Ismailiya, Mesir
Pertempuran antara tentera British dengan golongan Fedayeen nasionalis Mesir bertempur di bandar Ismailiya, berhampiran dengan Terusan Suez.
Sebulan sebelum itu, melalui bantuan Vyacheslav, Wan Husin dan orang-orang Sayap Kuning membekalkan senjata kepada golongan nasionalis Mesir yang mahu merampas Terusan Suez dari Britain dan Perancis.
Disebabkan Sir Douglas memiliki saham dalam syarikat yang menguruskan Terusan Suez bagi pihak British, Sir Douglas meminta Sir Winston Churchill melakukan sesuatu agar dapat diselamatkan dari diambilalih golongan Fedayeen Mesir.
British mengarahkan Jeneral George James Erskine untuk menamatkan serangan Fedayeen itu.
Memandangkan Terusan Suez adalah penting untuk British menghubungkan dengan negara-negara di sebelah Timur, maka Sir Douglas meminta Yahya memantau keadaan semasa di sana.
Dengan strategi perisikan Yahya, Jeneral George Erskine dan 7,000 tentera British dapat menamatkan pemberontakan itu.
Selepas selesai menyelesaikan pemberontakan itu, Yahya pun berehat di sebuah hotel di Ismailiya, menghadap Terusan Suez itu.
Tanpa disedari oleh Yahya, Wan Husin juga tidur di hotel yang sama, di bilik yang bersebelahan. Rupanya Wan Husin telah memasang bug di dalam talipon Yahya.
Apabila Yahya mahu menalipon Sir Douglas di London dan melaporkan apa yang berlaku, dia rasa hairan kenapa gagang talipon sangat longgar, serta menghasilkan bunyi dengung.
Dia sedar yang talipon biliknya sudah kena bug. Jadi, dengan perasaan paranoid, Yahya cuba dapatkan hotel lain tetapi disebabkan serangan Fedayeen itu, semua hotel-hotel tidak dibenarkan mengambil penghuni baru untuk pihak berkuasa menyiasat.
Jadi Yahya berjaga dan menunggu keesokan harinya untuk menaiki kereta api dari Ismailiya ke Kaherah.
--
26 Januari, 1952
Keesokan harinya, Yahya yang masih paranoid tentang semalam, merasakan badannya cukup penat dan mengantuk. Ketika sedang minum kopi, Yahya perasan ada seorang lelaki yang wajahnya macam lelaki Melayu dan pakai topi.
"Jemaah umrah, bercuti kat sini agaknya," kata Yahya sambil fokus minum kopi. Tetapi dia tidak perasan, lelaki yang macam muka orang Melayu pakai topi itu ialah Wan Husin.
Tidak seperti Wan Hamid yang dia kerap jumpa masa di pejabat Kempeitai dulu, wajah Wan Husin ini dia jarang berjumpa, jadi Yahya tak dapat mengesan siapa lelaki itu.
Selepas sarapan pagi dan minum kopi, Yahya pergi ke stesen kereta api Ismailiya dan menaiki kereta api menuju ke Kaherah.
Dia perlu menukar kereta api di stesen kereta api Abu Hammad, dan setibanya dia di situ, sekali lagi dia nampak lelaki Melayu itu.
Dia sampai Kaherah dalam waktu tengah hari. Dia nampak asap di merata-rata tempat. Dia nampak rusuhan sedang berlaku di sana.
Kedai-kedai dan kilang-kilang milik British dibakar kerana sentimen anti-British memuncak ekoran serangan di Ismailiya semalam.
Ketika sampai di Kaherah, dia nampak lelaki Melayu tadi bertemu dengan seorang yang berpangkat Kolonel. Kolonel tersebut memanggil lelaki Melayu itu sebagai 'Husin' dan bercakap dalam bahasa Arab.
Yahya menoleh ke arah lelaki itu, dan lelaki itu mengenyitkan matanya sambil mengangkat topi ke arahnya.
"Bangsat, ni game Wan Husin rupanya!"
--
Tel Aviv, "Israel"
Berdekah-dekah Wan Zahir ketawa bila Yahya bercerita tentang apa yang berlaku di Mesir.
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historical FictionMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.