Richard Nixon angkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua. Yahya, seperti Henry Kissinger, dijemput untuk hadir untuk menyaksikannya.
Tetapi disebalik kemenangan besar Nixon dengan memenangi 49 dari 50 negeri, kemudiannya sehari kemudian, Bursa Saham Dow Jones di Wall Street mencapai mata yang tertinggi dalam sejarah, segalanya merosot sejak sembilan hari yang lalu.
Sejak Nixon memisahkan nilai dolar Amerika Syarikat dengan emas pada Ogos 1971, kemudiannya Perjanjian Smithsonian pada Disember 1971, Yahya berkira-kira, jika nilai emas yang dia pernah ada iaitu $12 billion semasa tahun 1945 selepas tamat perang dulu harganya $35 satu ounce, hari ini sudah bernilai $106.48 untuk satu ounce, iaitu lebih kurang 3 kali ganda, maka sudah pasti nilai emas itu sudah lebih kurang $40 billion.
Dan Yahya merasakan memang Mamat yang mencuri emas-emasnya, sebab dia merasa pelik, bagaimana dia mempunyai banyak wang secara tiba-tiba untuk membuat amal kebajikan dan membantu rakyat yang dalam kesusahan?
Jika $40 billion itu ditukar ke ringgit, maka sekarang ni dia memegang 98 billion ringgit mengikut kadar pertukaran wang semasa.
Tetapi dalam masa sama, Yahya sedar yang dia tak boleh sentuh pun Mamat. Apatah lagi untuk melakukan apa-apa yang buruk ke atasnya. Sebab cincin Raja Gautama ni, sementara dia memakainya dan mempunyai kuasa pengaruh yang cukup kuat dalam politik antarabangsa, tetapi hakikatnya Yahya menyebut namanya sebagai wakil untuk cincin ini.
Dan sepatutnya, cincin ini sepatutnya diserahkan kepada Mamat memandangkan dia yang paling berhak. Ringkas cerita, walaupun cincin itu tidak berada di tangan Mamat, tetapi disebabkan Yahya berniat memakai cincin ini atas nama Mamat, maka Mamat yang mendapat keuntungannya.
Dan ini menyukarkan Yahya untuk bertindak dan mencari kembali semua emas-emasnya yang dirampas dari Empayar Ryukyu ketika Perang Dunia Kedua dulu.
Dia jadi buntu dan tak tahu apa yang nak dibuat. Walaupun dia mempunyai cincin Raja Gautama dan buat ramai yang gerun kepadanya, tetapi seolah-olah seperti pada akhirnya semua itu pergi kepada Mamat.
Dan dia jadi buntu, sebab ada kuasa pun, tak boleh buat apa-apa kerana semua kekayaan itu hilang entah di mana. Sebab kalau Mamat benar-benar pegang semua emas-emas itu, di mana dia letak? Dan siapa yang benar-benar tahu tentang perkara ini? Adakah Faridah tahu tentang semua ini?
Atau mungkin betul apa yang Mamat kata masa dia sakit dulu, yang dia memang tak tahu apa-apa tentang emas-emas itu. Sebab kalau betul Mamat ada semua emas-emas itu, kenapa Mamat tak gunakan semua wang itu untuk merdekakan Melaut?
Dan Mamat sendiri cakap, kalau dia tahu macam mana nak dapatkan emas-emas tu, dah lama dia ambil sahaja cincin Raja Gautama ini, yang lebih berkuasa.
Kalau Mamat tak ambil emas tu, siapa yang ambil emas itu? Dan itu yang berlegar dalam fikirannya.
Yahya ada hantar perisik, dan merisik gaya hidupnya. Walaupun dia tinggal di 2 Jalan Cendana, sebuah rumah agam yang pernah jadi kediaman Queen Victoria dan kemudiannya Pesuruhjaya Tinggi British, tetapi gaya hidupnya tidak hidup mewah.
Pergi mana-mana pun naik van buruk hippie tu. Makan luar pun makan roti canai di gerai bersama anaknya. Dan kalau dia nak buat amal jariah pun, ini kerana Faridah memang pandai berniaga dan buat duit.
Yahya menjangkakan kalau Mamat kaya dan hidup berzuhud sekalipun, kalau dinilaikan dengan segala perniagaannya, baik pusat tuisyen, baik pasaraya, baik kedai baju, hartanah - semua sekali, paling habis kuat pun 100 juta ringgit, dan itu pun dah cukup besar dah kalau di Wijayapura.
Tapi, 100 juta ringgit cuma lebih kurang 0.1% dari $40 billion atau 98 billion ringgit dari semua nilai emas yang telah hilang tu. Kemungkinan kalau Mamat kata dia tak tahu tu, dia mungkin tak tahu.
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Tarihi KurguMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.