Mesyuarat pertama antara wakil Gelanggayu, wakil Temasik dan wakil United Kingdom untuk membincangkan tentang penggabungan Gelanggayu dan Temasik dibincangkan di Kew, Surrey, kira-kira 10 batu dari London.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Lord Cobbold, dengan dihadiri oleh Yahya dan Tengku Aminul Rasyid, bersama-sama dengan Menteri Luar, Datuk Syed Alwi. Pihak Temasik diwakili oleh Lim Kuan Yau dan Jacob Chong, sementara pihak kerajaan United Kingdom diwakili oleh bekas Setiausaha Tanah di Gelanggayu, David Watherson.
Yahya sudahpun ada draf dari Perlembagaan Gelanggayu yang ditulisnya dulu, tetapi membuang segala-gala perkara seperti agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu untuk digunapakai di Temasik, apabila ia menjadi sebuah wilayah autonomi di bawah pemerintahan Gelanggayu.
Dengan tandatangan Tengku Aminul Rasyid, yang diarahkan tandatangan oleh Yahya, maka secara tak langsung akan timbul satu masalah.
Melayu di Temasik tidak akan mempunyai hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu, serta agama Islam bukan agama rasmi di Temasik, walaupun Temasik berada di dalam Gelanggayu.
Yahya sengaja buat begini, bagi mencetuskan perbalahan antara kaum, antara Melayu dan Kwantong. Apa yang Yahya buat ini memang bukan kesilapan, tetapi rancangannya untuk melemahkan kedudukan keluarga al-Daulah dan mencengkam Gelanggayu melalui Temasik sebagai hab ekonomi antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Syed Alwi bertanya dengan Yahya, 'apa akan jadi kalau orang Melayu tahu pasal ni?'
Yahya dengan selambanya berkata, "90% Melayu masih buta huruf dan tak faham bahasa Inggeris. Mereka takkan faham apa yang ditulis dalam Perlembagaan ini."
Apabila semuanya sudah tandatangan, apa yang dapat mengesahkan dari semua ini adalah referendum di Temasik sama ada menyertai Gelanggayu atau sebaliknya.
--
Atas nasihat Yahya, yang berpengalaman melakukan operasi di hutan tebal, tentera Amerika Syarikat melakukan Operation Ranch Hand, iaitu menabur Agent Orange ke kawasan hutan agar pokok-pokok mati.
Semasa Darurat di Gelanggayu dari tahun 1948 sehingga 1960, racun Agent Orange ini ditabur di kawasan yang disyaki tempat komunis bersarang, agar dapat menyerang dengan mudah apabila pokok-pokok ini mati.
Menurut maklumat yang diterima oleh Setiausaha Pertahanan, Robert McNamara, terdapat 20,000 hingga 25,000 Viet Cong menyorok di sempadan Dai Viet Utara, Laos dan Dai Viet Selatan.
Pun begitu, John F. Kennedy mula memotong bajet ketenteraan dan mengurangkan jumlah perbelanjaan perang di Dai Viet. Dan bajet yang selalu tentera Amerika Syarikat dapat ketika Dwight Eisenhower iaitu sekitar $100 juta setahun, tetapi Kennedy potong sampai separuh.
Ini membuatkan Yahya dan pemilik-pemilik saham syarikat pertahanan semakin jaki dengan Kennedy.
--
Yahya
Kalau dah bagi $50 juta, berapa je bahagian aku boleh dapat? Kalau zaman Eisenhower dulu dapat $100 juta, aku sebagai orang tengah dapat $30 juta. Tapi kalau $50 juta, aku dah tak boleh ambik banyak tu lagi.
Kurang ajar Kennedy ni! Aku kena buat sesuatu. Aku kena rancang sesuatu, kalau tak, bungkus kerja aku kat sini. Sia-sia je sejak 1954 aku duduk sini. Tak guna!
--
Amherst, New Hampshire
Faridah dan Mamat telah membeli sebuah tanah ladang di kawasan ini, seluas 10 ekar dengan harga $125 satu ekar. Faridah juga membeli beberapa ekor lembu, sementara Mamat pula mengeluarkan perbelanjaan untuk membina pusat penternakan.
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historical FictionMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.