Episod 161 - 5 Mac, 1984

24 4 0
                                    

"Ali, kau tolong jaga budak ni. Nama budak ni Firdaus Zamanhuri. Mak ayah dia baru meninggal sebab kebakaran," kata Faridah kepada Ali.
"Ye ke Aunty? Innalillah waina ilahi rojiun. Mari ikut aku, Firdaus," kata Ali kepada Firdaus.

Anak yang bernama Firdaus itu mengekor Ali dari belakang.

"Nanti kau duduk satu bilik dengan sorang lagi kawan aku. Tapi aku dah anggap dia macam adik beradik aku. Dia kat sekolah sekarang ni, nama dia Sulaiman tapi orang panggil dia Kecik. Umur kau berapa tahun?"
"11 tahun."
"Oohh, muda setahun lah dari Kecik. Kau dah makan ke belum? Kalau belum, mari ikut aku. Aku belanja kau makan," kata Ali sambil memeluk bahu Firdaus.

Sampai ke depan, Ali berbisik dengan Faridah.

"Aunty, pinjam 20 ringgit, nak makan."

Faridah hulurkan sekeping 20 ringgit kepada Ali.

"Banyaknya pakai duit. Nasi kandar baru harga dua ringgit. Kau jangan macam-macam," kata Faridah.
"Bukan nak makan nasi kandar."
"Habis tu?"
"McDonald's. Baru bukak kat depan Paragon Mall tu."
"Makan macam tu manalah nak kenyang, Ali."
"Alaaa, sekali sekala je, Aunty."
"Ye lah. Kau belikan budak ni baju. Kesian budak ni, rumah terbakar, satu helai baju pun tak ada," kata Faridah menghulurkan not seratus ringgit.
"Baik, Aunty."

Rumah wakaf arwah Mamat yang menjadi tempat berteduh anak-anak yatim atau anak-anak jalanan ni sememangnya manja dengan Faridah. Mereka menganggap Faridah ni macam ibu mereka sendiri.

Kecuali Adilah. Bila Faridah datang melawat rumah wakaf, mesti Adilah menyorok di dalam bilik air, dalam almari, atau dia buat-buat keluar dan duduk di tempat yang lain.

Tapi kalau Azlan yang datang, dia yang paling nak menjenguk-jenguk, walaupun Azlan memang jarang melawat rumah sebelah perempuan. Jadi memang Azlan tak pernah bertegur sapa pun dengan yang belah perempuan, walaupun ramai budak-budak perempuan tu kenal Azlan.

--

Jiwa Azlan bergelora selepas kematian Mr Snuggles semalam. Baginya, itulah satu-satunya memori yang tinggal selepas dia meninggalkan England dengan kawan-kawannya di sana.

Setiap kali dia rasa sedih, atau bersalah, dia akan ke kubur arwah ayahnya. Dia duduk dan membaca Yasin kepada ayahnya.

Tetapi benar kata ibunya, Azlan perlu mengawal marahnya, jika tidak, perangainya ini bukan sahaja menyusahkan dirinya, tetapi semua orang yang berdiri di belakangnya.

Dalam masa sama, dia rasa bersalah atas apa yang berlaku kepada si isteri yang turut terbakar, dan anak lelaki itu yang terselamat, tetapi kini menjadi anak yatim piatu.

Azlan pulang ke rumahnya selepas selesai baca Yasin di pusara ayahnya, dan cuba menenangkan dirinya. Dia sedar bila dia ditenggelami dengan kemarahan, dia akan bertindak di luar batas, dan dia rasa menyesal atas perkara itu.

Dalam solatnya, dia berdoa untuk memohon keampunan selepas apa yang telah dilakukan. Dia rasa bersalah kepada isteri dan anak lelaki pembunuh kucingnya itu, tetapi tidak kepada pembunuh Mr Snuggles itu.

Sedang dia termenung di sejadah itu, Aziz mengetuk pintu biliknya.

"Alan, Uncle Ipin nak cakap dengan kau."

--

Tengku Ariffin menjemput Azlan untuk ke rumahnya di Jalan Cendana. Seperti biasa, Azlan akan duduk di kerusi rotan kegemarannya itu, sambil Tengku Ariffin duduk di hadapannya.

"Are you okay, Alan?"
"Entahlah, Uncle Ipin. Masih rasa bersalah. Tapi, siapa suruh dia bunuh Mr Snuggles? Alan tahu Alan ikutkan perasaan marah tu, tapi Alan tak suka orang sesuka hati kacau hidup Alan."
"Ibu dah beritahu apa yang berlaku. Jangan risau, Uncle dah cover semuanya."
"Alan rasa bersalah pada ibu budak tu, dengan budak tu. Dengan laki dia yang sial tu, Alan tak bersalah."
"Sebenarnya apa Alan fikir masa tu? Kenapa Alan sampai buat macam tu?"
"Alan teringat masa ayah bakar cheque Pengetua. Dia kata, kalau ada benda yang menyakitkan hati, bakarkan je."
"Alan tak boleh buat macam tu. Sure, Alan marah dengan matinya kucing Alan, tapi tak bolehlah Alan bakar rumah dia terus."
"Benda dah jadi pun."
"Ibu cakap benda ni kita tiga orang je tahu. Alan, ibu, dengan Uncle Ipin. Yang lain termasuk Pengetua tak perlu tahu tentang ini. Hari ni tidur rumah ni ya?" kata Tengku Ariffin.

Bahtera Merdeka Where stories live. Discover now