AMIR menyerang belah kiri badan Puteh dan menyepaknya dengan kuat. Namun, Puteh sempat melindungi bahagian badan sebelah kirinya dengan tangannya dan telah menggenggam kaki itu. Lalu, dia pula cuba untuk menyepak sebelah kiri Amir. Amir menghalang dengan tangannya dan setelah itu merampas kakinya dari genggaman Puteh. Kemudian, mereka berdua menjarakkan diri dan menarik nafas yang agak panjang. Sudah hampir 30 minit mereka berlawan tanpa Puteh menggunakan kuasa Aisnya atau kekuatan ekstrimnya itu.
Selama 30 minit ini, sudah banyak langkah yang dia dapat pelajari dari Amir kerana Amir banyak mengajarnya gerakan silat dan taekwando. Amir memang banyak membantunya. Ya, Kedatangan Amir benar-benar telah membantunya. Mungkin inilah takdir Amir iaitu menjadi pelatih ahli TBM memandangkan Amir cukup handal dalam berlawan atau di dalam seni pertahanan diri.
"Fokus Puteh, fokus dengan kiri dan kanan kau dan jaga pernafasan supaya kau tak cepat kepenatan." Nasihat Amir dan bersedia untuk menyerang Puteh sekali lagi. Puteh mengangguk dan berada dalam pertahanan apabila melihat Amir semakin menghampirinya.
Kali ini, gerakan Puteh dikunci oleh Amir dan menyebabkan Puteh tidak boleh bergerak mahupun meloloskan diri. Setelah itu, Amir melepaskan badan Puteh. Nafas Puteh tercungap-cungap dan peluh menitik dengan sangat laju di pipi dan dahinya. Bajunya juga sudah hampir basah dengan peluh. Puteh terduduk di atas lantai dan cuba menjana kuasanya semula. Amir menghulurkan tangannya ke arah Puteh dan Puteh menyambutnya dengan senyuman manis. Amir suka melihatnya. Dia suka melihat senyuman manis dari Puteh kerana senyuman itu menampakkan keikhlasan Puteh.
Puteh atau Dilan tidak pernah memberikan pandangan yang menghukum kepadanya, tidak seperti orang lain. Tidak seperti renungan dan pandangan Puan Sharifah, Pengetua, Cikgu Azrell, rakan sekelasnya yang lain dan ayah serta adiknya sendiri. Mereka semua melihatnya seperti sampah masyarakat. Ya, dan ia memang silapnya sendiri. Dia silap kerana telah tersalah memilih jalan. Selama ini dia menyangka bahawa dia tidak mempunyai peluang untuk berubah lagi iaitu selepas memecahkan cermin kereta Pengetua. Dia sebenarnya tidak sengaja memecahkan cermin kereta itu. Tetapi, Dilan memberinya peluang yang baharu. Oleh sebab itulah, dia lebih selesa bersama-sama dengan Dilan. Ianya seolah-olah Dilan boleh memahami jiwa dan perasaannya.
"Terima kasih Amir sebab banyak bantu aku."
"Sama-sama. Mungkin kita patut sambung esok pula."
"Tapi, aku masih lagi tidak berpuas-hati. Aku ingin berlatih menggunakan kuasa aku pula. Kau baliklah kalau kau nak balik."
"Tak apa, aku akan tunggu kau dan lihat perkembangan kau."
Puteh tersenyum. "Okey. Terima kasih."
Amir meletakkan kedua tangannya ke dalam kocek seluar dan mencari pokok untuk dia bersandar dan melihat Puteh. Dia sangat suka melihat kuasa ais milik Puteh. Baginya, ia menenangkan jiwanya kerana Puteh sangatlah lemah-lembut serta tenang dalam menggunakan kuasa ais dan mempunyai gayanya yang tersendiri, tidak seperti Joshua, Maroon dan Khai. Ya, Puteh sangat tenang di antara mereka semua.
Puteh bergerak ke kawasan yang lapang dan menutup matanya. Dia memikirkan tentang kata-kata Zull kepadanya pada pagi tadi. Zull memberitahunya bahawa imaginasi yang kuat juga akan menghasilkan kuasa yang hebat. Jadi, dia mahu mencubanya dan melihat hasilnya itu. Lama juga dia memejamkan mata kerana mahu menumpukan perhatian agar ia semakin menajamkan imaginasinya. Dalam ketika itulah dia melihat bayangan seseorang di dalam kegelapan itu. Bayangan itu kabur pada awalnya, namun ia semakin jelas apabila Puteh semakin fokus dengannya. Bayangan seseorang itu bercahaya dan menyilaukan pada mulanya, namun setelah itu ia terpadam lalu mula menunjukkan sosok tubuhnya yang sudah sedikit jelas.
"Althal..." suatu suara kedengaran dari kejauhan dan menyebabkan Puteh membuka matanya.
Dia kepelikan. Siapa yang tiba-tiba bersuara tadi sedangkan tiada sesiapa pun di situ selain Amir? Dan siapakah Althal? Puteh memejamkan matanya sekali lagi kerana dia mahu melihat bayangan itu dengan lebih jelas dan mahu mengetahui maksud Althal. Banyak kali juga dia mencubanya, tetapi dia tidak berjaya. Oleh sebab melihat Puteh membeku dan berdiam diri dengan agak lama, telah membuatkan Amir mendekati Puteh.
YOU ARE READING
OLIENPIECE 1: Wira Terakhir (Musim 1)
FantasySepuluh batu permata Saphira telah jatuh ke bumi. Batu-batu itu telah memilih pemegang yang dirasakan layak untuk memiliki mereka. Sesiapa yang memiliki batu itu akan mempunyai kuasa. Dilan dan kawannya yang lain telah berjuang habis-habisan untuk m...