Episod 49 - 8 September, 1953

48 8 0
                                    

Yahya dan Vyacheslav berlaga cawan, Yahya minum wiski, Vyacheslav minum vodka tanda meraikan kemenangan masing-masing. Yahya dapat menyusun pelan gencatan senjata di Goryeo, dan menyakinkan pentadbiran Eisenhower di Amerika Syarikat bahawa Gelanggayu sangat berpengalaman dalam menjadi peacemaker.

Walaupun Presiden Syngman Rhee enggan menandatangani perjanjian tersebut untuk menamatkan perang, tetapi Perang di Goryeo boleh diisytiharkan tamat pada Julai yang lalu.

Dengan Yahya kini menjadi Duta Besar Gelanggayu ke Amerika Syarikat, secara tak rasminya White House akan mendengar nasihat Gelanggayu yang sudah beratus tahun berpengalaman dalam foreign policy ini.

Pun begitu, Yahya tidaklah bebas sangat memandangkan Wan Zahir di Israel telah meletakkan golongan pelobi di White House agar selari dengan kehendak pelobi pro-Zionis.

Sementara itu, Vyacheslav pula berjaya menyingkirkan Malenkov dan menaikkan Khrushchev sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Soviet Union. Jadi kedua-dua pihak ada sebab untuk bergembira.

"Terima kasih sebab banyak tolong aku, Yahya," kata Vyacheslav sambil menggerakkan buah caturnya.
"Kau pun tolong aku jugak, Vya."
"Minggu depan, Soviet akan uji bom hidrogen yang baru," kata Vyacheslav.
"Amerika minggu lagi satu, Vya."
"Amat membimbangkan bila dua-dua sedang berlumba membina senjata yang boleh hapuskan ketamadunan manusia macam nuklear ni," kata Vyacheslav.
"Nuklear tu bukannya nak digunakan pun, Vya. Percayalah cakap aku, semua nuklear ni akan jadi tukun, jadi tugu. Tak akan digunakan langsung. Cuma dijadikan sebagai ugutan jika satu pihak melintasi garisan merah dalam Perang Dingin ni."
"Stalin pun dah tak ada, Truman pun dah bersara. Sekarang era Eisenhower dan Khrushchev, Yahya. Mungkin gaya Perang Dingin ini dah berubah."
"Perang tetap akan berlaku, Vya. Cuma ia berlaku dalam bentuk proksi. Macam di Goryeo, seterusnya aku nampak, Dai Viet. Kemudian keadaan di Sumatera, Pulau Timor, Papua - konflik akan berlangsung dalam Perang Dingin ni."
"Jangan ingat aku tak tahu yang kau ada bantu CIA gulingkan Mohamed Mossadegh di Iran, Yahya?" kata Vyacheslav.
"Dan jangan pula lupa penglibatan kau dalam menekan pemberontakan di Czechoslovakia, Vya. Kau juga bertanggungjawab menggulingkan perdana menteri Hungary, dan hapuskan Beria dan orang-orangnya," kata Yahya.
"Aku kena buat apa yang aku kena buat, Yahya," kata Vyacheslav.
"Sepakat," kata Yahya.

Vyacheslav ketawa sahaja bila Yahya kata begitu.

"Ucap selamat, Kolonel Vyacheslav!"
"Selamat juga pada kamu, Kolonel Yahya!"

--

Dengan keluasan 7,300 kilometer persegi, Wijayapura masih ada banyak ruang untuk pembangunan. Perpindahan penduduk dari luar bandar ke bandar mulai berlaku untuk mencari pendapatan yang lebih baik.

Sebelum Perang Dunia Kedua, penduduk Wijayapura adalah berjumlah 220,000. Tetapi menjelang 1953, lapan tahun selepas Ryukyu menyerah kalah, penduduk Wijayapura kini telah meningkat ke 450,000 orang.

Disebabkan kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri Wijayapura tidak mempunyai perancangan terhadap perumahan tempatan, maka wujudlah kawasan setinggan di sekitar Wijayapura.

Walaupun keluasan Wijayapura ini berkeluasan 7,300 kilometer persegi, tetapi kawasan yang memiliki kepadatan tinggi hanyalah sekitar kawasan berkeluasan 300 kilometer persegi di kawasan yang berhampiran dengan pusat bandaraya dan pelabuhan.

Maka projek pembinaan jalan penyurai di sebelah barat Wijayapura bermula dari Tanjung Emas menuju ke Victoria Hill, sejauh 25 kilometer. Projek itu juga melalui kawasan Kampung Dato Sagor dan Kampung Maluri, dan ada kawasan perindustrian yang dirancang akan dibina selepas jalan raya itu siap.

Melihat prospek itu, Faridah bercadang mahu membeli tanah tersebut, dan berpakat dengan ayah Dollah, Sazali yang memiliki syarikat perladangan kelapa sawit iaitu Citra Sari.

Bahtera Merdeka Where stories live. Discover now