Deng Xiaopeng datang ke Wijayapura sempena lawatan rasmi beliau selama empat hari ke Gelanggayu. Sepanjang lawatan itu, Deng mahu melihat sendiri perindustrian di Gelanggayu dan bagaimana untuk diaplikasi di Kwantong.
Pun begitu, perkara pertama yang dia buat sebaik sahaja tiba di Wijayapura, ialah untuk menziarahi kubur Mamat. Turut hadir sama ialah Azlan, yang pulang kerana cuti sekolah pada musim panas di England.
Imej Faridah dan Azlan yang berdiri bersebelahan dengan Deng Xiaopeng diambil oleh pelbagai media, baik tempatan mahupun antarabangsa, kerana imej Deng Xiaopeng yang dikenali di peringkat antarabangsa itu memberi pengaruh yang signifikan kepada Azlan.
Selepas melawat kubur Mamat, barulah Deng ke Seri Bendahara dan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Azmi Ibrahim. Deng memberitahu Azmi bahawa Kwantong mahu mempelajari dengan Gelanggayu untuk perindustrian tanpa meninggalkan nilai-nilai Timur.
Isu Pulau Layang-Layang tidak dibangkitkan Deng walaupun ada tuntutan Kwantong pada pulau tersebut, kerana Deng mahu berdagang dan tidak mahu membuat provokasi.
Deng fokus kepada perdagangan dan pelaburan, kerana pada Deng, tidak ada gunanya untuk berbalah kalau ekonomi negaranya masih lagi lemah.
Selepas pertemuan dengan Datuk Seri Azmi, Deng meluangkan masa dengan Faridah, dan sambil itu membincangkan tentang isu Hong Kong.
Faridah berkata dia bersedia menjadi orang tengah antara Deng dan Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher untuk berbincang tentang isu Hong Kong.
Kemudian Deng melawat kilang membuat televisyen di Pusat Perindustrian Sungai Renggam, yang merupakan salah satu daripada zon perindustrian bebas di Wijayapura.
Azlan sebagai sebahagian daripada rombongan itu, perhatikan sifat Deng yang suka bertanya, dari soalan yang paling remeh. Kemudiannya dia perhatikan yang pegawai-pegawainya mencatat setiap jawapan kepada pertanyaan Deng.
Soalan yang ditanya oleh Deng dalam bahasa Mandarin, kemudiannya diterjemahkan oleh Faridah dalam bahasa Inggeris, dan jawapan dalam bahasa Inggeris, Faridah akan menjawab kepada Deng dalam bahasa Mandarin.
Maka nota-nota dalam bahasa Inggeris disimpan oleh pegawai-pegawai Faridah. Nota-nota ini kemudiannya diserahkan kepada Azlan untuk dia memahami bagaimana organisasi sesebuah syarikat kilang berjalan.
Sebelah malam pula, Deng Xiaopeng ke Bukit Istana atas jemputan Tengku Mahkota, Tengku Norman. Azlan hadir ke istana dengan pakaian istiadat iaitu baju teluk belanga warna putih dan sampin hitam bersulam emas hasil tangan kedai jahit eksklusif Haji Tarmimi.
Pada makan malam itu, Azlan sengaja ditempatkan bersebelahan dengan Tengku Aminah, yang kini berusia 10 tahun.
"Hi Alan..."
Azlan menepuk dahinya.
"Not again..."
Faridah yang duduk sebelah Azlan berbisik.
"Apa cakap macam tu..."
"Ibu..."
"Ni istana, jangan buat perangai. Ikut je protokol."
"Baik, ibu."Azlan akur dengan perintah ibunya. Makan beradat, memang penuh dengan protokol. Seawal usia dia kecil lagi dia telah dilatih dengan protokol-protokol istana.
Azlan akui kadang-kadang dia merasakan beban tekanan serta harapan menggunung dari ramai orang. Tetapi sebagai seorang yang mengikuti falsafah Stoic Maharaja Rom, Marcus Aurelius, Azlan memilih untuk terima sahaja takdir ini untuknya dan terus lakukan yang terbaik untuk memenuhi harapan semua orang.
Sampai di rumah, Azlan keletihan dan bersandar di katilnya. Lagu Mr Roboto dari Styx berkumandang.
I'm not a robot without emotions, I'm not what you see
I've come to help you with your problems so we can be free
![](https://img.wattpad.com/cover/366060064-288-k790761.jpg)
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historical FictionMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.