Hari yang ditunggu rakyat Gelanggayu akhirnya tiba. Seluruh Wijayapura dikibarkan dengan bendera Gelanggayu, warna merah, kuning dan putih.
Upacara bermula dengan pertabalan Sultan Jaafar sebagai Sultan Gelanggayu yang ke-14. Majlis berlangsung di Bukit Istana, dengan sambutan perbarisan tentera serta tembakan meriam 21 das.
Selepas mengangkat sumpah, memakai keris diraja dan memakai cincin zamrud Raja Gautama, Sultan Jaafar dibawa ke Dataran Pahlawan, di mana orang ramai telah berkumpul untuk menyaksikan upacara penurunan bendera British, dan menaikkan bendera Gelanggayu.
Kumpulan koir dari Sekolah Convent Victoria Hill dan Henderson College, Wijayapura menyanyikan lagu God Save The King ketika menurunkan bendera British, dan lagu kebangsaan Gelanggayu, Allah Selamatkan Sultan Gelanggayu ketika menaikkan bendera Gelanggayu.
Sehari sebelum upacara ini, Wijayapura dikawal dengan ketat dengan setiap jalan masuk ke bandar ini diadakan sekatan jalan raya bagi menghalang Parti Komunis Gelanggayu melakukan serangan.
Seterusnya, upacara Pengisytiharan Kemerdekaan Gelanggayu, diumumkan oleh Sultan Jaafar ibni Almarhum Sultan Amiruddin, Sultan Gelanggayu yang ke-14.
"Sesungguhnya, beta, Sultan Jaafar ibni Almarhum Sultan Amiruddin, mengisytiharkan bahawa Gelanggayu al-Daulah adalah sebuah negara yang berdaulat, pada Hari Khamis, 21 April 1949, bersamaan 22 Jamadilakhir, 1368 Hijrah. Merdeka!"
Rakyat jelata turut menyahut laungan merdeka dari Sultan Jaafar.
--
Di desa mahupun kota, orang ramai menyambut hari kemerdekaan dengan penuh meriah sekali, seperti sebuah perayaan. Yang Melayu buat kenduri kesyukuran, yang Kwantong dan Tamil Bharat semuanya membuat jamuan dan menjamu tetamu.
Yang naik kereta, motorsikal, basikal dan berjalan kaki membawa bendera bulan bintang berwarna kuning dengan sepuluh belang merah putih, menandakan sepuluh buah negeri; Melaut, Wilayah Utara (Lamas), Lingga, Ketil, Air Putih, Seri Kencanapura, Geri, Kenidiri, Sepetang dan Wijayapura.
Walaupun Kassim Dahalan dan pengikutnya tidak mengiktiraf hari kemerdekaan ini, dan mengatakan Melaut sebuah negara merdeka, tetapi tidak ada pengiktirafan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sebaliknya, keahlian Gelanggayu sebagai ahli PBB sudahpun diluluskan oleh Majlis Keselamatan, sekaligus diiktiraf sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Di Cecil Road, ada tersergam satu bangunan marmar berwarna putih, dengan lambang jangka lukis dan sesiku L. Sir Douglas memotong riben merasmikan bangunan baru Freemason yang dibina semula selepas perang dunia kedua.
Turut hadir ialah Yahya, yang membawa sekali Azmi, serta Sultan Jaafar bersama anaknya, Tengku AR.
Sempena 160 tahun Freemason tertubuh di Amerika Syarikat, Duta Amerika Syarikat, Joseph Lyndon James II turut hadir.
Selepas perasmian bangunan Freemason, Sultan Jaafar memberitahu Yahya bahawa Tengku AR akan belajar di Georgetown University, maka Yahya perlu berada di sana untuk menjaganya.
Selain itu, Yahya juga akan dilantik sebagai Duta Besar Gelanggayu ke Amerika Syarikat yang pertama, atas cadangan Sir Douglas.
--
"Duduk luar negara lagi? Laila tak nak la. Dah la saya baru lahirkan Aminah ni, malas lah nak pindah Amerika. Mereka tu ramai yang perkauman," kata Laila.
"Tapi kan abang jadi Duta Besar..."
"Tak ada orang lain ke?"
"Laila, Laila kena faham yang negara ni baru merdeka. Banyak yang perlu dibuat. Amerika Syarikat adalah negara paling kaya dan berkuasa sekarang, jadi abang perlu tarik pelabur Amerika untuk datang di sini."
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historical FictionMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.