Melaut.
Ali berdiri di depan Azlan.
"Buat biasa je, Ali. Aku nak kau jadi leader group sukarelawan ni," kata Azlan.
"Baik tuan!" kata Ali sambil memberi tabik hormat.
Bendera Melaut merah putih dengan keris bersilang berkibar tanda kedaulatan Melaut. Azlan memeriksa satu per satu sukarelawan sebelum mereka semua naik lori untuk ke kampung-kampung dan menghantar beras dan barangan lain kepada mereka.
--
Ali rasa penat kerana bekerja dalam keadaan yang panas pada bulan puasa. Tetapi Ali kenangkan dua perkara, pertama, betapa besarnya ganjaran yang Allah akan kurniakan sekiranya membantu orang susah di bulan Ramadan.
Kedua, dia jumpa Azlan selepas sekian lama berpisah, dan berpisah dalam keadaan dia cuba menikam Azlan di hospital. Dia rasa segan dengan Azlan tentang peristiwa itu.
Dari satu kampung ke satu kampung, Azlan turun dan menyerahkan bekalan makanan kepada orang-orang miskin. Ali nampak bahawa Azlan masih lagi seperti dia muda dulu.
Ramai orang kampung yang berkata bahawa Azlan ni macam ayahnya dulu. Dia kagum kepada Azlan, dan merasakan Azlan layak untuk jadi Tengku Mahkota yang sebenar.
Selepas seharian suntuk menghantar bantuan, mereka semua berhenti rehat pada waktu Asar di Masjid Kampung Cherok Pak Lang, di daerah Bukit Tungku.
Selepas Asar mereka semua beramai-ramai bergotong royong menyediakan juadah berbuka puasa. Ali nampak Azlan membantu para sukarelawan di dapur, dan kagum dengan skil Azlan memasak walaupun dalam bulan puasa.
Selepas berbuka puasa dengan sebiji buah tamar, mereka solat maghrib, sebelum menikmati juadah yang mereka masak tadi.
"Peh, sedap betul gulai ni. Tak pernah rasa makanan sesedap ni," kata Ali.
"Biasalah, Tengku Mahkota Melaut tu. Mestilah dia tahu masak. Arwah ayahnya pun boleh tahan hebat memasak," kata pakcik berjubah di sebelahnya.
"Macam mana rupanya arwah Muhammad Niat tu, pakcik?" tanya Ali.
"Arwah Mamat tu, macam ni!" kata pakcik berbaju Melayu warna hijau sambil tunjuk isyarat ibu jari tanda bagus.
"Azlan ni ada sikitlah perangai ayah dia. Tapi perangai ibu dia pun ada," kata pakcik yang pakai jubah pula.
"Kenapa dengan Toh Puan Faridah?" tanya Ali.
"Dia tu rapat sangat dengan Jeneral Yahya. Yahya tu dulu orang kami juga, tapi lepas dia join Freemason, berkawan dengan orang putih, dia jadi lupa daratan. Lepas tu dia berkawan pula dengan Yahudi Zionis laknatullah," kata pakcik jubah itu.
"Alah, kau ni. Janganlah kau sabitkan kebencian kau terhadap Jeneral Yahya dengan Tengku Mahkota kita. Tuan Azlan dah banyak bantu kita. Dulu kampung kita mana ada elektrik, sekarang sesetengah tempat dah masuk elektrik dah. Umur dia pun muda lagi, baru 18 tahun. Insya-Allah, Tuan Azlan akan jadi seorang pemimpin yang baik, macam arwah ayahandanya juga," kata pakcik baju Melayu hijau.
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historická literaturaMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.