Malam muda-mudi, Mamat pergi ke parti pelajar universitinya. Ramai gadis-gadis mengajaknya menari, tetapi dia duduk seorang diri sambil menikmati muzik rock and roll.
Orang ramai menari lagu Chuck Berry, Reelin' and Rockin'. Kakinya memijak mengikut rentak, kepalanya melayan irama, dan menikmati suasana, tetapi tidak sampai ke peringkat melalaikan.
Mamat mengelak dari minum arak dan bersentuhan dengan perempuan. Dia cuma mahu menikmati lagu-lagu rock and roll.
Kemudian dia dengar ada bunyi kecoh-kecoh. Ada orang bertumbuk berebut perempuan. Mamat, tak mahu sebarang drama hinggap pada dirinya, angkat kaki dan meninggalkan tempat itu.
Mamat geleng kepala, melihat dua lelaki kulit hitam itu bertumbuk sesama sendiri. Kemudian dia nampak dari tepi, ada dua orang kulit putih duduk jauh di meja, tetapi menunjukkan minat terhadap pergaduhan tadi. Kemudian mereka keluarkan dompet dan letakkan duit atas meja.
Mamat cuma geleng kepala seorang diri, melihat kaum kulit hitam bertumbuk kerana rebutkan perempuan, dan orang kulit putih sedang bertaruh judi tentukan siapa yang menang. Macam menonton laga ayam.
Hati Mamat hancur melihat betapa jatuhnya maruah seorang lelaki berkulit hitam hanya bertaraf ayam laga sahaja bagi orang kulit putih.
Dia duduk seorang diri di kerusi, dan berfikir tentang apakah yang dia lakukan ini satu perkara yang sia-sia. Apakah benar seperti apa yang dikatakan oleh Yahya itu?
Di rumah, sambil dia menyiapkan kerja kalkulusnya, sambil menggulung marijuana, dia mendengar radio dan mendengar berita tentang Perang Dai Viet.
Dia melihat bangsa Dai Viet adalah seperti Melaut, sering diserang dari pelbagai arah. Kerana itu daya melawan mereka sangat tinggi. Mereka tidak bergaduh dalam hal-hal remeh-temeh seperti berebut perempuan.
Mamat tahu yang Aki terlibat sebagai penasihat tidak rasmi kepada Viet Cong. Walaupun mereka komunis, musuh utamanya ialah Amerika Syarikat dan segala kroni-kroni Yahya.
Mamat berharap Aki terselamat dan tidak berlaku apa-apa kepadanya. Buat masa ini, Aki sangat penting dalam perjuangan kemerdekaan Melaut.
--
0326
Ladang Getah Minh Tranh, daerah Binh Duong, Dai Viet Selatan27 batu dari Sai Gon
Kumpulan Viet Cong menyerang sebuah kebun getah, dan kemudiannya membakar ladang tersebut dan membunuh pekerja-pekerjanya.
Pertempuran antara tentera Dai Viet Selatan dengan Viet Cong makin kerap dan makin mengganas sejak Aki bersetuju untuk memainkan peranan nasihat.
Dengan pakatan nasionalis Melaut dan Lamas bersama dengan komunis ini, tentera Dai Viet Selatan ramai yang ditawan atau menyerah dan bertukar pasukan ke Viet Cong.
Ada yang main peranan double agent, untuk mendapatkan maklumat.
12 hari sebelum itu, di sekitar kawasan Delta Mekong, sebuah lori tentera yang membawa 12 orang tentera termasuk pemandu telah terbunuh dalam satu serangan rocket launcher.
Daerah Binh Duong, terletaknya apa yang dipanggil sebagai 'Iron Triangle', kawasan di mana Viet Cong berkubu. Di sinilah markas mereka merancang serangan, terutamanya di sekitar kawasan pinggir bandar Sai Gon.
--
Yahya
Memang tak boleh pakai si Ngok ni. Macam mana kau boleh tak dapat kesan ada Viet Cong kat kawasan tu? Perisikan tentera kau ni makan apa sampai jadi bodoh macam ni.
Menyusahkan aku betul! Macam mana sebuah pasukan tentera yang dapat budget sampai $200 juta lebih tahun lepas macam Dai Viet Selatan ni, tak boleh kesan musuh yang ada 20 batu sahaja dari kawasan ibu negara?
YOU ARE READING
Bahtera Merdeka
Historische RomaneMengisahkan liku-liku Yahya, yang bermula sebagai prebet biasa pada era Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi seorang Jeneral yang berkuasa di Gelanggayu.