Dahlia dan Ismail risau dengan keputusan Faridah untuk melahirkan anak di Melaut. Mereka bimbang kalau ada berlakunya komplikasi kepada kandungan anak tersebut.
"Jangan risaulah, ibu. Ibu ni, doakanlah Idah dan baby Idah sihat. Doa ibu ni kan doa yang berkat," kata Faridah.
"Jangan lupa mengundi nanti. Itu kewajipan negara tu. Sempat lagi buat surat sumpah, untuk mengundi pos kat pejabat pos," kata Ismail.Faridah pandang Mamat, Mamat pandang Faridah. Kemudian mereka dua pun tersengih kerang. Dua orang ni mana daftar mengundi.
"Kami pergi dulu ya, ibu, ayah."
"Baik-baik berjalan tu," kata Dahlia.Masa menaiki teksi menuju ke kapal terbang, Mamat dan Faridah nampak poster pilihanraya di serata bandaraya Wijayapura. Kemudian lalu di pejabat parti cawangan dan bahagian, masing-masing ada markas parti dengan poster lambang parti masing-masing.
Kemudian nampak ada grafiti tertulis "PENDATANG" pada dinding sebuah kedai orang Kwantong. Ada yang dindingnya dilukis lambang babi - konotasi yang dilabelkan terhadap kaum Kwantong.
"Saya rasa gaduh besar malam pilihanraya ni nanti," kata Mamat.
"Betul tu. Budak Kampung Dato' Sagor dengar cerita dah siap dengan parang, besi crowbar, pedang samurai bang...""Masya-Allah..." Mamat tahu inilah risiko yang perlu diambil. Dia sedar hanya melalui Iskandar sahaja, dia dapat menyelitkan orang-orangnya dalam kerajaan.
Riak-riak pergaduhan antara kaum nampaknya semakin kelihatan. Mungkin ada baiknya jika Faridah dilahirkan di Melaut. Memang ada konflik, tetapi rata-rata pertarungan berlangsung di kawasan hutan dan sempadan.
Tapi dalam masa sama, Mamat baru terfikir, bulan April-Jun adalah musim angin monsun Barat Daya bertiup di Melaut. Kemungkinan hujan lebat dan banjir akan berlaku.
Tidak seperti negeri-negeri lain di Gelanggayu yang berada di luar lingkungan taufan, gunung berapi atau gempa bumi, Melaut ada semua ini, dan sering berlaku bencana.
Walaupun plat tektonik antara Plat Eurasia dan Plat India jauh dari Melaut dan berada di kawasan laut, namun apabila gempa bumi berlaku di sana, tsunami akan melanda Melaut, mengakibatkan kemusnahan rumah orang-orang nelayan di persekitaran.
Gunung berapi berada di laut, jadi bukan ancaman besar, cuma apabila gunung mengeluarkan lava, asap itu akan mengakibatkan orang ramai menjadi sakit.
Ribut taufan boleh dikatakan berlaku pada musim tengkujuh. Dan permintaan Faridah ini yang dibimbangkan. Tetapi Mamat berdoa agar segalanya selamat, dan berserah kepada takdir Allah.
--
"Ini tanah bangsa kita! Jangan biarkan tanah kita dijajah lagi! Pilihlah pemimpin yang memperjuangkan tanah air, bangsa dan agama kita! Takbir!"
"Allahuakbar!"Kempen pilihanraya kali ini sangat panas sekali. Belum pernah sejak kemerdekaan negara 20 tahun yang lalu, ketegangan kaum sepanas ini.
Kepanasan suhu politik begini adalah sebahagian dari plot Yahya merampas kuasa. Dengan meletakkan bonekanya, Pemangku Raja, Tengku Aminul Rasyid, serta berjaya mencantas keluarga Wan Demang dari menghalangnya, Yahya berjaya merampas kuasa dari keluarga al-Daulah sejak 1408.
Pada malam 10 Mei, malam terakhir sebelum pilihanraya, keadaan tenang seketika. Pada waktu malam ini, Yahya duduk di beranda sambil memandang lampu-lampu neon yang menerangi Wijayapura.
Dia tersenyum seorang diri. Dia ketawa sambil hisap curutnya dan teguk wiski Johnny Walkernya.
Di belakangnya kedengaran lagu Marilah Mengundi di radio berkumandang.
"Marilah mari...pergi mengundi. Jangan lupa kewajipan, kepada aku. Hahahahaha!"
--
10 Mei, 1969
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Tarihi KurguMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.