Mamat
Pantai dan laut, sememangnya jiwa aku. Aku akui, pantai di Malibu ni sangat cantik, tapi sayangnya sesak dengan orang.
Semak aku tengok, sana sini tengok orang putih berjemur tak cukup kain kat sini. Tidak ada konsep aurat dan malu bagi mereka di sini. Ini membuktikan apa yang Abang Vya kata itu benar, ini adalah moral decedent. Kekayaan telah membuatkan mereka ini semua lupa kepada ajaran asal agama mereka.
Jika benar mereka ini mengamalkan ajaran Kristian yang berasal dari ajaran Nabi Isa seperti yang mereka katakan, mereka sudah pasti tidak akan berpakaian sebegini.
Kau semua nak tahu, aku berjalan dari hotel aku tu, sampai ke hujung pantai. Cuba teka, berapa ramai orang yang berjambul dan cuba meniru gaya Elvis? Berapa ramai pula yang tiru gaya rambut mendiang James Dean, atau Marlon Brando.
Mereka ingat mereka ini bergaya, tapi sebenarnya tidak ada keyakinan terhadap identiti diri sendiri sampai nak meniru gaya Elvis.
Mungkin ada yang kata, aku pakai cermin mata sebab aku meniru gaya Buddy Holly. Tak juga, aku pakai cermin mata sebab aku rabun. Banyak sangat dipaksa baca buku.
Aku duduk di pasir pantai. Masa aku tengah duduk tu, ada dua orang perempuan memakai bikini sedang bermain bola pantai. Dia ajak aku bermain, tapi aku menolak. Aku cakap aku tak pandai main. Bukan aku tak pandai main, aku tak nak main pun, aku cuma mahu tenangkan fikiran.
Mata aku tertancap ke arah laut - atau lebih tepat, Lautan Pasifik. Ribuan batu dari sini akan sampai ke Wijayapura. Kalau nak ke Melaut tu, kena pergi Lautan Hindi, jauh sikit.
"Woi! Jauh termenung!"
Terkejut aku bila ada suara perempuan Melayu tepuk bahu aku. Nasib baik aku tak melatah. Aku menoleh ada seekor lembaga yang berupa macam Faridah."Woi, Mat! Kau dah tak kenal aku lagi ke, setan?"
"Awak ni, Faridah Ismail ke?"
"Ye la, gila! Amboi kau ni, baru pergi Amerika, dah lupa jiran sebelah rumah!"
"Saya tak lupa, tapi saya terkejut macam mana awak boleh ada di sini?"
"Aku satu family datang sini la, nak bercuti. Kau ingat keluarga aku miskin ke tak mampu pergi Amerika?"
"Saya tak cakap macam tu pun."
"Kau ni masa dalam gambar kau hantar hari tu, gaya macam James Dean. Ni kau gaya macam Buddy Holly pulak. Apasal kau pakai spek mata pulak ni? Haaa, mesti si tua kutuk tu suruh kau baca buku 25 jam sehari, lapan hari seminggu, 13 bulan setahun, kan?" tanya Faridah.
"Lebih kurang macam tu la..."Faridah terus paut bahu aku, aku kemudian minta dilepaskan. Bukan apa, aku dengan dia bukan muhrim.
"Eiii, aku ingat kau dah kat Amerika, kau dah open minded. Sekali macam pemikiran Melaut lagi."
"Salah ke saya berfikir seperti orang Melaut?"
"Takdelah salah, cuma aku minta maaflah, aku ingat kau dah sporting, dah berubah. Maklumlah, dah duduk Amerika. Eh, kau tau tak mana nak beli topi koboi macam John Wayne tu? Si Mat Nor pesan dengan aku la..."
"Errr, Texas?" kata aku.
"Macam jauh je. Takkan la kat Texas je ada jual? Kau ni..."
"Manalah saya tahu, hari ni pun hari pertama saya kat California ni."
"Ye la, kau kan Mr-Knows-It-All!"
"Saya ni tak tahu semua benda dalam dunia ni, Idah. Saya banyak kali dah cakap, segala ilmu yang ada ni milik Allah. Kita hanya pinjam daripada Dia je."
"Ye laaahh, kecohlah kau ni. Kau tengok, sana sini pakai bikini, pakai boxer Hawaii, kau tiba-tiba nak jadi Ustaz pulak. Eh, jom nak, kita makan aiskrim. Aku teringin betul nak minun milkshake tu sejak aku tengok Natalie Wood minum dalam satu filem aku tengok tu...jomlah, aku belanja kau."--
Dua cawan milkshake, aku ambil coklat, Faridah nak strawberry. Sambil tu kami pesan fries, sebab itu sahaja pesanan yang paling selamat. Nak pesan hot dog atau burger, tak berani, takut babi.
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historical FictionMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.